Thursday, September 22, 2016

Travelog Mencari Lantai Sujud di Depan Kaabah


Apakah erti sebuah rindu kepada lantai marmar di depan kaabah? Atau ertinya betapa cintanya kamu kepada TuhanMu. Maka pertama kali engkau melihat sebuah rumah berdiri teguh berbaju hitam, maka engkau menangis teresak-esak. Lembik layu seluruh tubuhmu. Lantas engkau sujud tanpa alas. Maka engkau menyembah TuhanMu yang Maha Agung.
Makkah tidak indah. Bandarnya hiruk pikuk dengan suara manusia. Berjuta manusia bertandang ke Makkah setiap tahun, beratus ribu setiap hari. Manusia datang dari seluruh pelusuk dunia. Entah engkau pun tidak pernah dengar nama negaranya.
Mereka datang untuk apa? Ada pantai berlaut biru? Atau tiupan angin bayu. Ada rimbunan hijau atau pepasir bak mutiara. Hanya panas yang mencengkam kulit, membakar otak kepala dan membahang hingga ke rongga.
Ajaib.
Mereka hanya datang untuk mencari lantai sujud di depan Kaabah. Mahu menyerah diri kepada Tuhan yang maha penyayang lagi maha mengasihani. Memohon dan merayu agar tubuh kecil ini diampuni dan tidak dibakar dengan api yang panas. Merayu dan memujuk Tuhan, agar balasannya syurga yang sejuk dan dingin.

Itulah keindahan Kota Makkah, Bandar kelahiran Nabi Besar. Bermulanya sejarah manusia menjadi insan. Ia bukan kota pelancongan, namun negaranya kaya raya dengan berbillon hasil lawatan manusia pelosok dunia. Sungguh ajaib.

Sunday, May 8, 2016

Sambal Tempoyak Ikan Bilis dan Petai

Ini resepi sedap makan dengan nasi panas-panas.

Hari tu ke Janda Baik, berguru dengan Puan Ainon Mohd, dapat segugus petai. Wow..bukan mudah nak dapat.. Hasil Petai hutan, Petai ni ada banyak jenis.
Ada petai kecil-kecil, petai besar dan petai rangup macam kacang. Ini petai yang paling sedap.

Baik, cara nak masak saya tunjukkan.

Bahan-bahan

Petai
Ikan Bilis ditumbuk dan digoreng
Petai yang dibuang kulit dan selaput
4 sudu santan
serai yang diketuk
cili api
bawang merah kecil ditumbuk halus
1/2 inci halia di tumbuk halus
bawang putih ditumbuk halus
Minyak untuk menumis
3 sudu tempoyak
garam secukupnya
serbuk perasa saya guna jenama HILAL
asam keping
5 sudu arir


Cara-cara
1. masukkan minyak dalam kuali
2. masukkan bahan-bahan yang ditumbuk halus seperti bawang merah kecil, bawang putih dan halia
3. masukka serai, goreng sehingga keluar bau harum
4. masukkan petai, kacau sebati
5. masukkan ikan bilis dan asam keping
6. masukkan tempoyak, kacau sehingga sebati
7. masukkan santan, garam dan serbuk perasa
8. masukkan air
9. Biarkan masak dan kacau perlahan-lahan

Siap dihidang



Saturday, May 7, 2016

Resepi Sagu Gula Melaka

Dua tiga hari ini tekak mahu makan desert. Tengok rak dapur ada bahan-bahan untuk buat desert. Sagu Gula Melaka adalah desert paling sedap, mudah dan murah untuk buat

Bahan-bahan

1 Cawan sagu
1 liter air
1 helai daun pandan
1 tin susu cair
1 ketul gula melaka
2 sudu gula putih
1 Tin Jagung krim ( Optional)
sedikit pewarna

Cara-cara
1. Bersihkan sagu dan rendamkan seketika
2.Didihkan air di dalam periuk bersama daun pandan
3. Setelah air mendidih, masukkan sagu, kacau perlahan-lahan, biarkan sehingga jernih.
4. Kemudian tutup api, dan biarkan seketika
5. masukkan pewarna, saya suka warna hijau dan kacau sehingga rata.

Saya tidak alirkan dengan air paip, kerana tanpa alirkan sagunya tetap jernih tanpa kanji, lagipun agak leceh.

6. Biarkan sejuk seketika dan masukkan ke dalam acuan atau bekas, saya guna bekas plastik.
7. biarkan sejuk

Sambil tu kita buatkan gula melaka pula

Cara-cara
1. Didih 1/2 cawan air bersama 1 ketul gula melaka, biarkan sehingga cair
2. masukkan 3 sudu gula putih jika mahu untuk lebih manisnya.
3. setelah semuanya sebati, tapis gula melaka untuk buang pasir-pasir jika ada di dalam gula melaka

Cara menghidang
1. Tuangkan gula melaka ke dalam bekas plastik, ia akan menjadi satu lapisan berwarna coklat
2. tuangkan susu cair, jangan terlalu banyak, anggaran setengah dari ketebalan sagu.
3. Masukkan 1-2 sudu jagung krim
4. Kemudian, tutup dan masukkan ke dalam chiller. Ia akan jadi tiga lapisan yang cantik

Biarkan sejuk dan siap untuk dimakan. memang nyum...nyum.....






Resepi Nasi Lemak Original Kampung

Saya peminat nasi lemak, bila balik kampung menu utama adalah nasi lemak.  Sama ada nasi lemak resepi ibu atau nasi lemak yang dijual di kampung saya.

Kampung saya namanya Felda Jenderak Utara, setakat ini di sini sahaja saya berjumpa nasi lemak terbaik. Memang susah nak jumpa nasi lemak sedap di mana-mana.

Baik resepi nasi lemak ibu saya memang original kampung dan paling sedap. Alhamdulillah saya mewarisi kelebihan memasak nasi lemak ini.

Bahan-bahan Untuk Nasi

Beras 1 cawan
Santan 1 cawan
Air 1 1/2 cawan
Secubit garam
2 helai daun pandan
Halia dihiris-hiris
Bawang besar di hiris

Cara-cara

( Saya gunakan rice cooker)
1. Basuh beras sehingga bersih dan toskan
2. Masukkan santan dan air
3. Masukkan garam, daun pandan, halia dan bawang
4. Siap untuk di masak

Sementara nasi sedang di masak, kita masak sambal

Bahan-bahan

1 cawan ikan bilis ditumbuk dan digoreng garing
4 sudu besar lada kering yang dikisar ( jika mahu pedas, lebihkan)
1 inci halia di tumbuk
3 ulas bawang putih ditumbuk
2 ulas bawang merah kecil di tumbuk
2 biji bawang besar dihiris bulat-bulat
1 keping asam gelugur
2 sudu besar santan
1/2 cawan air
garam secukup rasa
serbuk perasa ( saya gunakan serbuk perasa HILAL)
minyak untuk menumis

Cara-cara
1. masukkan minyak, biarkan panas
2. masukkan lada kering yang dikisar, goreng sehingga masak, kacau sekali-sekala jangan biarkan hangus
3. masukkan bahan yang ditumbuk seperti bawang kecil, bawang putih dan halia, biarkan lama sedikit, kacau sekali-sekali
4. masukkan bawang besar, goreng sehingga masak, kacau
5. Proses menggoreng bahan-bahan ini tipsnya biarkan lama agar lada dan bahan-bahan tadi betul-betul masak ( Sambal akan jadi lebih sedap dan tahan lama)
6. Baru masukkan ikan bilis yang digoreng tadi
7. masukkan asam keping
8. masukkan santan
9. masukkan garam dan serbuk perasa
10, masukkan air , jika mahu kuah lebih, masukkan lebih, jika tidak biarkan kering sedikit sebelum angkat

Tips paling penting untuk adalah tumbuk dan goreng dahulu ikan bilis untuk buat sambal yang sedap

Friday, June 26, 2015

Percutian Oren dan Hijau yang Ohsem!

Tahun-tahun sebelum ini, biasanya percutian tidaklah sehebat percutian kali ini. Pertama percutian tidaklah dirancang lebih awal. Maka kos untuk bercuti diambil dari duit bonus gaji, duit hasil projek dan lain lain pendapatan. Kedua, kenikmatan bercuti hanya dapat dirasakan dengan perjalanan, bilik yang indah, susana dan makanan yang sedap-sedap...






Namun kali ini kami sekeluarga merasakan satu impak besar dalam percutian ke Sabah yang telah dirancang lebih 2 bulan. Sejak lama dulu saya dan suami memang  menabung duit, sejarah menabung memang pelbagai cara sehinggalah kami benar-benar dapat mendisiplinkan diri dalam menabung.

Dulu sewaktu awal menabung kami menabung terus masuk ke akaun tabung haji. Namun, jika terlambat masuk kerana  tidak sempat mahu 'transfer', maka habislah duit tabung bulan itu.

Idea menabung yang paling ohsem ialah menabung wang oren dan hijau. Mula-mula kami menabung dengan menggulung duit tersebut dengan getah gelang. Namun kesukaran apabila mahu masukkan duit ke bank, pegawai bank akan 'buat muka' kerana menambah kerjanya untuk memastikan not kertas itu dapat dibentuk dalam keadaan asal. Tuan besar saya buat muka seposen sahaja.

Selepas dapat mendisiplinkan diri menabung not oren dan hijau secara konsisten maka kami tidak lagi menggulung wang itu, cuma masukkan sahaja dicelah helaian sebuah kitab rahsia. Wow! satu helai dapat menyimpan 3 not oren, jika ada 500 helai..sudah tentu jumlahnya amat menakjubkan.

Ini lah motivasi menabung yang mengujakan sekali. Sekarang sudah tawar hati mahu berbelanja di pasaraya dan membeli barang-barang, motivasi menabung memang membuak-buak..

Kembali kepada kisah percutian oren dan hijau yang ohsem...
Rancangan ke Sabah mahu melawat Kota Kinabalu dan merasai kesejukan cuaca kundasang serta air panas di Hot Spring Ranau maka saya menempah tiket kapal terbang Air Asia untuk 4 orang.

Malam sebelum bertolak, kami mengeluarkan duit tabung yang mencukupi..mula-mula mahu masukkan sahaja ke dalam akaun bank, nanti akan dikeluarkan jika perlu. Namun, saya memberikan idea agar kita bawa sahaja wang bajet kita di dalam dompet. wang itu terdiri dari not oren dan hijau. maka keterujaan bercuti semakin melanda. Mahu membelanjakan wang hasil titik peluh sendiri.

Bermula dengan tiba di Terminal 2 Kota Kinabalu pada jam 2 petang, kami mengambil kereta sewa dari seorang kenalan. Wah, seronoknya dapat membayar dengan not oren untuk perkhidmatan 2 hari. Kemudian kami bertolak ke Kundasang dan menginap disebuah Motel. Puas hati melihat not oren telah berpindah milik, maksudnya inilah hasil tabung untuk bercuti.



Malam itu kami makan KFC sahaja yang dibeli di pekan Kundasang, waktu malam tidak apa yang boleh dilihat banyak kecuali merasai kesejukan yang mengcengkam hingga ke tulang sum-sum.



Malam itu tidur dengan nyenyak sekali.

Esok pagi kami bersarapan di Kafe Motel, kemudian terus berkemas untuk melawat Kota Kinabalu Park. Mengambil beberapa keping foto kenanangan kemudian kami bertolak ke Diary Farm. Selepas dapat bergambar dengan lembu susu, haha....dapat merasa susu lembu maka kami bertolak pula ke Ranau untuk merasai kehangatan air Kolamnya di Hot Spring Ranau. perjalanan selama 1 jam dengan ppemandangan bukit yang hijau memang menyeronokkan.








Tengahhari kami bertolak ke Kota Kinabalu. Perjalanan 2 jam ke Kota Kinabalu dan pada malam itu kami menginap di hotel Tangs. Hotel yang agak selesa dengan harga yang berpatutan. kali ini bayaran hotel dibayar dengan not hijau..haha, seronok melihat pegawai kaunter hotel mengira not hijau.




Ya, malam itu malam untuk makan besar. Kami mahu makan Lobster...alhamdulillah seorang kenalan di Sabah mahu membawa kami ke sebuah tempat yang menyajikan lobster segar walaupun harganya agak tinggi tetapi memang berbaloi. masakannya memang ohsem lah. Saya kongsikan restoren tiga rasa di Pasar todak.

Habis hidangan 2 ekor lobster yang dimasak pedas dan butter, ketam di masak bersama telur masin, ikan bakar, tomyam seafood dan airnya yang memang sedap. menjilat jari malam itu. Terima kasih kenalan yang belanja separuh hidangan malam itu....




selepas makan kami membeli cenderamata untuk dibawa pulang di Pasar filipino, sempat juga membeli udang kering dan kuih buatan sabah yang memang tidak akan jumpa di semenanjung. Kali ini not hijau menjadi mangsa. anak saya yang berumur 9 tahun juga teruja melihat kami membayar dengan not-not yang menarik itu. Beliau pula berjanji mahu menyimpan not biru ( RM 1 ) untuk tabungannya.


Malam itu penuh dengan kepuasan berbelanjan hasil tabung sendiri dengan bajet sendiri.

Esok pagi tidak banyak dapat dilakukan kerana kami mengambil penerbangan awal pagi. Not oren terakhir kami adalah untuk membayar parking kereta di KLIA2, maka habislah not oren dan hijau dalam percutian kali ini.

Sewaktu posti ini ditulis sebenarnya sudah 3 bulan berlalu, kami pergi pada 10 april lalu dan takdir Allah berlaku gempa di Kota Kinabalu dan Ranau...Ya tinggal kenanagan untuk kami. apa yang lagi ohsem, semangat mahu menabung not oren dan hijau semakin membuak-buak....tahun depan mahu ke mana pula? hmm...yang paling ohsem, sejak pulang dari bercuti itu, anak saya sudah berjaya menabung RM 1 sehari duit belanja sekolahnya....wow....



Saturday, January 17, 2015

Panduan Di Dapur bagi Ibu Bekerjaya

Sejak belajar di Sekolah Bisnes Ainon Mohd saya menukar cara berfikir, cara bekerja dan cara persediaan di dapur. Dulu kerjaya 'kerja sendiri'. Bila-bila masa sahaja boleh buat apa yang terfikir untuk buat boleh buat.

Saya meninggalkan kerja di pejabat sejak 7 tahun lalu. Sekarang mahu kembali ke Pejabat. Setting minda juga harus dibetulkan. Bagaimana kita mengurus kerja di pejabat begitu juga harus mengurus dengan sistematik urusan di rumah.

Di tambah dulu ada pembantu rumah. Sejak pembantu rumah sudah pulang ke Indonesia tahun lepas semua kerja perlu dilakukan sendiri. Dulu boleh beri arahan apa yang kita mahu lakukan akan dilakukan oleh pembantu rumah seperti membersihkan lauk-pauk dan memotong sayur-sayuran.



Saya kongsikan beberapa tips untuk memudahkan urusan di dapur agar tidak kelam kabut dan dapur sentiasa bersih.

#1: Potong ikan, daging dan ayam terlebih dahulu, bersihkan dan masukkan ke dalam bekas.




#2: Potong sayur-sayuran, bersihkan dan masukkan ke dalam bekas

#3: Potong bawang merah, bawang putih, kunyit, lada kecil dan masukkan ke dalam bekas

#4: Kisar cili kering dan masukkan ke dalam bekas

#5: Beli dan sediakan pes segera seperti pes asam pedas, pes kari, pes mee bandung, pes kuah kacang dan lain-lain. Saya memang pembeli setia pes-pes terbaik. Saya akan kongsikan gambarnya nanti.

#6: Beli Milo, Horlicks, kopi, teh dan masukkan ke dalam bekas dan susun dengan baik

#7: Basuh peralatan memasak seperti kuali, pinggan dan lain-lain setiap kali selepas digunakan, jangan tangguh

#8: Setiap malam siapkan kordial minuman untuk anak-anak minum

#9: Beli water filter yang mempunyai air panas, air sejuk dan air normal. Saya telah menggunakan water filter jenama Hijrah hampir 4 tahun dan ia berbaloi. airnya pun rasa asli

#10: Setiap pagi sebelum pergi kerja, saya akan masak sarapan pagi, masak tengahhari dan bubur untuk si kecil bayi. Nasib baik kerja masuk jam 10 pagi...Fuh!

#11: Susun peralatan memasak dan keperluan lain agar mudah dicapai

#12: Saya simpan stok seperti nugget, Roti, sosej, daging kisar, stok sejuk beku agar sentiasa ada stok jika tidak sempat memasak dan membeli barangan wajib

#13: Saya simpan stok seperti mee kuning, pasta, makaroni, buah-buahan dalam tin, sos dalam tin dan lain-lain agar ada bahan untuk memasak jika keadaan terdesak atau tetamu datang




#14: Saya penggemar membuat kek, muffin dan desert, jadi sudah pasti saya sediakan stok tepung, keju, kismis, kurma dan lain-lain bahan-bahan membuat kek.

#15: pastikan dapur sentiasa kemas...habesss


Selamat Mencuba



Monday, September 22, 2014

Siapa Kata Mengajar Al Quran Tidak Kaya?

Nama saya Puan Tengku Nurhusni. Saya menjalankan bisnes Pusat Kelas Al Quran dan Tahfiz Sambilan di kawasan Kota Damansara. Saya memulakan bisnes setelah tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam.
Pada awal menceburi bidang bisnes saya terlibat dalam bidang Pengurusan Program. Saya menganjurkan Program-program motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah. Setelah berkahwin saya bekerja selama dua tahun.
Pada tahun 2007 saya tekad mahu memulakan bisnes sendiri. Saya berhenti kerja dan membuat bisnes menjual kuih-muih, buku-buku dan barang-barang lain.

Bisnes kedua saya, saya kembali menceburi bidang latihan dimana saya masih menjadi penyedia latihan. Antara kursus yang pernah saya jalankan adalah:
1. Bengkel Mee Kuning anjuran Jabatan Pembangunan Wanita
2.Bengkel Jahitan anjuran Jabatan Tenaga Manusia
3. Kursus Kemahiran Kepenyeliaan
4. Program-program motivasi pelajar

Bisnes ketiga saya, saya membuka sebuah kedai kiosk menjual Produk kesihatan di dalam sebuah supermarket. Jualannya membrangsangkan tetapi setelah setahun saya mengusahakan kiosk tersebut, saya rasa betul-betul penat kerana terpaksa berulang alik dalam jarak yang jauh dan kehidupan keluaarga juga terabai. Akhirnya saya mengambil keputusan menjual bisnes tersebut dengan perancangan mahu membuka kiosk yang lebih dekat dengan tempat tinggal saya.

Bisnes keempat saya adalah saya membuka sebuah Pusat Asuhan kanak-kanak. Akibat tidak mempunyai ilmu dalam bisnes tersebut. Bisnes tersebut saya tutup setelah 6 bulan beroperasi. Bisnes tersebut bukan tidak mendapat sambutan pelanggan tetapi saya sendiri rasa saya tidak mahir dalam bisnes itu.

Bisnes kelima saya iaitu bisnes sekarang adalah bisnes yang saya sukai dan gembira melakukannya. Walaupun ia adalah bisnes yang kecil sahaja, tetapi ia cukup menanggung kehidupan saya dan saya juga dapat menyumbang kepada masyarat.

Setelah saya memulakan Bisnes Kelas Al Quran persepsi saya tentang bisnes berubah. Ia berbalik kepada cara Bisnes Lean Start up memulakan dengan apa yang ada.

Dengan Modal 6 ribu saya memulakan Bisnes Kelas al Quran dan telah menjana Pendapatan yang memberangsangkan. Ditambah dengan sambutan yang menggalakkan maka bulan pertama hingga bulan ke tiga saya mencapai pendapatan kasar RM 5ribu sebulan.

Namun saya mengurus duit perlu diasah dimana, sewaktu mendapat ganjaran besar inilah dari sudut bisnesnya perlu membuat simpanan kepada Pelaburan tetap seperti Tabung Haji, Tabung persaraan dan Tabung pendidikan.


Hasil dari simpanan tabung ini maka kita boleh memulakan pelaburan dalam bisnes-bisnes yang lain atau menyuntik modal untuk mengembangkan bisnes.


Pada Januari 2013 saya amat teruja apabila Puan Ainon Mohd melancarkan ABS iaitu Ainon Bisnes School dimana saya sendiri terpegun setiap kali membaca petua-petua dan panduan membuat bisnes.

Sebelum saya menceburi bidang bisnes saya mendapat latihan di SME Bank dan Mypec Malaysia dalam ilmu keusahawanan. Namun begitu apa yang dibawa oleh Puan Ainon Mohd yang saya kagumi ini amatlah berbeza. Sehingga ini, saya menjadi pengikut setiap pada setiap post-post beliau di dalam Facebook.

Akhirnya saya mnegucapkan terima kasih kepada Puan Ainon Mohd dan juga kepada Mark Zukreberg kerana telah mencipta Facebook untuk membantu saya mengenali ramai insan-insan yang hebat.