Wednesday, July 18, 2012

Aku dan Ramadhan

Gembira dan syukur dapat bertemu lagi Ramadhan Kareem kali ini. Semua ini adalah rahmat dan kurnia tidak terhingga dari Allah swt. Insan kecil ini mahu banyak memohon keampunan dan hidayah dariMu. Semoga peluang ini dapat memberi lebih banyak sinar dalam hidup ini.


"Wahai Tuhan Kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami"

Kisah 1: Bukti Allah Kasihkan HambaNya


Hari ini saya terfikir mahu meneruskan penulisan blog dengan kisah-kisah menusia disekeliling kita. Iktibar dan pengajaran itu bukan hanya kepada si pelaku, keluarga si pelaku tetapi juga pengajaran kepada kita. Setiap apa yang berlaku kita wajib melihat hikmah disebaliknya dan iktibar kepada kita. Hari ini mungkin berlaku kepada orang lain, dan esok mungkin berlaku kepada kita atau saudara terdekat kita.

Ada sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat kepada saya. Kisahnya amat mengejutkan tetapi saya yakin ia mempunyai maksud, iktibar dan pengajaran yang padat. Saya melihat kisah ini dari kacamata saya dan bukan mahu menunding jari bahawa si pelaku lah yang paling teruk akhlaknya.

Ini adalah bukti betapa kasihnya Allah kepada kita dan hikmah mengapa Allah memerintahkan memakan makanan yang bersih dan halal.

Seorang sahabat menghadiri sebuah kenduri di sebuah kampung. Orang kampung datang menolong bermula dari petang hingga ke pagi, betapa sikap gotong royong masih sebati untuk menjayakan kerja kenduri kahwin. Hal ini dapat meringankan beban tuan rumah tentunya.

Kenduri kali ini dijangka akan menumbangkan seekor lembu untuk jamuan orang kampung, sahabat handai dan rakan taulan. Sewaktu kerja-kerja dilakukan, si pembekal daging lembu datang menghantar daging kerbau, bagi orang kampung , daging kerbau memang lebih enak dari daging lembu dan harganya tentu sahaja mahal. Ketua melapah daging tidak banyak soal. Dia mengarahkan anak-anak buahnya memotong daging kerbau dan melapahnya. Selesai melapah, daging-daging diletakkan di dalam kawah besar sementara menunggu kerja-kerja memotong kepada bahagian-bahagian lebih kecil.

Ibu sahabat yang sibuk menolong kerja-kerja memasak ternampak salah seorang anggota keluarga tuan rumah mengambil daging kerbah yang siap dilapah dan dicelur ke dalam kawah yang berisi air panas. Tindakah itu menjadi satu keanehan kepada orang-orang yang menjalankan kerja kenduri kahwin. Tidak pernah selama ini daging itu dicelur dulu sebelum dipotong kecil-kecil. tetapi di diamkan sahaja. mungkin betul alasan di pelaku yang mencelurkan daging untuk melembutkan daging terlebih dahulu.

Kerja-kerja memotong mula dijalankan. Semua anak-anak buah Ketua melapah bersungguh-sungguh memotong daging-daging kerbau. Tiba-tiba satu keanehan berlaku. ada bau busuk yang datangnya dari daging tersebut. mula-mula seorang yang merungut. kemudian dua orang dan akhirnya mereka yang melakukan kerja-kerja memotong mula berbincang sesama sendiri.

Ketua melapah daging tidak berpuas hati, ada perkara yang tidak kena dengan daging kerbau ini. Dia mula meminta bantuan orang lain, dari bisik ke bisik sehingga cakap ke cakap. akhirnya seorang anggota kerja mula terfikir mahu menelefon saudaranya yang tinggal di kawasan yang dikatakan asalnya daging kerbau itu datang.

Berita yang amat mengejutkan anggota kerja apabila mengetahui bahawa kerbau tersebut adalah kerbau liar yang mati ditembak, terbungkang di tengah jalan. Masya Allah, Semua anggota kerja kenduri terkejut besar. ada yang mula mengamuk mencari dan meminta penjelasan dari si pembekal daging kerbau.

akhirnya si pembekal malu alah, langsung dia terus mencari daging lembu sebagai gantian. barulah kerja-kerja dijalankan seperti biasa.

inilah kisah yang cuba dikongsi tetapi betapa maha kasihnya Allah kepada hambanya. Allah begitu sayang akan hambanya yang dhaif dan naif , tidak berdosa langsung termakan daging yang tidak bersih dan haram. maka Allah menadatangkan bau busuk dari daging tersebut sebagai petunjuk agar ada yang akan bertindak.

Dan ini juga bukti paling nyata apakah perbezaan memakan haiwan yang disembelih dengan haiwan yang tidak disembelih. menurut kajian sains haiwan yang disembelih maka apabila putusnya urat' mereh'nya maka terpancutlah semua darah-darah keluar dari pembuluh dan saluran darah haiwan tersebut. Hal ini berbeza dengan haiwan yang mati ditembak, dipukul atau dilanggar kereta. Darah haiwan itu masih berada di dalam saluran darah dan tidak keluar. ini juga adalah punca mengapa dagingnya tidak tahan lama dan akan berbau busuk.

Oleh itu, hati-hatilah agar kita sentiasa memakan makanan dan halal dan bersih.
ini adalah pengajaran kepada kita.

Mengajar anak-anak semudah 1,2 dan 3….


Pendidikan merupakan satu analogi yang perlu difahami oleh ibubapa. Apabila lahirnya seorang manusia maka manusia tersebut akan bermula dari 0 hari ke angka-angka seterusnya yang akan berubah hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.



Kebiasaannya orang dewasa akan mendidik anak-anak mereka seperti apa yang mereka selalu fikirkan dan apa yang pernah mereka lalui. Kita seharusnya memahami bahawa kehidupan kita dan seorang anak bezanya lebih kurang 15 -20 tahun dan ada yang lebih. Secara jelas, betapa besarnya jumlah perbezaan zaman yang harus kita imbang sewaktu kita mendidik seorang anak. Apakah kita masih mahu mendidik mereka dengan cara pendidikan kita oleh nenek moyang kita.

Sudah tentu jawapannya tidak. Tiada siapa akan berjaya membuat perbandingan dengan zaman telefon bimbit dengan kecanggihan telefon pintar. Saya sebagai ibu juga tertampar dengan keadaan demikian. Seorang ibu yang baru membelek-belek komputer pintar di sebuah kedai pameran komputer pintar masih malu-malu alah menyentuh skrin komputer pintar tersebut sedangkan anak yang berusia 6 tahun sudah laju menyentuh tanpa rasa takut.  Tidak tahu dan jauh sekali tidak pasti dimana anak seusia itu belajar menekan butang komputer dan menyentuh skrin. Sudah tentu dia tidak belajar dirumah sendiri.

Maka saya mula memikirkan betapa otak mereka semakin berlari laju sepadan dengan perubahan teknologi yang menyebabkan semua orang akan kagum dengan ciptaan dan inovasi sains dan teknologi. Sukar untuk digambarkan betapa 20 tahun akan datang apa pula yang akan tercipta.

Saya pada mulanya cuba mendidik anak mengikut pengalaman dan kefahaman dari pembacaan. Serba sedikit ia membantu saya dalam menggalas tanggungjawab seorang ibu muda.

Seingat saya sewaktu saya mula mahu mengajar anak saya melakukan sesuatu saya akan menerangkan menggunakan gaya bahasa saya. Nampaknya anak bingung. Saya pasti di dalam fikiran mereka “apalah yang ibu saya bebelkan hari ini”.

Akhirnya setelah menelaah beberapa buah artikel dan buku maka saya mendapat jawapan yang memberansangkan. Otak kanak-kanak berfungsi berpandukan nombor.  Oleh itu apabila kita mahu mengajar anak sesuatu perkara yang harus mereka buat maka anak-anak perlu diajar menggunakan langkah demi langkah.

Oleh itu, dari situlah otak mereka belajar sebenarnya.  Mengapa mereka boleh memahami menyentuh skrin komputer pintar dengan cepat kerana mereka mengetahui langkah demi langkah bagi menggerakkan sesuatu permainan atau arahan komputer.

Jadi saya simpulkan otak manusia juga seperti komputer atau komputer itu diambil dari otak manusia. Kedua-duanya adalah sama.

Mengapa anak-anak tidak boleh menyimpan memori dengan ayat-ayat yang berjela-jela ini adalah puncanya. Oleh itu, orang dewasa wajar berfikir semula jika mahu menasihati anak-anak dengan menggunakan perkataan dan ayat-ayat yang panjang dan bombastik. Oleh itu, saya mula mengajar anak menggunakan langkah demi langkah.  Maka mereka akan cepat mengingat dan melakukan apa yang kita minta.  Mereka juga lebih mudah untuk menerima nasihat atau mendengar arahan.

Saya amat suka kartun kapten oso dan saya menggalakkan anak saya melihat cerita tersebut. Kapten oso datang membantu kanak-kanak dengan menggunakan 3 langkah yang mudah. Saya pasti kanak-kanak akan teruja apabila mereka berjaya melakukan sesuatu.

Saya ada mendengar rungutan seorang ibu yang menceritakan anaknya yang berusia 7 tahun masih tidak tahu mengurus diri. Contoh sewaktu pulang dari sekolah.

Ini pendapat saya, kanak-kanak memerlukan bahasa yang mudah untuk memahami sesuatu arahan. Jika si ibu menyatakan mahu anak mengurus dirinya pastilah kanak-kanak kecil itu tidak tahu apa maksud mengurus diri.
Oleh itu, maksud mengurus diri harus diterjemahkan ke dalam bentuk teknik. Teknik bagi mengurus diri apabila pulang dari sekolah.
1.      Simpan stoking di dalam kasut
2.      Letakkan beg di rak
3.      Tanggalkan uniform sekolah, masukkan ke dalam bakul atau gantungkan
4.      pakai pakaian untuk bermain.

Satu lagi contoh adalah apabila kita mahu anak kita menjadi baik maka kita harus menterjemahkan maksud menjadi baik kepada anak kita. Perkataan baik memang suatu yang subjektif tetapi dengan meletakkan teknik-teknik dan tingkah laku menjadi seorang yang baik maka itulah kaedah menjadi baik.
Sekalipun kaedah ini tidak menjadi betul selamanya bagi anak-anak kita sekurang-kurang mereka tergolong di dalam orang yang menjadi baik.
Contohnya apabila kita berkata “ kamu mesti jadi baik”, apa yang perlu kita terjemahkan adalah apakah yang perlu dibuat untuk menjadi baik. Menjadi baik bagi anak berusia 6 tahun:
1.Mesti pandai dan rajin mengaji
2. bercakap dengan suara yang sopan
3.mendengar cakap ibu dan ayah
4.mesti menghormati tetamu
5. dan lain-lain lagi.

Saya berpendapat, ibubapa hari ini terlalu banyak menggunakan perkataan sehingga ayat yang diucapkan tidak difahami oleh anak-anak. Sejak saya menghadiri satu kursus mendorong pelajar corot saya mula mempraktikkan kaedah-kaedah Gaya Nabi Muhammad mendorong pelajar. Ia juga boleh digunapakai dalam mendidik anak-anak.



Pengalaman saya sendiri, sebenarnya apabila anak kita membuat nakal dan tidak mendengar kata, memang kita berasa marah dan kita rasa mahu menghukumnya. Kita mahu memberi pengajaran di atas kenakalannya.

Saya berfikir dan merenung kembali. Sebenarnya denda dan kemarahan itu adalah untuk kepentingan siapa?. Apakah denda, hukuman dan kemarahan itu untuk kepentingan anak-anak. Saya fikir ia silap. Ia langsung tidak memberi iktibar kepada anak-anak malah tubuh mereka merasa sakit dan hati mereka berasa marah dan terguris.

Bagi saya marah, mengenakan hukuman dan denda adalah untuk kepentingan ibubapa yang mahu meredakan kemarahannya. Apabila kita marah, nafas kita bergerak laju kerana kita memerlukan oksigen untuk menampung sistem pernafasan kita, pada masa yang sama hormon-hormon menjadi aktif. Apabila hormon menjadi aktif serta bertindakbalas dengan gas oksigen yang masuk ke dalam sistem pernafasan ia menghasilkan satu bendalir yang perlu disalurkan. Bendalir itu akan disalurkan secara berlebihan kepada anggota tubuh badan. Waktu itu apabila kita marah, kita mahu melepaskan bendalir tersebut dengan memukul dan menjerit. Hal ini berlaku kepada orang yang menghadapi tekanan. Dengan menjerit kuat, memukul maka kita menjadi tenang kembali.

Hal ini sepatutnya tidak patut berlaku. Kerana itu sebagai ibubapa dan guru kita seharusnya sentiasa sedar dan waras dalam menentukan tindakan kita. Cara terbaik dalam menghadapi situasi ini adalah dengan tenangkan diri, beristighfar dan menarik nafas. Kemudian kita berkomunikasi dengan anak-anak atau pelajar yang telah membuat salah. Kita boleh memberi hukuman tetapi menghukum apabila kita sudah tenang dan jelaskan mengapa hukuman ini diberikan.

Kedua, berikan pilihan hukuman kepada mereka serta menjelaskan apakah akibat jika perkara tersebut dilakukan. Jika kesalahan itu di dalam kategori tertentu berilah hukuman yang setimpal. Jika tidak boleh dicadangkan dengan memberi hukuman seperti membaca al quran, berzikir, duduk diam dan sebagainya.

Mendidik dan mengajar bukan perkara yang mudah. Sebab itu, ibubapa yang menghantar anak mereka ke Tadika atau pusat asuhan sepatutnya lebih banyak besabar dan berlapang dada. Tidak harus menyalahkan guru semata-mata. Saya yakin mereka tentunya cuba melakukan yang terbaik.

Anak saya pernah mengadu apabila pulang dari Tadika, ketika itu usianya 4 tahun, dia tidak diberi makan oleh gurunya. Itu adalah hari pertamanya. Sebagai ibu saya tidak terus melenting atau marah. Saya bertanya kepada anak saya, mengapa keadaan begitu berlaku. Anak saya memberitahu guru meminta dia mengambil makanannya sendiri di dapur. Saya faham mungkin kesibukan guru menyebabkan kadang-kadang ada yang terlepas pandang.

Namun, sebagai ibu kita harus mengajar anak kita sendiri. Saya berkata kepada anak saya “Esok kamu mesti ambil sendiri makanan, jangan tunggu cikgu ambilkan, kamu seorang yang boleh berdikari dan mampu untuk mengambil makanan.”
1.      Bangun dan pergi ke dapur
2.      Minta pada guru atau sesiapa
3.      Katakan apa yang kamu mahu “contoh makanan)
4.      Kamu makan dengan sehingga kenyang

 Hari kedua dan seterusnya, masalah itu selesai. Anak saya sudah mendapat ilmu baru.

Sesetengah orang tidak bersetuju juga dengan cara ini. Anak akan menjadi tidak kreatif dan terlalu mengikut prosedur. Pendapat saya di dalam sains kejayaan,seseorang itu mesti mempunyai disiplin ketika menjalani kehidupannya. Tiada kejayaan kepada orang yang membuat kerja acuh tidak acuh dan caca merba. Kreatif adalah topik lain. Membentuk kemahiran berfikir dan mencetus kreatif di dalam diri anak-anak adalah cara kita ‘membenarkan’ mereka berfikir apa sahaja, menjangkau pembelajaran di dalam kelas dan di dalam rumah.

Membentuk kreatif adalah cara kita tidak menyekat apa yang mereka mahu lakukan sesuai dengan usia mereka. Ada ibubapa yang terlalu sayangkan anak langsung tidak membenarkan anak mereka bermain pisau, gunting, memanjat, bermain dan sebagainya. Itu maksudnya menyekat kreativiti anak-anak.

Membentuk kreativiti mereka adalah dengan cara ‘melepaskan’ mereka dengan dunia imaginasi mereka. Pada masa yang sama kita membantu dan mengajar mereka cara menggunakan dengan betul.

Kesimpulannya, di dalam memberi pendidikan ini, jangan kita terhadkan kepada suatu kaedah dan cara pandang sahaja. Bawalah anak-anak kita kepada ‘back to nature’. Dimana mereka boleh belajar tentang dunia mereka dengan sepuasnya.

Sekian.

Perkahwinan Itu Pilihan


Hari ini dapat berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang membina sebuah perkahwinan. Perkahwinan itu merupakan satu pilihan yang dibuat sendiri oleh si pembuat pilihan. Tiada Istilah yang dibenarkan iaitu 'kahwin paksa' atau "terkahwin". Sebagai manusia yang normal, kita sendiri yang menentukan apa pilihan yang wajar kita buat untuk kebaikan diri kita.



Allah swt sendiri tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk berkahwin dengan sesiapa yang tidak dia suka. Di dalam islam sendiri mengambil berat tentang perasaan orang yang ingin berkahwin sama ada mahu berkahwin atau tidak. Pilihan yang boleh dibuat boleh dibawa kepada sesi musyawarah atau perbincangan terlebih dahulu dengan ahli keluarga.

Beberapa perkara penting yang harus difikirkan sewaktu kita mahu membuat pilihan sebelum berkahwin.

1. Calon pasangan
2. Calon mertua
3.Status calon pasangan dan calon mertua
4.Taraf /kedudukan calon pasangan atau mertua
5.Memilih karakter bukan "chemistry"

Dalam mengupas kriteria ini maka kita mestilah meneliti calon pasangan yang bakal kita kahwini. Nabi Muhammad pernah bersabda.
"kahwinilah seorang perempuan itu dengan empat perkara. Kahwini dia kerana kecantikannya, kahwini dia kerana hartanya, kahwini dia kerana keturunannnya. Berbahagialah orang mengahwini seorang perempuan kerana agamanya"

Hadis ini diterangkan bukan kepada perempuan sahaja, ia juga turut melibatkan calon lelaki. Apabila kita mahu memilih pasangan wajiblah kita melihat kriteria tersebut bagi jaminan kebahagian rumah tangga dunia dan akhirat. Apabila seorang itu memilih kerana agama maka sewajibnya mereka mengetahui kepentingan dan kebajikan dalam rumah tangga. Menjaga dan mengurus rumah tangga dengan sempurna adalah juga sebahagian tanggungjawab dalam agama. Hal ini kerana melahirkan generasi para duah merupakan tanggungjawab sebuah keluarga muslim.

Orang yang beragama dan mukmin sebenar adalah orang yang menerapkan nilai-nilai agama yang tinggi, bukan sekadar agama seperti hanya pada pakaian atau luaran sahaja. Nilaian agama adalah kesempurnaan mereka dalam menyelesaikan tanggungjawab wajib seperti yang termaktub dalam rukun iman dan islam. Kedua adalah berdasarkan hubungannya dengan Allah swt dan hubungannya dengan manusia iaitu masyarakat disekitarnya. Ketiga adalah kesempurnaannya dalam jihad menegakkan agamanya, maruahnya, tanah airnya dan akal generasinya.



Calon mertua
Kebiasaan orang akan berkahwin apabila jatuh cinta atau 'suka' kepada seseorang. Jarang sekali kita dengar orang berkahwin kerana 'suka' dengan bakal mertuanya. Hal ini dengarnya agak pelik. Ramai orang berkata "bukan aku mahu berkahwin dengan ibunya atau adik beradiknya, aku mahu berkahwin dengan anaknya".

Sebenarnya ramai yang memandang rendah tentang hal ini.Sedangkan banyak kajian menyatakan antara punca penceraian adalah dari mertua. Mengapa hal ini berlaku adalah kadang-kadang berlaku perselisihan faham antara menantu dan mertua. Seorang ibu mertua memang mempunyai hak untuk merasa tidak puas hati jika layanan yang diberikan oleh isteri atau suami tidak seperti mereka melayan anak mereka. Mereka melontarkan banyak persoalan bagaimana si menantu melayan kehendak anaknya yang telah dijaga bagai minyak yang penuh sejak kecil.

Hal ini pula berkait pula, si menantu tidak pandai mengambil hati si ibu mertua. Menurut Ustaz Uda bin Kassim, Ibu mertua adalah setaraf dengan Ibu kandung. Sewajibnya kita menghormati dan berkasih sayang dengan ibu mertua seperti mana kita berkasih sayang dengan ibu kita sendiri. Namun ada beberapa pantang yang tidak boleh dilakukan kepada ibu mertua oleh si menantu. Hal ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam bab yang lain.

Dalam suatu kisah Saidina Abu Bakar telah berhasrat untuk mengambil Habsah sebagai isteri beliau. Ini kerana beliau amat mengenali peribadi Saidina Umar iaitu sahabat beliau sendiri yang berhati mulia. Namun apabila mengetahui Nabi Muhammad juga berhasrat mahu melamar Habsah maka Saidina Umar memberi laluan.
"Disini kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad memilih sendiri calon mertuanya kerana baginda amant mengenali kebaikan Saidina Abu bakar" ujar Ustaz Uda Bin Kassim lagi.

Ketiga adalah status calon pasangan dan calon mertua. Kita wajar menilai terlebih dahulu calon pasangan atau mertua berdasarkan status yang setaraf dengan kita. Kita wajar merancang status bagaimana yang akan berlaku sewaktu kita menjalani kehidupan. Jika keluarga sebelah kita dan diri kita rasa serasi dan sesuai untuk mengikuti budaya keluarga sebelah pasangan kita dan keluarga mertua Maka terpulang kepada kita.
Contohnya. Kita berasal dari keluarga yang hidup di kampung. Cara dan budaya orang kampung berbeza dengan cara hidup masyarakat bandar.

Budaya dan cara hidup kadang -kadang perkara remeh tetapi apabila ia langsung tidak diendahkan maka ia akan menjadi kudis yang boleh merebak.Oleh itu berhati-hati dalam menilai taraf dan status kita dan pasangan kita, dibimbangi ia akan terluka dikemudian hari. Kemungkinan yang berlaku ibu bapa dan adik beradik kita akan terasa hati akibat budaya keluarga pasangan kita yang tidak menghormati budaya kita.

Perkara terakhir adalah, pilihlah pasangan berdasarkan kita melihat karakternya bukan melihat 'chemistry". Rata-rata yang berlaku ada orang jatuh cinta kerana lahir dibulan yang sama, meminati perkara yang sama. Semua perkara itu tidak kekal dan boleh berubah. Karakter adalah ciri-ciri peribadi yang ada dalam diri seseorang pasangan. Kebiasaannya kita telah bersedia untuk menerima siapa diri pasangan kita walaupun kita mengetahui dia seorang panas baran. Karakter itu jelas, jika perkahwinan kita tidak bahagia sekalipun kita sendiri yang membuat pilihan bahawa pasangan kita memang seorang panas baran. Itu contohnya. Banyak lagi contoh lain. Pilihan dan keputusan yang kita buat sebelum perkahwinan adalah keputusan yang kita sendiri tahu dan bersedia untuk menerimanya berbanding jika kita memilihnya kerana 'chemistry" yang semua perkara berkaitan dengan 'chemistry" itu tidak terduga oleh akal kita. Boleh jadi ia hanya satu wayang yang kita tidak mampu untuk menelah.

Kesimpulannya, perkongsian dalam siri ini mengajar kita membuat pilihan. Jangan lupa pada siri akan datang. Bagaimana penulis memilih calon pasangan berdasarkan lokasi negeri. Penulis sendiri menetapkan pasangannya mesti orang yang berasal dari lokasi yang mudah untuk urusan balik kampung dan sebagainya.

Sekian

Bersih 3.0: Semangat Cintakan Negara


Beberapa hari sebelum Bersih 3.0, saya sudah merancang untuk turut serta kerana di dalam jiwa ini ada semangat cintakan negara. Sedang orang lain sibuk menguruskan hal diri sendiri, memikirkan periuk nasi tetapi negara di dalam keadaan yang amat menyedihkan. Negara tercinta ini kaya dengan hasil bumi seperti Kelapa Sawit, getah., petroleum dan lain-lain lagi. Namun begitu, mengapa negara ini masih mengekalkan malah menambah cukai-cukai , tol, harga barang yang semakin naik dan pelbagai perkara yang sentiasa memberatkan rakyat.



Oleh itu, dengan semangat cintakan negara ini saya yakin bahawa saya telah menyumbang sesuatu kepada negara walaupun saya hanya seperti seekor semut daripada ribuan penyokong bersih yang hadir. Benar, kehadiran diri ini menambahkan semangat cintakan negara dari pemimpin-pemimpin yang korup dan rasuah.

Teruja sekali apabila melihat rakyat berbondong-bondong berjalan kaki semata-mata mahu menunjukkan semangat yang begitu murni ini.

Jam 10.45 pagi saya, suami dan anak lelaki berumur 6 tahun sudah bersiap. Kami  memang merancang untuk meletakkan kenderaan di stesen Komuter Sungai Buloh. Pada waktu itu kelihatan stesen tidak berapa sesak. Kemudian terserempak dengan beberapa orang muslimat seperti Kak Chik dan kawan-kawannya.

11.30 tengahhari sampai di Stesen KL sentral. waktu ini peserta Bersih 3.0 semakin sesak  dan saya mula berfikir. mengapa mereka semua ini sanggup datang beramai-ramai bagi menyertai Bersih 3.0. Tentu sahaja ada sebab yang munasabah. Adakah tujuan mereka juga seperti saya. Mereka Cintakan Negara Malaysia ini. Saya dan Mereka tentu sudah penat dan letih melihat sikap pemimpin yang tidak habis-habis bermewahan di atas kekayaan hasil negara.


12.30 tengahhari mula bergerak dari KL Sentral ke Jalan Sultan. Terasa jauh juga tetapi kaki tidak terasa penat. Terserempak dengan sahabat dari Terengganu, sempat bersapa dan berpisah kerana beliau mengikuti kumpulannya dari Terengganu. Kami bertiga mula berjalan. Dalam terik panas mentari tidak terasa dek kerana semangat yang berkobar-kobar. Anak bujang berusia 6 tahun ini juga melangkah dan ada riak tertanya diwajahnya. Tidak mengapa saya diamkan dulu biar dia melalui sehingga habis baru saya akan ceritakan tentang perjuangan ini.

1.30 tengahhari kami tiba di Stesen Pasar Seni. Menunaikan solat zuhur. Kemudian mula melangkah mengikuti penyokong-penyokong yang lain.

2 petang kami menunggu sehingga terdengar sorakan dari jauh, barulah kami berarak ke hadapan apabila rombongan dari pimpinan pakatan rakyat tiba. Saya melangkah sambil mengikuti laungan-laungan cintakan negara. Seakan sebuah pesta dimana rakyat yang berfikir dan mahukan negara tercinta ini bebas dari cengkaman kebodohan dari pemerintah yang zalim.

2.30 petang singgah di restoran di dataran Maybank. membelikan sepinggan nasi kepada anak kecil. saya langsung tidak berselera untuk makan, kenyang apabila melihat ribuan manusia yang cintakan negara berhimpun. Seolah-olah mereka tidak sabar-sabar mahukan negara ini diBERSIHkan dari kezaliman dan kecurangan.

3.00 petang. Kami berarak dari Dataran Maybank setelah selesai ucapan pimpinan PR. Kami melangkah terus ke hadapan di depan sebuah Hotel. Saya tidak ingat nama hotel tersebut. Kami mengambil tempat di tepi bangunan Hotel dan mula duduk bersama-sama yang lain.

4.00 petang. saya mula terasa lapar lalu meminta dari suami untuk ke kedai serbaneka dihadapan kami. Saya membeli biskut dan air.

4.15 petang saya mengerling ke arah jam. biskut masih dalam kunyahan. Tiba-tiba kedengaran jeritan dari jauh dan ramai yang sudah bangun. Suami mengangkat anak dan mula berlari, Saya mengikuti dari belakang. terasa asap bercampur bahan kimia sudah sampai kepada kami dalam beberapa saat sehaja. saya mula terasa mahu muntah dan pedih mata dan muka. Suami yang mendukung anak juga kelihatan kepedihan. Sambil berlari segera saya menutup anak dengan selendang dan mengeluarkan tuala dari beg. Tuala jatuh ke tanah. Saya hampir panik. nasib baik ada yang memberi ruang pantas saya mencapai tuala dan berlari. Hanya kepada Allah saya memohon. Nasib kami tidak terlanggar apa-apa akibat kesesakan nafas mula terasa. Suami meminta saya mengeluarkan air, tetapi saya fikir tidak akan sempat untuk membuka beg sandang.

Sambil berlari mengekori suami saya ternampak seorang kakak memegang air botol. Saya lantas meminta air tersebut. Saya meminum air dan kemudian memberi kepada suami. Terima Kasih kepada kakak tersebut walaupun saya tidak sempat mengucapkannnya. Kepala saya sudah pening dan terasa mahu jatuh ke tanah. Saya cuba gagahi juga. Saya ternampak sebuah restoren yang masih terbuka pintu. Saya menjerit kepada suami agar masuk ke dalam restoren tersebut. Kebetulan ada peserta yang menjerit agar saya masuk apabila melihat suami mendukung anak saya yang sudah mula kepedihan.

Apabila masuk, terasa muka saya kepedihan. Terus sahaja beberapa peserta memberikan saya garam untuk dihisap. Saya muntah terus. suami dan anak juga terbatuk-batuk dan muntah. Saya membuka paip air sinki dan membasuh muka dan mata. Tuala saya basahkan dan mengelap muka anak. Nasib baik dia tidak menangis tetapi pada mulanya enggan memakan garam. Saya memintanya makan dan berkata ini ubat untuk rasa pedih tersebut.

Suami membasuh muka dan matanya sambil saya menenangkan anak. Beberapa ketika kami diminta pergi kebelakang dapur kerana asap kimia sudah mula masuk ke dalam kedai. Kami mula melepaskan lelah dicelah lorong belakang bangunan. Apabila keadaan mula tenang. anak saya mula bertanya. saya cuba menjelaskan semampu boleh.

5.00 petang. Keadaan agak terkawal dan kami mula keluar dari lorong tersebut. Sempat saya berkenalan dengan beberapa orang peserta. Kak Ton dari Terengganu dan Ahli Parlimen DAP dari Perak.

5.30 petang. Kaki mula terasa sakit dan saya menahan teksi untuk ke KL Sentral. Selesai menunaikan solat asar, kami menaiki Komuter untuk perjalanan pulang.

Sehari yang cukup bersejarah dan memberi kepuasan kepada diri sendiri. Anak saya juga sibuk bercerita kepada neneknya dan kawan-kawannya apa yang dia alami semasa peristiwa BERSIH 3.0. Semoga ia kekal menjadi azimat kepada perjuangan yang belum selesai.
Dewasa dia akan faham. Bersih 3.0 adalah memperjuangkan masa depannya di dalam sebuah Negara Tercinta Ini.


Aku terfikir, bagaimana pihak Polis boleh melepaskan gas pemedih mata sedangkan kami ini langsung tidak bawa apa-apa senjata untuk mempertahankan diri. Kami hadir kerana Cintakan Negara. Hanya Doa dan harapan yang kami ada.

Bagi saya, sekurang-kurangnya Bersih 3.0 berjaya mengocak suasana politik negara agar pemimpin-pemimpin yang zalim, tidur, rasuah tidak akan lena dan bersenang lenang.

Catatan 1.07 pagi

Debat PTPTN:Kami Insan Kecil

Monolog

Sebagai seorang warga yang dilahirkan dibumi Malaysia tercinta ini, kami hanya melihat kepentingan diri dan pembelaan yang sewajarnya kepada kami dan keluarga kami. Itulah yang kami faham sebagai menjadi seorang rakyat yang berjiwa cintakan negara.



Kami langsung tidak pernah melihat, memegang malah terfikir angka-angka besar yang disebut oleh pemimpin-pemimpin kami. 1 biliion, 1 juta, 100 ribu. Setiap bulan hanya beberapa ribu yang kami pegang itupun tidak sampai beberapa hari. Semuanya habis membayar kereta, rumah, persekolahan anak-anak, minyak kereta dan barangan keperluan.

Namun, hidup diteruskan juga. Setiap hari berfikir bagaimana mahu mencari wang lebih, kerana setiap hari perbelanjaan semakin bertambah. Anak-anak semakin membesar. Barangan keperluan semakin meningkat dan kos hidup semakin tinggi.

Apa yang ada di dalam fikiran, apabila ditawarkan sesuatu yang boleh membantu kami, mengurangkan kos hidup, melangsaikan hutang pendidikan, air percuma, penghapusan tol, penurunan harga minyak dan lain-lain kebaikan, maka itu satu tawaran yang baik dan penting kepada kami.

Tidak kiralah itu mungkin satu janji untuk meraih undi, namun apa yang kami fikirkan setelah 40 tahun UMNO memerintah, kami tetap seperti ini. mungkin 20 tahun lepas kami tidak pernah mengecapi pentadbiran UMNO ini, tetapi setelah 31 tahun hidup di dunia ini maka inilah kami hadapi. Semakin hari semakin mengecewakan.

Realiti

Maka, apabila Tuan Rafizi, pendebat yang hebat ini mengutarakan hujah dan fakta tentang masa depan negara, kami semkain teruja. Membayangkan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. melihat dari segi sudut karakter hati kami berkata-kata. Inilah pemimpin yang kami mahukan. Maka saya MEMILIH TUKAR KERAJAAN BARU YANG MENAWARKAN JANJI YANG LEBIH BAIK

Pendapat saya tentang Debat PTPTN ini.

Tahniah kepada Tuan Rafizi Ramli kerana :
1.mempunyai hujah yang mantap dan berfakta
2. Menepati masa yang diberikan
3. Wajah tenang, nada suara tenang
4. Fakta dan angka jelas
5. Tidak mengelabah

Bagi saya kekurangan KJ adalah:
1. Tidak menjawab soalan kemana wang petronas sebanyak 237 bilion
2. Mengatakan hutang Tajuddin Ramli akibat dari kegawatan ekonomi, telah diselesaikan di luar mahkamah,  yakin bahawa Tajuddin Ramli membayar hutang 60 peratus atau lebih ( Tiada fakta /hanya prasangka )
3. Mengatakan keyakinan NFC akan membayar hutangnya semula. ( Pelik, macam tahu-tahu je )
4. Mengatakan pelajar IPTS mendapat untung diatas pinjaman PTPTN ( Rasa tersalah sebut, sepatutnya bukan pelajar yang untung, tauke IPTS yang untung sebab ramai pelajar IPTS terpaksa berkerja kerana mahu mencari wang sara hidup, PTPTN hanya untuk membayar kos pengajian )
5.Saya kira 3-4 kali KJ menelan air liurnya. dan mengalih-alihkan lidahnya. ( Tanda mengelabah )
6.Tak sepatutnya mengeluarkan ayat macam budak-budak contoh hinalah kolej komuniti, pakatan rakyat memikir golongan elit sahaja. ( Cakap-cakap kosong  dan beremosi )

Sekian, analisa debat malam ini

Sehari di Bengkel Professional Image Branding


Persepsi Berubah

Sehari berada di Bengkel Professional Image Branding cukup mengujakan. Saya bukanlah orang yang terlalu mementingkan fesyen dalam kehidupan seharian tetapi apabila bercakap soal imej, ia menjadi wajib untuk kita belajar.

Puan Mary Anni saya fikir cukup terlatih dalam mengendalikan bengkel ini.Dulu saya fikir tentunya bengkel seperti ini hanya untuk mereka yang mahu menjadi selebriti atau yang telah dikenali oleh khalayak. Hari ini persepsi saya berubah. Hal ini disebabkan oleh mula-mula kita harus menandakan apa yang kita mahu orang lihat pada diri kita. Tentu sekali kita mahukan orang melihat kita dengan apa yang kita fikir. Ternyata itu tidak benar. Orang lain melihat dan menilai kita dengan apa yang kita tampilkan. 




Pertama kali orang berjumpa kita tentu sahaja mereka tidak tahu siapa kita, apa kesukaan kita, apa kegemaran kita. Oleh itu memberi pandangan pertama orang lain terhadap kita adalah berkaitan dengan imej. Imej pula berkaitan dengan warna. Warna pula berkaitan dengan gaya. Gaya pula berkaitan dengan budaya kita. 

How others judge you?
55 % is based on visual
38% is based on vocal
7 & is based on verbal

Sama sekali kita tidak boleh salahkan orang lain apabila orang menilai kita dengan cara yang berbeza dari yang kita mahukan. Mereka adalah hakim yang benar.

Berkongsi Dengan Suami

Apabila pulang sahaja dari bengkel terus sahaja membuka kembali nota kursus, teruja mahu berkongsi. Suami tersengih-sengih kerana isterinya mendapat ilmu baru yang tentu sahaja memudahkan apabila diminta untuk menemani membeli pakaian kerjanya. Sebelum ini saya selalu menemani suami acuh tidak acuh. Bukan malas tetapi apabila ditanya baju mana yang sesuai, saya selalu sahaja diminta memberikan cadangan tetapi sebenarnya saya menjawab dengan cadangan 'hentam' sahaja. Harap-harap sang suami berpuas hati.

Berbeza hari ini, tersenyum sang suami kerana melihat kebolehan saya membezakan warna dan menyesuaikan kemeja dan seluar. Ia ternyata benar, jangan beri peluang orang lain menjadi perunding kepada suami sendiri, kita harus berusaha belajar. Sekalipun tidak menjadi pakar perunding imej kepada orang lain, cukup bernilai menjadi perunding kepada suami sendiri. Ini azam baru.

Style Personality

Natural 
Feeling comfortable in your clothes is the most important factor for you when choosing what to wear. You prefer casual styling to formal business wear, and you hate a cluttered look-simple lines and designs are more you. In keeping with your no-fuss attitude, clothes must be easy-care and ideally non-iron
Classic
You have a fairly formal wardrobe. You like to appear well turned -out and elegant. You are quite content to keep to the same hairstyles. Your Make up routines is fixed and you rarely experiment with new shades. You have a few favorite stores that you visit when you need new clothes.
Romantic
You love everything about dressing up and planning your wardrobe. Your clothes are pretty and you adore all sorts of details:bows, ruffles and fringes. You never go out without make up. You will spend longer than anybody else looking after yourself and your grooming.
Dramatic
You love to be noticed and often wear clothes with a wow factor. whatever the latest fashion, you will have a go at wearing it, even if t doesn't particularly suit you. Shopping is one of your favourite pastimes.

Pasal imej, memang sudah jelas saya ini bukanlah jenis romatik dan dinamik. Saya ini memang jenis suka pakaian yang ringkas dan selesa. Itu adalah gabungan Natural dan Classic. Namun begitu, diri kita sendiri lebih mengetahui apa yang paling sesuai dengan apa yang kita mahukan. Ingat berfikirlah dengan cara orang fikir dan menilai kita. 

Imej

Wearing the right colour near your face reflects light upward, making you look bright-eyed and  healthier
Wearing the wrong colour will make you look tired, unhealthy and older.

Bila dikaji semula, banyak benarnya pernyataan di atas. Patutlah apabila saya memakai warna yang salah, saya rasa begitu gelisah dan tidak selesa. Selalu juga saya rasa tidak bermaya, rasa tidak sihat dan rasa seperti masuk 'perigi buta'.

Apabila saya mengenakan warna kegemaran atau warna yang sesuai dengan tema majlis, saya rasa ceria dan bersemangat. Rasa seperti bertenaga dan menjadi termotivasi. Mungkin perihal warna-warni ini tentu ada lebih maksud dan makna yang wajar dikaji. 

Perkongsian tips saya berdasarkan pengalaman, apabila saya rasa 'mood' tidak berapa baik. Saya akan mengambil buku lukisan dan mula mewarna. Saya akan mewarna dan terus mewarna gambar-gambar. Sehingga saya tidak sedar beberapa minit telah berlalu dan saya rasa lega. 'mood' tidak baik saya itu telah saya pindahkan ke dalam warna-warna tersebut. Cubalah.

Yang terakhir, tips tambahan dari bengkel tersebut:

If you want to appear trustworthy
Wear clear earthy colours combined with navy or medium blue
* Clear earthy tones (such as tan, camel, yellowed beige) appear warm, open and down to earth giving the impression of dependability and credibility
* Navy and medium blue suggest reasonableness and professionalism.


Semoga Terus Maju.

9 SIKAP WANITA YANG JADI PERHATIAN LELAKI



1. Sikap Keibuan

Banyak lelaki yang terpikat pada wanita yang bersikap keibuan, lembut, mengambil berat dan penuh kasih sayang.Wajah yang keibuan mampu membuat lelaki berasa tenteram ketika sedang stress, cemas, gelisah dan senang.

2. Keanak-anakan


Dalam batas yang wajar, sifat keanak-anakan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka terasa terhibur dengan keletah anda, tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakkan yang melampau dan menyakitkan hati. Tetapi sikap keanakan yang menyenangkan. Misalnya kemanjaan wanita yang membangkitkan naluri kebapaan dan kelakian lelaki, wanita ceria membuat lelaki lebih ghairah.

3. Penuh Pengertian

Sikap pengertian wanita membuat lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya. Sikap ini tercermin dari perasaan mudah memaafkan, memilih waktu yang tepat untuk berbincang masalah dan sebagainya.

4. Menghargai

Wanita yang menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki.Berbeza dengan wanita yang suka di perlakukan dengan lembut, lelaki suka dihargai, dipuji dengan tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Pengharg­aan dari wanita membuat lelaki berasa bangga.

5. Menjaga Penampilan
Lelaki menyukai wanita yang pandai menjaga penampilan agar sentiasa kelihatan cantik, bersih, kemas dan menarik. Penampilan yang baik menunjukkan wanita tersebut menghargai dirinya.

6. Pandai Berbicara

Lelaki tertarik dengan wanita yang pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual. Walau walau topik perbualan yang disukai lelaki berbeza dengan topik kegemaran wanita, wanita tersebut dapat mengimbanginya. Dia bukan sekadar teman berbual yang pasif, tetapi dapat memberi respon dan pendapat yang baik, serta mengalihkan topik yang agak serius kepada perbualan yang lebih menarik.

7. Pandai Bergaul dan Menyesuaikan Diri

Wanita yang pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih dimata lelaki. Wanita tersebut tahu menghadapi org yang lebih tua dan cara berhadapan dengan orang yang lebih muda.Apabila berhadapan dengan suasan yang baru,wanita tersebut tidak gentar,malah cepat menyesuaikan diri. Dia mudah diajak kemana saja dan tidak kekok samada di bandar atau di kampung.

8. Menghormati Diri Sendiri

Lelaki suka wanita yang menghargai dirinya sendiri sebagai seorang wanita,bersikap sopan dan mempunyai etika. Wanita yang menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan dan tahu apa yang baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya.

9. Simpati dan Prihatin

Lelaki suka wanita yang murah hati,mengambil berat, simpati pada nasib yang susah. Sayang pada kanak-kanak dan tidak memilih bulu. Kebaikan yang wajar dan spontan mencerminkan hati yang mulia. Ada kecantikan dalaman pada dirinya yang memancar keluar dengan indah dan mempesona.


Artikel Dari Blog:http://buletin-terkini-online.blogspot.com

Tip untuk Isteri


Perkahwinan adalah suatu hubungan yang mempunyai matlamat jangka panjang. Oleh sebab itu, mengapa seorang lelaki dan wanita perlu berkahwin terlebih dahulu sebelum melakukan hubungan seks kerana kelahiran seorang anak juga merupakan matlamat jangka panjang. Definisi matlamat jangka panjang adalah bukan sekadar tujuan perkahwinan sekadar untuk bersuka ria yang boleh dilakukan dalam tempoh waktu yang pendek seperti satu minggu atau satu bulan.

Proses perkahwinan merupakan proses kesatuan untuk mengembangkan generasi demi generasi. Oleh itu, sebagai seorang hamba Allah, tujuan perkahwinan lebih kepada bersama-sama mengtauhidkan Tuhan Yang Maha Esa demi mendapat berkat dan rahmatNya.



Menjadi isteri sekaligus ibu, menantu, kakak ipar dan biras merupakan tugas penting yang harus dilakukan dengan memupuk cara berkomunikasi yang baik, cara bertindak dan cara menyesuaikan diri. Punca utama mengapa wanita selalu tidak dapat menjalankan tugas-tugas tersebut adalah faktor emosi dan menggunakan teknik yang salah.

Kajian menunjukkan 70 peratus punca penceraian adalah bermula dari wanita yang memohon penceraian di Mahkamah. Antara punca mereka memohon penceraian adalah mereka merasakan suami mereka sudah tidak menyayangi mereka dan mereka tidak suka dengan beberapa sikap lelaki.

Faktor pengurusan emosi menjadi ledakan utama kepada wanita dalam menyelesaikan konflik diri mereka sendiri. Oleh itu, kita harus berupaya meningkatkan kapasiti diri kita sebagai wanita untuk menjadi pengurus emosi yang baik.

Contohnya, wanita selalu dikaitkan dengan suka berleter. Teknik berleter adalah teknik yang paling lelaki tidak suka. Wanita wajar menguruskan emosi suka berleter kepada suka mendorong. Apabila melihat si suami suka meletakkan stokin di ruang tamu, anggap sahaja itu perkara kecil. Kita membantu suami meletakkan stokin di dalam bakul pakaian merupakan pahala yang wajib kita dapati.

Banyak perkara yang lebih besar lagi yang perlu kita minta dari sang suami dalam memenuhi kehendak hati kita. Oleh itu, jadikan perkara-perkara kecil sebagai menyuntik perasaan kasih si suami kepada kita. Kasih sayang suami akan lebih meningkat jika kita selalu sahaja membantu sang suami dan suami juga akan merasa kasihan melihat pengorbanan kita, kesabaran dan keletihan kita.

Oleh itu, dua elemen penting ini iaitu kasih dan kasihan merupakan faktor utama untuk meningkatkan rasa tanggungjawab, keinginan mahu berubah sikap, keinginan untuk membantu isteri, keinginan untuk membahagiakan isteri oleh seorang suami.

Kredit yang amat besar kepada isteri apabila apabila sang suami merasakan bahawa isterinya seorang yang jujur, ikhlas, bersabar, suka membantu, baik hati, mempunyai daya empati, memahami dan bersyukur atas apa yang ada.

Masalah akan menjadi besar di dalam rumah tangga apabila isteri bertindak seperti kanak-kanak, cemburu buta, suka menyalahkan suami, suka berleter dan tidak bersyukur.

Anugerah paling besar kepada isteri adalah apabila kasihnya seorang suami kepada dirinya dengan kasih sayang tanpa syarat.

Aplikasi Hadis Nabi Prinsip Motivasi

Saya mendaftar diri sewal dua minggu bagi menempatkan diri dalam sebuah kursus "Mendorong Pelajar Corot Teknik Nabi Muhammad". Tajuk kursus yang baru untuk didengari. Namun teruja juga apabila kursus tersebut diberi oleh Seorang Trainer yang saya sanjung sejak lama dahulu.

Saya ada membaca blog Tim Psikologi Hadis sebelum ini dan pengisiannya memang menarik minat saya. Jadi peluang kursus ini tidak saya lepaskan begitu sahaja. seawal jam 7 pagi saya sudah bertolak ke Ampang dengan suami. Mengikuti kursus bersama suami adalah satu pekara menarik yang harus dilakukan kerana apabila balik ke rumah nanti kami boleh berbincang terus mengenai tajuk atau isu yang dibangkitkan.

Tiga belas lembaran hadis Nabi yang diberi menambah keterujaan saya. Masakan tidak, selama ini kita hidup terbiasa dengan kelaziman yang tidak berdasarkan hadis dan teknik Nabi sebenarnya.

Saya sebagai ibu dan guru juga selalu berfikir."Kenapalah tiada teknik dan kaedah untuk mengajar dan mendidik anak yang tidak perlu kita menggunakan emosi marah, ugutan, deraan, paksaan, ganjaran yang tidak sihat dan banyak lagi yang perlu dibuat untuk mendidik manusia menjadi insan berkualiti"

Maka di sini saya berjumpa tekniknya.

Dulu saya selalu mengugut anak dengan berkata,
" Jangan conteng dinding, nanti kena cubit"
"Jangan bising, nanti mama rotan"
"Jangan, jangan,jangan....."

Saya sendiri jemu dengan teknik demikian. Namun ia seolah-olah menjadi kebiasaan cara tradisional mendidik anak.
Ada benarnya dengan cara demikian saya berjaya menjadi manusia yang sihat akal dan tubuh badan. Namun, zaman telah berubah. Nabi juga berkata" Didiklah anak sesuai dengan zamannya"

Oleh itu sepanjang kursus ini saya berjaya menghadamkan satu ilmu baru walaupun banyak juga cabaran yang terpaksa dihadapi lebih-lebih lagi dengan sikap tidak sabar kita ini. Kita mahukan sahaja anak kita terus menjadi manusia baik dan patuh kepada arahan sedangkan kesan jangka panjang mungkin berbeza.

Antara teknik yang menarik perhatian saya adalah teknik

1. Teknik Nabi tidak menyiasat punca kejadian
2.Teknik Memberi Ganjaran
3.Teknik Bila pujian patut diucapkan
4. Teknik memberi peluang semua pelajar angkat tangan
5.Teknik menaikkan self esteem
6. Teknik mendorong orang malas.

Kesan saya menggunakan Teknik Nabi Muhammad ini menyebabkan :
1. Orang lebih suka bercerita dan meluahkan masalah dengan saya kerana saya tidak bertanya apa puncanya dan saya terus mencadangkan jalan penyelesaiannya. Orang itu selesa apabila saya tidak banyak bertanya dan takut banyak cerita buruk akan terbongkar lagi
2.Anak saya lebih bersemangat untuk membaca buku dan mengaji Al Quran kerana saya sentiasa mengatakan "Bacaannya sangat bagus"

Saya masih mengkaji dan membaca teknik-teknik tersebut dan sedang berusaha mengubah kelaziman diri ini. Selawat ke atas Nabi Muhammad, Rasul Agung utusan Allah Yang Maha Pengasih

Saya menyokong usaha para penyelidik yang berjaya membuat kajian terhadap aplikasi hadis Nabi Muhammad ini. Semoga usaha ini akan dapat diterimapakai di dalam masyarakat umum kelak.

Berkongsi Kisah Hijrah

Berdebar-debar di pagi 4 Mac 2012, mendapat jemputan menjadi moderator Program Talk Show bersama Puan Catriona Ross seorang selebriti tanahair. Seingatnya ini kali kedua menjadi moderator sepanjang hidup. Namun, apabila lama tidak mengasah bakat dalam bidang ini maka terkulat-kulat juga bibir menutur bicara.

Syukur kepada Allah, melontarkan idea dan melancarkan lisan ini untuk berkata-kata. Dan kekurangan itu adalah datang dari diri sendiri yang serba kekurangan ini.

Lambat mengupdate info ini sekadar berkongsi sedikit kisah bersama seorang lagi artis kita yang telah mendapat dakapan Tuhan untuk menjadi hambanya yang beriman.





Hidayah itu milik Allah dan kita sebagai hamba perlu menilai segala titik kehidupan sebagai satu titik untuk terus memperbaiki diri. Puan Catriona Ross sebagai wakil, mewakili mereka yang mahu kembali ke pangkal jalan.

Kita semua punya kelemahan dan setiap hari wajar kita berhijrah, bertaubat dan berusaha untuk menjadikan diri kita hari ini lebih baik dari hari esok. Perkongsian yang menarik dari Puan Catriona perihal pengalaman kehidupan yang penuh cabaran yang manis dan pahit.

Beruntunglah mereka yang segera menyedari akan seruan Tuhan daripada mereka yang masih lagi bermimpi dalam kejahilan dan terus bermimpi dalam kebaikan.

Terima Kasih atas usaha Ustazah Masiyah, Ustaz Fuad dan AJK Surau atas kepercayaan yang diberi.
Salam Hijrah