Sunday, October 6, 2013

Kami Rindukan Engkau Wahai Umar Abdul Aziz



Sedalam rindu yang bergelora dalam jiwa
Dengan sepenuh hati kami ingin membuka lembaran sirahmu

Dua lilin kau miliki,
Satu untuk Negara, satu lagi adalah untukmu
Betapa engkau adalah seperti yang disebut oleh datukmu
 "Dari zuriatku  akan lahir seorang lelaki yang menyerupaiku
 dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"

Ya Umar, engkau telah berkata
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya.
Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat.
Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau seksa, senang atau susah,
Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi  hari tidak akan sampai ke   petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya"

Hassan al-Qishab juga telah memujimu:
"Aku melihat serigala diternak bersama dengan
sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"

wahai Umar Abdul Aziz,
Ingin kami lembarkan peribadimu kepada pemimpin kami lewat zaman
Mereka jadikan jawatan pemimpin untuk kekayaan sendiri
Mereka jadikan kami rakyat marhaen, pengemis di negeri ini
Mereka jadikan kami hamba diratah sesuka hati

Wahai Umar Abdul Aziz
Rindu kami terpendam begitu lama
Hampir merempuh memecah dada
Kami rindukan kepimpinanmu, keadilanmu, kezuhudanmu
Keperibadian muliamu, kebijaksanaamu

Wahai Umar Abdul Aziz
Kami sudah penat dan lelah ditindas
Diminta berjimat cermat, sedangkan projek mega terus berleluasa
Kami diminta terus bekerja keras,
sedangkan kroni dan keluarga mereka terus sahaja berkuasa

Apa daya kami, wahai Umar Abdul Aziz
Hanya doa yang panjang kepada Allah Rabul izzati
Semoga kami diberi ganti dengan watak pemimpin sepertimu

Amin, Ya Rabb

Nukilan
Tengku Nurhusni (tengku-nurhusni.blogspot.com)

Kota Damansara 2012

Chef at My Home 1


Sejak minggu lepas memang teringin mahu makan Kuah durian dengan pulut. Maklumlah 'Mak Buyong' 8 bulan ini berselera makan sejak akhir-akhir ini. Mengidamlah agaknya.

Petang tadi singgah di Seksyen 7 Kota Damansara mencari durian. Dapatlah 2 biji durian dengan harga RM 10. Setelah solat maghrib dan isyak. Mengajar anak tuisyen yang akan  'exam; esok hari. Terpaksalah menangguhkan hajat memulakan 'kerja-kerja' membuat kuah durian dan pulut.

Jam 10 malam membuka FB melihat celoteh-celoteh kawan-kawan. Tuan besar sudah tidur bersama anak bujang. Kepenatan baru pulang dari kampung petang tadi. Jam 11 memulakan operasi ke dapur. Memulakan dengan mengupas durian yang 'mak oi' degil sungguh kulit durian tersebut untuk dibuka. 

Berpeluh-peluh berusaha membuka 2 biji durian. Kecewa sedikit durian yang diharapkan tidaklah manis namun isinya elok kekuningan. Akhirnya dapatlah seperiuk durian.

Kongsi Resepi Kuah Durian 'Bonda Secret Receipies"

Kuah Durian

Bahan-bahan
Isi durian 10-12 biji
Santan 1 kotak 500ml
Air 2 cawan
Gula 1/2 cawan
Gula melaka 1 ketul
Daun Pandan 3 helai

Cara-cara:
1. Panaskan air di dalam periuk
2. Masukkan gula, biarkan mendidih
3. Masukkan gula melaka
4. Masukkan durian kemudian kacau rata
5. Masukkan santan dan perlahankan api. Kacau sehingga sebati
6. Sejukkan di dalam peti

Pulut 

Bahan-bahan
Beras Pulut 2 cawan
Santan 1 cawan
Air panas 1 cawan
Garam 1 sudu kecil
Daun pandan
Minyak masak 2 sudu kecil


Cara-cara:
1. Bersihkan beras pulut di dalam periuk nasi elektrik. Kemudian masukkan santan dan air panas
2. Masukkan garam dan minyak berserta daun pandan
3. Setelah mendidih kacau perlahan-lahan agar tidak berkerak
4. Biarkan sehingga masak

Seronok memasak walapun penat. Esok mahu dihidangkan kepada Tuan Besar dan Tuan kecil untuk sarapan pagi.

Selamat mencuba


Life is Sharing...Mulakan hari ini

Banyak perkara yang dilalui dalam hidup ini, namun tidak sempat untuk saya tulis dan tidak mahu juga dikongsi kepada semua orang. Saya memang sukakan hidup yang penuh privasi tanpa publisiti. Itu lebih menenangkan. Ya, saya amat yakin dengan itu.

Tidak perlu menghebah-hebahkan kepada semua orang apa yang kita lalui dalam hidup ini, apa yang yang mahu dilakukan dan apa yang telah terjadi setiap hari. Namun barangkali pengalaman itu boleh dikongsi kepada sahabat-sahabat tentang hidup yang penuh bererti.

Ya. Akhirnya saya terima kenyataan ini. Saya tidak boleh lagi menyembunyikan diri dalam dunia saya sahaja. Merasakan kehidupan saya tidak perlu dikongsi sedangkan masih ramai lagi yang perlukan bantuan dari sudut motivasi dan iktibar memperbaiki kehidupan.

Malah, saya sudah ada tanggungjawab yang besar untuk digalas dan saya harus bersedia untuk berkongsi diri saya dengan masyarakat saya.

Barangkali apa yang kita tulis menjadi pengajaran dan ilmu kepada semua orang. Sedar tidak sedar, banyaknya pengalaman saya sehingga apabila orang lain yang kebetulan mendengar tidak sangka, seusia saya sudah mempunyai pengalaman sedemikian.

Saya memang suka mencuba sesuatu dan selalu mencabar diri. Dan hari ini, saya mengutip pengalaman yang banyak dan matang dalam membentuk personaliti dan hidup saya sendiri. Keyakinan saya berupaya memotivasikan diri saya sendiri dan tenang menghadapi kehidupan yang mencabar ini tanpa saya merungut, menyalahkan orang lain dan meluahkan luahan yang tidak masuk akal.