Monday, January 21, 2013

Menjadi Pakar Motivasi di Dunia Kecil

Hari ini terdorong menulis sesuatu di kanvas putih yang sudah lama tidak dijenguk. Ahcumm..terbersin dek habuk dan sarang labah-labah yang mula membuat sarang. Maksudnya sudah lama saya tidak bertandang ke rumah ini. Sebelum memulakan tulisan, penyapu diambil bagi membersihkan habuk-habuk kemudian mengemas sebaik mungkin.




Sejak kebelakangan ini saya asyik berdepan dengan mukabuku, lantaran kerajinan Sifu Ainon Mohd menampal post-post menarik di dinding FB. Sejak itu juga saya baru belajar menghargai diri saya, menghargai syarikat kecil ini. Benar, walaupun RM10, RM 20 yang masuk ke dalam kantung syarikat, ia duit kita bukan duit orang lain. Angka-angka itulah yang akan terus mendorong kita agar lebih berusaha keras.

Saya mengambil buku 11 Teori  & Prinsip Motivasi di Tempat Kerja. Buku ini sudah dibaca dan di hadam. Semuanya konsep yang ditulis memang tepat dengan jiwa dan kehendak saya yang sukakan nilai-nilai dan falsafah yang betul untuk melakukan sesuatu.

Banyak yang digunakan untuk diri saya sendiri. Saya dulunya seorang yang rendah diri dan berdarah gemuruh kini menjadi seorang yang  berani dan belajar berfikir di luar kotak. Saya tidak mahu melihat diri saya yang sempit dan tidak berkeyakinan. Saya berusaha menjadikan diri saya seorang yang percaya saya mempunyai konsep percaya diri yang betul.

Di rumah, dipejabat, bersama rakan niaga dan kawan-kawan saya meletakkan saya "pakar motivasi". Di rumah saya menjadi "pakar motivasi" kepada suami, anak dan pembantu rumah saya. Di pejabat saya menjadi pakar motivasi kepada pekerja dan pelanggan saya. Bersama kawan-kawan saya menjadi pakar motivasi mereka. Saya bercakap, saya memberi pendapat, saya membuat lawak semuanya berdasarkan teori-teori yang saya baca dan saya praktikkan.

Perubahan-perubahan tingkah laku mereka yang berada disekitar saya, saya menyaksikan sendiri dan menikmati hasilnya. Jika saya boleh kongsikan disini tanpa berlebihan, usaha saya 7 tahun lalu sudah saya nikmati hari ini.

Tips 1: Agar mereka dengar apa yang kita cakap
1. Diam
2. Dengar
3. Kongsi
4. Kebahagian itu bermula dari kita....Solusi

Tips 2: Agar mereka sanggup datang dari jauh berjumpa kita
1. Pindah kepada dia- berikan dia kecantikan sosial
2. Setkan masa - celoteh tidak lebih dari setengah jam. Beri lebihan masa jika diminta
3. Datang ke rumah kita, perut mesti kenyang.

1. Mendorong Suami
Sewaktu saya berkahwin dengan suami saya, beliau seorang ustaz yang gajinya hanya RM 700 sebulan disebuah sekolah agama rakyat, baru menamatkan pengajian di Afrika, sebuah universiti yang tidak diiktiraf oleh kerajaan. Keyakinan saya amat tinggi suatu hari nanti, saya akan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang berjaya di dalam semua segi. Saya mengamalkan prinsip-prinsip motivasi, dorongan dan menghasilkan gol dalam merencana setiap langkahnya. Hari ini gajinya sudah 5kali ganda dan sedang membuat Phd.

2. Anak (7 tahun)
saya mengajar dia agar menjadi  seorang yang mempunyai konsep percaya diri yang betul. Saya mengajar dia menjadi seorang yang mempunyai nilai dan berdikari. Seorang yang menghargai, mematuhi peraturan -peraturan hidup dan pada masa yang sama, saya melepaskan untuk dia berfikir apa yang patut dia jadi dan mahu. Saya tidak menilai anak saya melalui pencapaian dan kebolehan. Hasilnya saya tidak perlu bercakap bahasa kanak-kanak, saya akan bercakap bahasa seorang yang matang.

3. Pembantu Rumah
Saya mendapat pembantu rumah Indonesia yang rajin mendirikan solat dan menutup aurat. Itu ciri-ciri yang saya mahu sewaktu membuat penilaian. Usianya 47 tahun. Saya tidak pernah menganggap dia "pekerja am" di rumah kami. Anak saya juga tidak pernah menggunakan bahasa memerintah dan kasar, itu yang kami ajar. Jika saya tidak puas hati dengan cara kerjanya, saya tidak marah, saya akan memberi contoh bagaimana kerja itu harus dibuat. Saya menerangkan dengan detail. Saya tidak membuat jadual kerja, tetapi saya melatih jadual kerjanya sehingga dia sendiri tahu apa yang patut dia buat. "Practice make Perfect". itu yang saya ajar kepadanya. Selain memberi gaji bulanan, saya memberinya ganjaran tambahan jika dia lakukan kerja-kerja tambahan seperti kenduri dan lain-lain.



4. Staff
Saya mempunyai staff tetap seramai 3 orang dan staff separuh masa seramai 4-7 orang. Sewaktu mula-mula saya memberi tugasan kerja, saya akan menerangkan dengan detail. Kemudian saya akan tunjukkan cara yang betul. Saya akan tulis langkah 1, 2,3... Pada mulanya saya akan lakukan sendiri dan minta mereka lihat dan buat seperti apa yang saya buat. Selepas itu saya akan memantau prestasi kerja mereka. Saya juga akan bertanya masalah dan keperluan mereka. Saya suka bercerita, berkongsi tips-tips dan hasil pembacaan buku-buku yang saya baca. Ada sahaja teori-teori baru yang saya akan jelaskan.
Saya menerangkan nilai-nilai dan prinsip yang saya pegang. Dari segi kebajikan, itu perkara utama, rasanya susah mahu berjumpa majikan sebaik saya ini..:-)..


Apa yang saya amalkan adalah rasa lega bila melakukan sesuatu yang baik dan betul. Saya seorang yang mementingkan masa. Jika ada staff yang lambat datang, saya tidak marah, pejamkan mata sahaja dan mulut diam. Saya tidak mengungkit-ungkit.Saya tunjukkan contoh sahaja.Bila kelas mula jam 8 pagi. Jam 8 pagi mesti dimulakan tanpa kompromi. Akhirnya mereka akan faham dan malu sendiri.

Dari segi ganjaran material, saya memang suka memberi ganjaran lebih dari gaji bulanan mereka walaupun tidak banyak. Dari segi ganjaran sosial saya memberi motivasi dan pujian.



5. Pelanggan, rakan niaga dan kawan-kawan.
Setiap pelanggan dan rakan niaga yang datang mesti mendapat perkongsian tips dari saya. Saya suka berkongsi apa sahaja mengikut keperluan mereka. Jika mereka bertanya perihal sekolah yang terbaik untuk anak mereka. Saya akan bercakap semua yang betul mengikut keperluan mereka. Saya akan mendengar masalah dan cadangkan keperluan untuk mereka.

Kawan-kawan yang rapat juga akan mengusik saya 'pakar motivasi'. Sejak dari sekolah, saya memang tidak suka bersembang kosong. Jika mereka mahu dengar saya bercakap mesti mereka akan dengar teori-teori motivasi saya. Jika tidak saya akan diam sahaja. Bila saya bercakap ia akan berpindah kepada keperluan meningkatkan estim mereka. Memuji, mendengar, berkongsi dan memberi solusi. Memindahkan kecantikan sosial kepada mereka. Saya amalkan semua teknik Puan Ainon, agar orang suka berbual-bual dengan kita.



Kesimpulan

Apa yang pelik jika kita menjadi majikan yang baik. Adakah bila digelar majikan, kita mesti berwatak garang, serius, celupar, pemarah, sombong dan ego. Saya fikir tiada guna hidup jika semua orang membenci dan tidak suka kepada kita.

Apa yang pelik jika jadi isteri yang taat dan sanggup melakukan perintah suami tanpa bantah. Sudah sedia ganjaran besar kepada kita.

Apa yang pelik jadi ibu yang baik dan positif kepada anak. Kerana apabila mereka berjaya, kita yang gembira.

Apa yang pelik menjadi sahabat yang baik. Jika kita dalam kesusahan mereka yang akan membantu

Tips 3:
1. Lakukan 1 kebaikan kepada mereka, mereka akan balas 10 kepada kita
2. Dengar apa yang mereka cakap, mereka akan dengar apa yang kita luahkan
3. Berkongsi apa yang kita tahu, mereka akan gunakan tips-tips itu untuk bekerja, berkomunikasi dengan kita.
4. Bangunkan estim positif mereka, Hidup kita akan bahagia selama-lamanya, kerana muka mereka yang akan kita jumpa.

Tips 4:
1. Saya adalah jarum dan benang yang menjahit koyak yang kecil. Tanpa saya, koyak yang kecil itu akan memberi malu kepada sipemakainya
2 Sekalipun saya bukan sesiapa, saya bukan orang terkenal, tetapi saya membina dunia saya sendiri dengan sedikit kebahagian. Sayalah 'pakar motivasi' di dunia kecil saya.



Saya percaya, jika kita mahukan bahagia, semuanya bermula dari kita....
Sekian dulu perkongsian saya. Semoga ia tidak keterlaluan dan dapat memberi manfaat.