Thursday, September 22, 2016

Travelog Mencari Lantai Sujud di Depan Kaabah


Apakah erti sebuah rindu kepada lantai marmar di depan kaabah? Atau ertinya betapa cintanya kamu kepada TuhanMu. Maka pertama kali engkau melihat sebuah rumah berdiri teguh berbaju hitam, maka engkau menangis teresak-esak. Lembik layu seluruh tubuhmu. Lantas engkau sujud tanpa alas. Maka engkau menyembah TuhanMu yang Maha Agung.
Makkah tidak indah. Bandarnya hiruk pikuk dengan suara manusia. Berjuta manusia bertandang ke Makkah setiap tahun, beratus ribu setiap hari. Manusia datang dari seluruh pelusuk dunia. Entah engkau pun tidak pernah dengar nama negaranya.
Mereka datang untuk apa? Ada pantai berlaut biru? Atau tiupan angin bayu. Ada rimbunan hijau atau pepasir bak mutiara. Hanya panas yang mencengkam kulit, membakar otak kepala dan membahang hingga ke rongga.
Ajaib.
Mereka hanya datang untuk mencari lantai sujud di depan Kaabah. Mahu menyerah diri kepada Tuhan yang maha penyayang lagi maha mengasihani. Memohon dan merayu agar tubuh kecil ini diampuni dan tidak dibakar dengan api yang panas. Merayu dan memujuk Tuhan, agar balasannya syurga yang sejuk dan dingin.

Itulah keindahan Kota Makkah, Bandar kelahiran Nabi Besar. Bermulanya sejarah manusia menjadi insan. Ia bukan kota pelancongan, namun negaranya kaya raya dengan berbillon hasil lawatan manusia pelosok dunia. Sungguh ajaib.