Thursday, December 13, 2012

Tip Mencari Jodoh





Dalam ruangan ini dapat berkongsi dengan para pembaca yang budiman tentang membina sebuah perkahwinan. Perkahwinan itu merupakan satu pilihan yang dibuat sendiri oleh si pembuat pilihan. Tiada Istilah yang membenarkan  'kahwin paksa' atau "terkahwin". Sebagai manusia yang normal, kita sendiri yang menentukan apa pilihan yang wajar kita buat untuk kebaikan diri kita.
Allah swt sendiri tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk berkahwin dengan sesiapa yang tidak kita suka. Di dalam islam sendiri mengambil berat tentang perasaan orang yang ingin berkahwin sama ada mahu berkahwin atau tidak. Pilihan yang boleh dibuat boleh dibawa kepada sesi musyawarah atau perbincangan terlebih dahulu dengan ahli keluarga.
Beberapa perkara penting yang harus difikirkan sewaktu kita mahu membuat pilihan sebelum berkahwin.
1.      Calon pasangan
2.      Calon mertua
3.      Status calon pasangan dan calon mertua.
4.      Taraf kedudukan calon pasangan atau calon mertua
5.      Memilih karakter bukan “chemistry”


Dalam mengupas kriteria ini maka kita mestilah meneliti calon pasangan yang bakal kita kahwini. Nabi Muhammad pernah bersabda.
"kahwinilah seorang perempuan itu dengan empat perkara. Kahwini dia kerana kecantikannya, kahwini dia kerana hartanya, kahwini dia kerana keturunannnya. Berbahagialah orang mengahwini seorang perempuan kerana agamanya"
Hadis ini diterangkan bukan kepada perempuan sahaja, ia juga turut melibatkan calon lelaki. Apabila kita mahu memilih pasangan wajiblah kita melihat kriteria tersebut bagi jaminan kebahagian rumah tangga dunia dan akhirat. Apabila seorang itu memilih kerana agama maka sewajibnya mereka mengetahui kepentingan dan kebajikan dalam rumah tangga. Menjaga dan mengurus rumah tangga dengan sempurna adalah juga sebahagian tanggungjawab dalam agama. Hal ini kerana melahirkan generasi para duah merupakan tanggungjawab sebuah keluarga muslim.
Orang yang beragama dan mukmin sebenar adalah orang yang menerapkan nilai-nilai agama yang tinggi, bukan sekadar agama seperti hanya pada pakaian atau luaran sahaja. Nilaian agama adalah kesempurnaan mereka dalam menyelesaikan tanggungjawab wajib seperti yang termaktub dalam rukun iman dan islam. Kedua adalah berdasarkan hubungannya dengan Allah swt dan hubungannya dengan manusia iaitu masyarakat disekitarnya. Ketiga adalah kesempurnaannya dalam jihad menegakkan agamanya, maruahnya, tanah airnya dan akal generasinya.
Pada kali ini kita akan membincangkan satu tip mencari jodoh iaitu memilih pasangan berdasarkan karakter atau sikap peribadinya. Bukan berdasarkan ‘chemistry’ atau perkataan yang lebih jelas memilih berdasarkan ‘keserasian’. Rata-rata yang berlaku ada orang jatuh cinta kerana lahir dibulan yang sama, meminati perkara yang sama dan banyak lagi. Ada juga yang mempopularkan dengan ‘cinta pandang pertama’. Semua perkara itu tidak kekal dan boleh berubah.  Terdapat pepatah mengatakan, “Kimia menyalakan api, tetapi karakter memadamkan api tersebut”. Idea jatuh cinta tidak harus menjadi sebab utama mengapa kita berkahwin dengan seseorang.  Ia amat mudah untuk mengelirukan keghairahan dan menghilangkan cinta tersebut.

Karakter adalah ciri-ciri peribadi yang ada dalam diri seseorang pasangan. Kebiasaannya kita telah bersedia untuk menerima siapa diri pasangan kita walaupun kita mengetahui dia seorang panas baran. Karakter itu jelas, jika perkahwinan kita tidak bahagia sekalipun kita sendiri yang membuat pilihan bahawa pasangan kita memang seorang panas baran. Itu contohnya. Banyak lagi contoh lain. Pilihan dan keputusan yang kita buat sebelum perkahwinan adalah keputusan yang kita sendiri tahu dan bersedia untuk menerimanya berbanding jika kita memilihnya kerana 'chemistry". Hal ini kerana apa yang kita fikirkan berkaitan dengan 'chemistry" itu tidak terduga oleh akal kita. Boleh jadi ia hanya satu wayang yang kita tidak mampu untuk menelah.
Mencari jodoh atau memilih pasangan melalui karakternya adalah dengan melihat sifat-sifat yang ada di dalam diri seseorang itu. Contohnya merendah diri, baik hati dan bertanggungjawab.  Seseorang yang merendah diri tidak pernah membuat permintaan yang keterlaluan malah mereka sendiri bersedia untuk membantu orang lain. Mereka meletakkan nilai dan prinsip melebihi daripada kesenangan dan keselesaan diri sendiri. Mereka bersikap penyabar, bersederhana dan tidak memandang secara materialistik.
Disamping itu antara cirri-ciri penting lagi adalah baik hati. Kita boleh melihat sikapnya terhadap ibubapa dan saudara-saudara mereka. Bagaimana dia melayan dan berkomunikasi dengan ahli keluarga mereka. Bagaiaman pula dia melayan rakan-rakan sekerja dan pekerja bawahan mereka. Daripada sikap yang mereka tunjukkan itu jelas menunjukkan siapa diri mereka. Karakter tidak boleh dibuat secara berpura-pura kerana akhlak atau budi pekerti merupakan sesuatu tindakan yang spontan.  Ciri –ciri yang wajar diambil kira adalah sikap bertanggungjawab. Sikap bertanggungjawab ini menghasilkan natijah yang amat besar.  Mereka adalah orang yang menghargai masa, menghargai orang lain, menghargai wang serta menghargai kehidupan.

Kesimpulannya, perkongsian dalam siri ini mengajar kita membuat pilihan. Jangan lupa pada siri akan datang. Bagaimana penulis memilih calon pasangan berdasarkan lokasi negeri. Penulis sendiri menetapkan pasangannya mesti orang yang berasal dari lokasi yang mudah untuk urusan balik kampung dan sebagainya. Hal ini berkaitan pula dengan kos kehidupan. Kos kehidupan juga amat penting dalam merancang kebahagian sebuah keluarga. Akhirnya penulis amat percaya, kebahagiaan bermula dari diri sendiri. Jika kita mahu bahagia, kita yang harus memulakannya.

Sunday, December 9, 2012

Program Tahfiz Intensif 2012

7 Disember 2012. Telah berakhir hari ini. 20 hari berjuang. Berjumpa dengan sahabat-sahabat yang memiliki pelbagai kelebihan. Gabungan dan kerjasama akhirnya membuahkan hasil yang penuh bermakna. Tanpa mereka siapalah saya. Tanpa mereka mungkin tidak berjaya. 

Bersyukur kepada Allah atas nikmat yang terlalu banyak dikurniakan. Menjadikan semuanya begitu sempurna. Rebah dahi saya memuji kebesaran Allah. Ampunkan atas kelalaian hambamu ini dalam tunduk kepadaMu.

Banyak pengalaman diambil, bersama para peserta yang begitu mencuit hati. Ada sahaja celoteh dan aduan membuat saya tersenyum. Wajah-wajah itu akan kekal dalam minda saya. Tahun depan siapa pula?.

Mikail Muhammad nama pelajar yang akan saya ingat ketika pagi. Saya akan berbual-bual dengannya terlebih dahulu sebelum beliau mahu menyertai kelas hafazan. Beliau harus dipuji-puji dahulu, di dorong-dorong dahulu. Di tanya-tanya dahulu soalan-soalan yang membuatkan dia akan teruja. Apabila terukir senyuman di bibirnya, barulah dia bersetuju mengikut saya menyertai kelas. 

Thaqif pula geraknya pantas, aktif. Harus saya memberi banyak tugasan hafalan kepadanya untuk memberi peluang kepada dia agar duduk diam. Suka dia memperdengarkan bacaannya jika saya memujinya. Selalu keluar dari mulutnya, dia tidak pandai. Saya tahu, saya wajib membetulkan persepsinya kepada dirinya. Menepuk-nepuk bahunya mengatakan cepat betul dia dapat mengingat ayat hafazan.

Harith , Haziq dan Sulhi pula asyik mahu bertanya, adakah bacaannya sudah betul dan baik. Di puji bacaannya betul dan baik. Bertambah rajinlah dia mengulang bacaan. Wow...hebat betul mereka bertiga ini.