Saturday, June 15, 2013

Rindu Madinah, Cintaku Makkah

Bahasa apa yang wajar saya ungkap dan tulis dalam kanvas ini apabila akhirnya saya diterima menjadi tetamu Allah. Airmata mengalir deras sewaktu sujud di Raudhah dan Hijir Ismail. Mengimbau kembali ketika saya benar-benar memasang tekad untuk menjejaki kedua-dua masjid suci dan penuh berkah ini.

31 Mei 2013
Setelah berdepan dengan  dugaan penangguhan penerbangan yang pada awalnya 27 Mei,kemudian 29 Mei sehingga ditangguh sekali lagi ke tarikh 31 Mei 2013. Jam 3.00 petang saya dan suami meninggalkan Malaysia terbang ke Jeddah. Hati tidak berhenti-henti mengucap syukur kepada Allah, betapa Allah sentiasa mendengar doa hambanya. Saya sendiri tidak menyangka Allah memberi peluang lebih awal dari jangkaan.

Jam 6.45 petang waktu Jeddah kami mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah setelah lebih 9 jam dalam kapal terbang Saudi Arabia yang memuaskan layanan dari petugas-petugasnya.

Setelah menyelesaikan urusan masuk melalui pintu masuk kawalan Imigresen Jeddah, kami menaiki bas menuju ke Madinah Munawarrah selama lebih kurang 6 jam. Kami singgah menunaikan solat jamak maghrib dan Isyak disebuah surau di pertengahan jalan. Sewaktu hampir sampai ke Kota Madinah, mutawwif yang bertugas merungkai cerita perjalanan Nabi Muhammad saw ke Madinah dari Makkah dalam proses Hijrah. Mengenangkan kisah Nabi besar itu, airmata saya tumpah. Tidak dapat ditahan-tahan lagi apabila bas yang meluncur laju meredah kegelapan malam dan padang pasir yang lapang dan bergunung-ganang.

Tiba di Madinah jam 1.30 pagi waktu Madinah, syukur urusan memasuki bilik Hotel amat mudah, setelah membersihkan diri, merehatkan diri sebentar sebelum mahu menunaikan solat subuh, lebih kurang jam 4.10 pagi. Mata tidak dapat dilelapkan walaupun kepenatan. Hati sudah berdebar-debar mahu mengunjungi Masjid Nabawi.

Jam 3.30 kami sudah turun di lobi Hotel dan bersama-sama bergerak ke Masjid Nabawi yang tidak jauh dari Hotel. Mengucapkan salam ke atas Nabi dan menunaikan solat Subuh buat pertama kali di Masjid Nabi yang mencatat seribu satu sejarah.

Selepas solat subuh, kami kembali ke Hotel dan bersarapan. Jam 5.30 pagi di Madinah, hari sudah mula cerah. Hari ini kami akan menjalankan aktiviti bebas, kembali ke bilik bagi merehatkan mata dan badan yang memang kepenatan sejak semalam. Saya mengambil peluang untuk tidur. Jam 8.00 pagi saya sudah tersedar dan terasa lega. Rupanya saya baru tidur lebih kurang 2 jam tetapi benar-benar terasa puas.

Jam 10.30 pagi kami semua sudah bersiap untuk menunaikan solat  zuhur pada jam 12.30 tengahhari. Saya hadir awal ke masjid agar dapat memperbanyakkan ibadah dan mengambil peluang pahala 1000 kali ganda di masjid ini.

Selepas solat Zuhur kembali ke hotel untuk makan tengahhari dan kemudian bersiap untuk solat asar pada jam 3.38 petang. Hari ini hanya aktiviti biasa dan peluang untuk memperbanyakkan zikir dan amalan sunat.

2 Jun 2013
Seawal  jam 7.00 pagi kami sudah bersiap untuk menaiki bas bagi sesi ziarah ke Ladang Kurma, pasar kurma dan Bukit Uhud. 

Pada sebelah malam selepas solat Isyak kami dibawa menziarahi Makam Nabi dan Raudhah.

3 Jun 2013
Selepas solat subuh, hati tidak keruan mahu menziarahi makam Nabi dan Raudhah lagi. Namun hari ini lebih baik dari semalam. Sebaik tiba dipintu masuk nombor 25, saya dan ibu mertua disapa oleh seorang wanita yang mengatakan dia seorang mutawwif. Dia menawarkan diri membawa kami ke Raudhah tanpa perlu menunggu lebih lama seperti malam tadi. kebetulan, saya membawa ibu mertua yang sudah tua dan itu merupakan kelebihan membawa orang tuan.

Saya dan ibu mertua gembira bukan kepalang. Kami dapat bersegera masuk ke Raudhah dan sempat menunaikan solat sunat di Raudhah.

Hari ini hari terakhir kami di Madinah. Jam 3.00 petang kami akan bertolak ke Madinah. Setelah solat zuhur dan membuat salam wada' ke atas Nabi, sekali lagi air mata tumpah deras. Memang benar, terasa benar lambaian Nabi agung seperti Nabi itu masih hidup.

Jam 3.00 petang kami menaiki bas ke Makkah. Hari ini juga kami akan terus membuat umrah dan berihram. Kami singgah di Masjid Bir Ali untuk memasang niat ihram dan menunaikan solat sunat ihram.

7 jam perjalanan, jam 9.00 malam kami sampai ke Makkah. Kami singgah di Hotel untuk makan malam dan terus bersiap untuk mengerjakan tawaf. Pertama kali melihat kaabah, hati sudah mula sebak. Lantas bibir mengucap Allahuakbar. Ya Allah, aku sudah sampai ke rumahMu.

Pertama kali bertawaf terasa agak kekok dan pertama kali merasai kesesakan beramai-ramai mengelilingi kaabah. Kepala agak pening dan badan terasa benar-benar letih. Setelah mengerjakan tawaf kami mengerjakan sa'i. 

Saya tidak dapat mengikut mutawwif yang membawa, kerana tapak kaki terasa sakit apabila memijak marmar yang sejuk. Di tempat sa'i dipasang penghawa dingin tidak seperti di kaabah yang berada di kawasan terbuka.

Mungkin kesan saya mengandung 4 bulan dan kaki amat sensitif memijak marmar yang sejuk. Akhirnya saya mengerjakan sa'i seorang diri kerana saya berjalan paling lambat. Akhirnya pada pusingan yang kedua saya terpaksa memakai sandal untuk mengurangkan rasa sakit tapak kaki. Alhamdulillah, akhirnya selesai juga saya menghabiskan ibadah sa'i dan bertahalul di Bukit Marwah. Tuan suami sudah menunggu saya di Bukit Marwah dan kami pulang ke Hotel bersama-sama.

4 Jun 2013
Hari ini kami menjalankan aktiviti bebas, menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram dan memperbanyakkan tawaf. Hari ini mengambil peluang beriktikaf di Masjid dan menunaikan tawaf sunat.

Selepas solat asar, saya dan ibu mertua menunaikan tawaf sunat. Selepas solat sunat tawaf saya dan ibu mertua memberanikan diri menuju ke arah Hajar al aswad, pada awalnya tidaklah berniat mahu mencium batu suci itu akibat melihat kesesakan umat manusia serta berebut-rebut mahu mencium batu tersebut. Namun, hajat sudah ada dihati. Kebetulan ditawarkan oleh dua orang muslimah indonesia untuk membantu kami dengan bayaran 40 rial. akhirnya kami berdua dapat mencium hajar al aswad. 

Banyak pandangan berkaitan dengan tindakan mencium batu ini. Namun entahlah pada awalnya kami sendiri tidak yakin dapat mencium batu itu kerana manusia yang berebut-rebut itu semuanya besar-besar belaka. namun saya yakin ini adalah keizinan Alllah swt.

5 Jun 2013
Lawatan ke Ja'ranah

Petang kami melakukan umrah dengan memasang niat di masjid Tanaim.

6 Jun 2013
Solat di Hijir Ismail
7 Jun 2013
Kami berziarah di Jabal Rahmah
8 Jun 2013

9 Jun 2013
Kami berziarah di Muzium dua masjid dan Masjid Hudaibiyah sekaligus memasang niat umrah. Kami memulakan umrah selepas solat asar dan sempat bertahalul sebelum solat maghrib.

10 Jun 2013
Solat di Hijir Ismail

11 Jun 2013
Menunaikan tawaf sunat

12 Jun 2013
Makan nasi unta di Aziziyah Syamaliah.

Selepas solat asar menunaikan tawaf sunat

Selepas solat Isyak menunaikan tawaf wada'

Jam 12.00 tengahmalam kami menaiki bas untuk bertolak ke Jeddah.

13 Jun 2013

Jam 3.00 pagi kami sampai di Terminal Haji Jeddah

Jam 10.00 pagi menaiki Kapal Terbang Air Asia

Jam 11.40 malam tiba di LCCT Kuala Lumpur Malaysia