Tuesday, May 14, 2013

Bahagia bermula dari kita..



Setelah sekian lama tidak mencoret, tahun 2013 ini banyak juga perkara yang akan dilakukan. Jika Allah mahu memberi rezeki sesaat pun tidak akan tertangguh. Saya ersyukur menjadi hamba Allah dan beriman dengan Tuhan Yang Maha Esa.

Syukur yang tidak terhingga, hari ini kandungan saya sudah berusia 11 minggu. Penantian tujuh tahun akhirnya terlerai. Gembira hati bukan kepalang kerana Allah sentiasa mendengar doa dan hasrat hambanya. Terasa diri semakin kerdil di hadapan Tuhan, Alhamdulillah, tiada tanda-tanda loya besar terjadi, hanya loya-loya kecil yang terasa ditekak dan perut. Terasa sedikit kelainan dari kelahiran pertama, dulu langsung tidak rasa apa-apa, cuma kepingin makan pisang dan jagung. Nasib baik tidak mengidam makanan pelik-pelik.

Kali ini, kerap kali perut masuk angin jadi perlu sediakan stok makanan. Setiap hari bagaikan menunggu kelahiran bintang. Ya Allah permudahkan urusan hamba ini.

Cuma kali ini masa diisi sedikit dengan kelas malam di Uitm Shah Alam. Janji diri untuk menyambung pengajian harus ditekadkan walaupun berbadan dua. Semoga berjaya mendapat kedua-duanya dengan sempurna.

Pejam celik, sudah tujuh tahun saya berumahtangga, mendapat seorang teman hidup yang sempurna pada mata saya. Terasa selama tujuh tahun ini saya terlalu bahagia. Terasa Allah sudah memberikan sebahagian dari duniaNya kepada saya.

Ada sahabat bertanya, apa rahsinya. Saya berfikir untuk menjawab. Rahsia...

Baiklah saya berkongsi disini. Sejak berkahwin saya tidak pernah berfikir mahu mengubah Mr Husband menjadi seperti apa yang saya suka. Saya suka dan berhasrat agar dia menjadi dirinya yang sebenar. Saya tidak sibuk-sibuk mengajar-ajarnya, mengkritik dan memberi nasihat. Pendapat saya senang, dia dididik oleh ibubapanya selama 26 tahun sebelum berkahwin dengan saya. Jadi, apa sebab yang menyebabkan saya mahu mengubah dirinya menjadi orang lain.

Apabila saya menerima dirinya, Ya, dia juga seperti saya, menerima saya dengan diri sebenar saya. Kami tidak ada masalah untuk berpura-pura dan kami hidup dengan selesa. Kami bebas menyuarakan pendapat masing-masing dan kami suka berbincang.

Setiap perkara walaupun kecil kami akan mulakan dengan bersembang-sembang dan mencari penyelesaian. Kami tidak ada masalah 'perang balik kampung', tidak ada masalah 'merajuk', tidak ada masalah salah faham.

Saya kesal dan tidak bersetuju ada sesetengah kawan-kawan yang suka bercerita keburukan suami masing-masing. Bila mereka mula bercerita saya memang angkat punggung. Jika dia meminta nasihat, bolehlah saya kongsikan. Jika tidak terpulanglah.

Sungguh pelik isteri dan wanita seperti ini. Mengharap suaminya menjadi 'perfect' untuk dirinya. Saya mahu bertanya, bersediakah kita menjadi 'perfect' untuk suami kita. Kita ada kelemahan-kelemahan yang kadang-kadang sukar untuk kita perbaiki. Menerima seadanya itulah jawapannya.

Sungguh itulah rahsia saya. Saya mahu dia menjadi dia.

Bahang PRU 13

Lama sungguh tidak menjenguk ruang kanvas putih bersih ini. Entahlah mungkin banyak perkara yang hendak difikirkan atau idea untuk menulis seperti terhenti. 

Bermula dari bahang Pilihanraya Umum ke 13 yang masih belum surut, rasa kekecewaan masih menebal dalam hati. Minyak mungkin akan naik harga, tol tidak dapat diturunkan dan macam-macam lagi. Terasa menjadi warga Malaysia di negara tercinta ini seperti menumpang di negara orang. 

Kemenangan BN bukan takdir yang wajar diterima, kekalahan Pakatan Rakyat juga tidak wajar diterima dengan hati yang redha. Hati tidak akan selama-lamanya redha dengan pemerintah yang menindas rakyatnya sendiri. Menjadikan harta negara diagihkan kepada anak bini masing-masing. Sama sekali saya tidak setuju dan jika mereka menang dengan cara berlaku 'penipuan' saya memang tidak akan terima selama-lamanya. Namun hati saya bulat menyerahkan kepada Allah swt. Mungkin kejayaan itu masih tertangguh untuk menambah iman dan sebenarnya ini juga adalah kemenangan.