Tuesday, February 19, 2013

Kisah 2: Ayah Mertua kecewa

Hari ini berjumpa seorang sahabat. Walaupun usianya sudah menjangkau 60 tahun tetapi saya menganggapnya seorang sahabat yang boleh berkongsi kisah suka dan duka. Saya memanggilnya dengan panggilan 'Encik' kerana itu sebagai tanda hormat saya.

Sahabat ini memang seorang yang rajin membantu masalah-masalah ummah, dari turun naik ke Pejabat Zakat hinggalah ke Pejabat Jabatan Agama Islam. Membantu menyelesaikan masalah ummah yang membelenggu masyarakat seperti kemiskinan, pendidikan, kahwin-cerai dan banyak lagi.

Kami bercerita soal negara, soal jika berlaku perubahan kepimpinan peringkat negara dan kisah-kisah masyarakat yang berlaku. Sejak saya mengenalinya tidak pernah saya melihat wajah-wajah kegusaran dimukanya dan beliau amat tenang dalam menghadapi kehidupannya.

Sebelum pulang beliau berkongsi cerita berkenaan anak perempuannya dan menantunya yang sedang menghadapi masalah rumah tangga. Dari ceritanya, menantunya mahu isterinya berhenti kerja agar menjaga anak kebetulan anak keduanya sakit akibat kelahiran pra-matang. 

Anak sahabat saya itu seorang guru kerajaan dan tentulah panjang fikirnya untuk dia meletakkan jawatan sedangkan ekonomi keluarga masih belum stabil. Sahabat saya sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga cucunya sekaligus membantu meringankan beban anak perempuannya itu.

Paling menyedihkan sikap menantunya yang langsung tidak menghargai malah menafikan hak sahabat saya dan isterinya untuk menjaga cucunya. Tidak tahu apa puncanya namun kelihatan sikap ego dan keras kepala. Selain itu faktor kurangnya pendidikan agama dan kehidupannya yang terlalu senang dan manja hasil didikan ibubapa menantunya.

Allah, saya termenung sejenak berfikir. Jika semua manusia berfikir dan menggunakan iman untuk membuat keputusan tentunya tiada masalah seperti ini. Amat menyakitkan banyak hati.

Wallahualam