Wednesday, August 29, 2012

Sebuah Travelog: Geraham Bongsu

Sudah tiga hari gusi saya berdenyut-denyut rasanya. Beberapa kali sudah menjenguk-jenguk gigi-gigi halus yang berada dihujung tengkuk. Mungkin ada yang berlubang dan harus mendapat bantuan doktor gigi. Akhirnya saya ke klinik gigi akibat sakit tanpa dapat ditahan lagi.

Doktor mengesahkan bahawa geraham bongsu saya mula tumbuh. Teringat kata orang-orang tua bahawa tanda kematangan seseorang itu apabila telah tumbuhnya geraham bongsu. Entahlah sejauh mana kebenarannya. Menurut doktor geraham bongsu akan tumbuh pada empat tempat. dua diatas dan dua dibawah. dua dibahagian atas tidak membawa masalah dan rasa sakit. dua geraham yang akan tumbuh dibahagian bawah akan menyebabkan rasa sakit kerana ia akan menolak gigi yang berada disebelahnya. Kelihatan ia seperti gigi berlubang. Patutlah rasanya begitu sakit sekali.

Doktor terus sahaja mencadangkan geraham tersebut dibuang dengan melakukan pembedahan kecil. kosnya sebanyak RM 500. Kata Doktor lagi jika tidak dibuang akan menyebabkan jangkitan kuman dan kerana kesukaran untuk membersihkan gigi dan geraham tersebut. Pelbagai usaha nampaknya tuan doktor dan kakitangannya memujuk saya agar membuang geraham tersebut.



Monday, August 27, 2012

Menilai Kebesaran Allah

Kedengaran azan dilaungkan. Tenang jiwa merasai kebesaran Allah. Sejak pagi tadi saya mahu menulis tentang menilai kebesaran Allah. namun ditangguhkan kerana pagi ini tugas saya mengajar pelajar mengaji Al Quran. Namun Zuhur ini tanpa dapat saya menangguhkan.

Sungguh banyak perkara yang berlaku disekitar kita untuk kita melihat kebesaran Allah. cuma bagaimana kita mahu menilai kebesaran Allah dari kaca mata kita sendiri. apakah aspek yang boleh dilihat dari setiap peristiwa yang berlaku dengan mengaitkan kebesaran Allah.

Benar, ada kaitan dengan hati. Hanya hati yang bersih dapat menilai kebesaran tersebut. ketika malam nyamuk yang menggigit lengan, aduh terasa peritnya maka apabila terjaga rupanya sang nyamuk kecil itu dihantar untuk mengejutkan kita dari tidur yang nyenyak dan panjang. maka bangunlah bertahajud kepada Allah.

Ketika berjalan-jalan lalu terhantuk kepala kepada tiang rumah, maka istighfarlah bahawa ada dosa-dosa yang mahu diampunkan Allah. maka itulah kifarahnya. bersyukurlah Allah tidak memberi musibah yang lebih besar sekadar terduduk seketika dan merenung kembali diri nan kerdil ini.

Lagi, apabila kita berkejaran mahu menaiki bas ekspress pulang ke kampung, namun kita terlambat maka bas telah pun berlepas. kita mengeluh dan marah. namun apabila bas yang bakal kita naiki pagi tadi diberitakan kemalangan dalam perjalanan, maka waktu itu haruslah kita sujud memuja Allah. Ya Allah, Engkau Maha Agung.

Friday, August 24, 2012

Kisah manusia 1

Saya ingin mencoret sesuatu di atas kanvas putih ini. Ingin dilukis saya tidak punya pensil warna. Ingin di sulam saya tidak ada benang. Saya hanya ada keyboard yang tersusun dengan huruf-huruf yang saya mahu jalinkan agar ia menjadi banyak-banyak perkataan dan saya sulam agar ia menjadi frasa dan akhirnya menjadi cerita.

Namun banyak warna yang berlegar-legar dalam minda saya. Saya ingin berkongsi agar ia menjadi cerita yang boleh diambil pengajaran. Kisah yang saya bawakan ini seorang perempuan. Seorang perempuan yang saya hormati. Perempuan ini cantik, memiliki kedua ibubapa yang baik dan beragama.Dia juga seorang yang mendapat pendidikan agama. Sejak kecil hidupnya terikat dengan tali agama.

akhirnya dia berkahwin dengan seorang lelaki yang hebat. seorang ahli perniagaan yang sibuk. Dia dikurniakan dengan lima orang anak. suaminya begitu bangga kepada dirinya.

Suatu hari, saya dijemput oleh ibu saudaranya untuk bertemu dengannya. terpempan saya mendengar kisahnya. Dia mahu berpisah dengan suaminya.saya tidak mahu bersangka-sangka lantas saya memenuhi jemputan ibu saudaranya untuk bertemu dengannya. mungkin sedikit sebanyak ada perkara yang boleh saya kongsi dengannya.

benar, dia rasa terbiar. kekurangan kasih sayang dari seorang suami. maka, hatinya beralih arah kepada seorang pemuda yang bersedia mengisi kekosongan hatinya. Saya mendengar setiap bait-bait bicaranya. Saya tahu dia ternampak pelangi yang indah dan dia mahu mencapai pelangi itu. maka saya berkata:
"Puan, ia hanya pelangi indah yang datang selepas hujan panas, dan dia akan hilang dalam sekelip mata. apakah pohon rendang yang sudah kita teduhi ingin kita memilih pohon kering yang tandus dan gersang"

"Cinta memang satu bayangan indah yang akan lenyap apabila kita tinggal sebumbung, melihat kekurangan dan kelemahan masing-masing, kerana itu Allah jadikan perkahwinan kepada orang beriman, agar ikatan itu akan terus kekal sekalipun bahtera kita dilambung ombak. Ombak memang ada sekali sekala, namun akhirnya ia akan tenang kembali sehingga rasanya begitu manis sekali.

Sang nakhoda di lautan ganas tidak pernah takut kepada deru ombak, masakan dia takut sedangkan dia masih setia dengan tujuan dan impiannya untuk meneroka bumi tanpa sempadan. Begitu tabah dan tiada gentar sang nakhoda itu merentas lautan yang bergelora.

Oleh itu, bukan cinta sebenarnya yang menjadi tunjang sebuah bahtera kukuh. Iman, cinta syurga, impian, menjadi hamba yang memberi dan membuat kebaikan. Cinta hanya mahukan keindahan dan kecantikan sahaja sedangkan bila melihat keburukan maka cinta akan tawar dan pudar.

"Bersyukurlah puan mempunyai seorang suami yang sebab kesibukannya mencari harta adalah untuk meraih kebahagian hidup bersama dengan puan, cuma mungkin....." sambung saya kemudian terhenti seketika.

"Cuma mungkin dia terleka sebentar dalam pencariannya...dia fikir segala hartanya dapat membeli cinta puan...maka sedarkanlah dia...kejutkan dia dari lamunannya yang panjang..hidangkan dia secawan kopi panas penyegar kasih sayang puan dan dia" ujar saya tulus.

Saya menyeka mata, memandang jauh kelibat anak-anaknya seramai 5 orang yang masih mentah mahu meratah dan memahami hakikat hidup....Saya tekenangkan sang suami yang berkerja keras untuk kebahagian saya dan anak saya...selalu saya ingatkan..."hidup kita amat sekejap...semoga kita dapat nikmatinya bersama dengan penuh kasih sayang"

Saya dan sang suami amat mengerti siapa diri kami ini. Sentiasa menerima kekurangan dan kelemahan masing-masing dan sentiasa mahu mencari jalan penyelesaian. Kaedah kami, kita berdua ibarat benang, jangan kedua-dua menariknya. seorang menarik, seorang kendurkan...agar benang tiada putus. Malah jalinkan benang dengan benang-benang lain berwarna-warni, agar ia menjadi kain yang kukuh....

"Saya akhirkan dengan menghadiahkan sebuah buku kepadanya..."
"Saya harap dapat mendengar khabar gembira selepas ini...bisik saya puas hati.

Sebulan berlalu, saya mendengar khabar dari perempuan itu, dia kembali kepada suaminya..ah syukur kepada Allah....Ya Allah jangan engkau putuskan hubungan suci mereka selagi mana mereka beriman kepadaMu."


Tips Urus Hidup

Sudah lama memendam rasa untuk menulis beribu-ribu perkataan. Itu adalah impian yang sekian lama diperam sebentar. Banyak yang saya harus lakukan iaitu mencari ilmu dan pengalaman. Selalu sahaja membayangkan persekitaran rumah yang tidak lekang dengan aura ilmu dan buku. Itulah minat saya sekian lama.

Hari ini saya belajar lagi sesuatu. Hidup perlu diuruskan dengan betul. ilmu mengurus hidup perlu dipelajari. Belajar dari sesiapa sahaja. Belajar dari ibubapa kita bagaimana pengalaman mereka menguruskan hidup mereka dari kecil, bujang, berkahwin, beranak pinak sehingga mereka tua.

Sekurang-kurangnya dengan membaca kisah-kisah mereka, masa dapat dijimatkan dari kita membuat kesilapan dan kesalahan. Belajarlah dari kesilapan dan pengalaman mereka agar kita terus fokus untuk terus maju. maju melangkah ke hadapan.

Dalam catatan ini saya mahu menukilkan sebuah buku bagaimana Tips Mengurus Hidup. Mengurus Nyawa yang Allah beri. Mengurus kehidupan yang panjang dan pendek ini. agar kita tidak lagi tersilap langkah dan anak-anak kita juga dapat mengelak dari terperangkap dalam fantasi dunia.

Sekadar catatan pertama dulu.
Hidup perlu diuruskan dari banyak segi. semua segi dan seluruh segi. Dari bangun tidur, sehingga tidur kembali. Dari lahir sehingga kita mati. Syurga itu tujuan maka hidup mesti fokus.

apa yang perlu kita uruskan?

Uruskan emosi
uruskan ibadah kita
Uruskan kewangan
uruskan ilmu dan pendidikan kita
uruskan keluarga kita
uruskan kerjaya kita
uruskan masyarakat kita

Bagaimana mahu uruskan emosi?
Mengatur emosi agar sentiasa positif. mendidik emosi sekaligus mendidik nafsu. Emosi harus diuruskan dengan betul agar kita berada dalam persekitaran yang betul. Jangan rasa nanti binasa, jangan ikut hati nanti mati.

Bagaimana mahu uruskan ibadah kita?
Sebagai seorang muslim dan mukmin maka satu kewajipan kita adalah menguruskan ibadah kita. ada orang berjaya dalam kerjaya namun langsung dia tidak tahu menguruskan ibadahnya. Solat entah kemana? puasa entah dimana?. apakah tujuan hidupnya. makanan rohani adalah ibadah. kekuatan spiritual kita bergantung kepada ibadah kita.

Bagaimana mahu uruskan kewangan kita?
Wang bukan segala-galanya tetapi untuk membeli semuanya perlukan wang. wang boleh dan mudah dicari. namun ilmu mengurus kewangan adalah ilmu penting. ada orang banyak wang tetapi hidupnya akhirnya jatuh miskin.

Bagaimana mahu uruskan ilmu dan tahap pendidikan kita?
Setiap hari hidup akan ke depan. Setiap hari teknologi berubah dan setiap hari juga manusia mengejar impian. tak mungkin kita mahu hidup menjadi orang ketinggalan zaman.

Bagaimana mahu uruskan masyarakat?
Hidup di muka bumi ini hubungan sesama manusia juga perlu diambil berat. mana mungkin ada manusia yang boleh hidup bersendirian.

Bagaimana mahu uruskan harta?
Bagaimana mahu uruskan masa?
Bagaimana mahu uruskan diri?

sungguh banyak perkara yang perlu kita pelajari dari buku ini. sudah tentu saya begitu bersemangat mahu menulisnya. berkongsi tentang catatan pengalaman hidup saya dan orang lain. ingin saya rakamkan agar ia menjadi pedoman kepada semua.

Thursday, August 23, 2012

Kemenangan di Aidil Fitri

Jam 1.30 pagi saya baru menghabiskan kerja-kerja terakhir selepas Projek Memasak untuk Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kota Damansara. Badan terasa penat namun lambaian kemenangan sudah terasa mengamit sebuah harapan.

Pagi yang mulia ini saya mendapat dua kemenangan, kemenangan menunaikan Ibadat Puasa  dan kemenangan menyelesaikan tugasan dan amanah. Terasa indah sungguh kemenangan yang dirasakan. setelah berhempas pulas membanting tenaga dan masa maka manisnya amat terasa.

Jam 8.30 pagi menunaikan solat sunat Hari Raya di Masjid Kota Damansara. ramai sungguh manusia sehingga melimpah ke parking jalan dan di atas rumput. Tahun ini  memang ada lainnya. Pertama kali di perantauan kononya. Langsung tiada ada persiapan hidangan raya. maka pagi itu kami bertiga bersarapan di KFC.

Petang baru memulakan perjalanan ke Pahang bertemu ayahbonda tercinta. Berziarah ke rumah saudara mara dan hari raya ketiga pulang pula ke rumah ibu mertua.

Hari raya adalah hari kemenangan dan saya amat rasakan erti dan maknanya.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Monday, August 6, 2012

Aku dan Ramadhan 2

Hari ini adalah hari ke 17 Ramadhan. Setiap hari yang dilalui dirasakan semakin tenang menuju berakhirnya Ramadhan dengan penuh sayu dan hikmah. Melihat ke dalam diri, melontar minda terus meneropong kelompongan diri ini dari menunaikan tanggungjawab kepada hamba dengan penuh rasa rendah dan tunduk.

Ya Allah, ampuni diri kami, terimalah taubat kami. Mudahkan urusan kami, hampirkan kami dengan malammu lailatul qadar. Aku Mohon dengan rasa penuh harap dan tunduk pada kekuasaan dan keagunganMu.

Kali ini aku belajar sesuatu lagi. Ingin ku tulis semua karenah manusia disekitarku yang membuatkan aku rasa dingin dan hampa. mengapa ada manusia yang memegang amanah namun ia langsung hanya ditepi bibir tetapi tidak menjadi makanan hati dan jiwanya.
Ya Allah jauhkan aku dari golongan-golongan yang mahu menjadikan agamamu sebagai ruang mereka menjual agamanya dengan habuan dunia ini.

Ya Allah, aku nantikan sepuluh malam terakhirmu dengan penuh harapan dan sinar baru dalam menjalani kehidupan ini.
Amin.

Wednesday, August 1, 2012

Hikmah:Bezanya ilmu pengetahuan dan pengalaman

Ramadhan kali saya sendiri merasakan akan janji-janji Allah yang ditangguhkan tertunai di dalam bulan penuh berkat ini. Lantas saya terus sujud menyembah Rabbul Izzati dengan penuh rasa syukur, rendah diri dan tunduk kepada kebesaranNya.

Kita mungkin boleh mencari ilmu dimana-mana dan apa kategori dan jenis ilmu yang kita kehendaki. Namun, pengalaman bukan seperti ilmu. Pengalaman perlu dirasa dan dilalui oleh diri kita sendiri. Betapa kita tahu mengapa harga sebuah pengalaman begitu tinggi. Hari ini saya telah mengetahui dan melaluinya sendiri.

Hari ke sebelas Ramadhan ini saya mencabar diri. Melihat sejauh mana diri ini mampu menguruskan satu pasukan yang berkhidmat untuk menyediakan jamuan untuk berbuka puasa. Hari pertama yang begitu mendebarkan dan hari kedua yang memberi sedikit keyakinan dan harapan.

Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan walaupun kita tahu ilmu tersebut. Namun ia juga jangan diambil mudah. Dengan mencari ilmu melalui pembacaan dan menuntut ilmu ia mempercepatkan proses kita memahirkan diri dalam melalui setiap detik baru di dalam kehidupan.

Ya Allah, terimalah taubatku, terimalah doaku. Bibir dan hati ini tidak pernah lekang memohon Engkau memudahkan urusanku. Sekerap mungkin aku memuhasabahkan diri. Memohon pertolongan dan bantuan dari Allah.

Hari pertama dan kedua adalah langkah awal untuk membawa aku ke hari ke 19. Semoga Allah membantu segala urusan kami dalam menguruskan dunia ini.
Amin

Masjid Kota Damansara