Wednesday, July 18, 2012

Tip untuk Isteri


Perkahwinan adalah suatu hubungan yang mempunyai matlamat jangka panjang. Oleh sebab itu, mengapa seorang lelaki dan wanita perlu berkahwin terlebih dahulu sebelum melakukan hubungan seks kerana kelahiran seorang anak juga merupakan matlamat jangka panjang. Definisi matlamat jangka panjang adalah bukan sekadar tujuan perkahwinan sekadar untuk bersuka ria yang boleh dilakukan dalam tempoh waktu yang pendek seperti satu minggu atau satu bulan.

Proses perkahwinan merupakan proses kesatuan untuk mengembangkan generasi demi generasi. Oleh itu, sebagai seorang hamba Allah, tujuan perkahwinan lebih kepada bersama-sama mengtauhidkan Tuhan Yang Maha Esa demi mendapat berkat dan rahmatNya.



Menjadi isteri sekaligus ibu, menantu, kakak ipar dan biras merupakan tugas penting yang harus dilakukan dengan memupuk cara berkomunikasi yang baik, cara bertindak dan cara menyesuaikan diri. Punca utama mengapa wanita selalu tidak dapat menjalankan tugas-tugas tersebut adalah faktor emosi dan menggunakan teknik yang salah.

Kajian menunjukkan 70 peratus punca penceraian adalah bermula dari wanita yang memohon penceraian di Mahkamah. Antara punca mereka memohon penceraian adalah mereka merasakan suami mereka sudah tidak menyayangi mereka dan mereka tidak suka dengan beberapa sikap lelaki.

Faktor pengurusan emosi menjadi ledakan utama kepada wanita dalam menyelesaikan konflik diri mereka sendiri. Oleh itu, kita harus berupaya meningkatkan kapasiti diri kita sebagai wanita untuk menjadi pengurus emosi yang baik.

Contohnya, wanita selalu dikaitkan dengan suka berleter. Teknik berleter adalah teknik yang paling lelaki tidak suka. Wanita wajar menguruskan emosi suka berleter kepada suka mendorong. Apabila melihat si suami suka meletakkan stokin di ruang tamu, anggap sahaja itu perkara kecil. Kita membantu suami meletakkan stokin di dalam bakul pakaian merupakan pahala yang wajib kita dapati.

Banyak perkara yang lebih besar lagi yang perlu kita minta dari sang suami dalam memenuhi kehendak hati kita. Oleh itu, jadikan perkara-perkara kecil sebagai menyuntik perasaan kasih si suami kepada kita. Kasih sayang suami akan lebih meningkat jika kita selalu sahaja membantu sang suami dan suami juga akan merasa kasihan melihat pengorbanan kita, kesabaran dan keletihan kita.

Oleh itu, dua elemen penting ini iaitu kasih dan kasihan merupakan faktor utama untuk meningkatkan rasa tanggungjawab, keinginan mahu berubah sikap, keinginan untuk membantu isteri, keinginan untuk membahagiakan isteri oleh seorang suami.

Kredit yang amat besar kepada isteri apabila apabila sang suami merasakan bahawa isterinya seorang yang jujur, ikhlas, bersabar, suka membantu, baik hati, mempunyai daya empati, memahami dan bersyukur atas apa yang ada.

Masalah akan menjadi besar di dalam rumah tangga apabila isteri bertindak seperti kanak-kanak, cemburu buta, suka menyalahkan suami, suka berleter dan tidak bersyukur.

Anugerah paling besar kepada isteri adalah apabila kasihnya seorang suami kepada dirinya dengan kasih sayang tanpa syarat.

No comments:

Post a Comment