Karya

Budaya di media bukan budaya Islam-Melayu

Peranan media dilihat sebagai suatu kuasa baru dunia hari ini. Media bagaikan satu magik alaf baru yang berjaya menyihir penonton dengan mudah dan cepat. Buktinya, iklan dan drama di kaca televisyen menjadi begitu popular dan diterima oleh seluruh ahli masyarakat.

Dalam konteks ini, kita mahu memberi fokus kepada budaya yang cuba diterapkan oleh media TV. Paling jelas adalah drama TV berbahasa Melayu yang disasarkan kepada penonton Melayu. Sebagai bangsa Melayu yang mendokong aspirasi yang tinggi dan bermaruah, kita tidak mahu media menjadi alat mempromosi budaya yang tidak sihat serta menjadikannya suatu alat provokasi.

Begitu jelas sekali banyak slot drama TV yang memaparkan budaya yang tidak sihat dan menjadikan warga Islam-Melayu begitu gelisah dengan senario ini.

Antara ciri-ciri yang paling ketara mempromosikan budaya tidak sihat itu adalah:
1.Watak seorang Islam-Melayu yang tidak menunaikan solat Subuh
2.Watak seorang wanita Melayu Islam tidak menutup aurat dengan sempurna
3.Watak seorang wanita Melayu Islam bergelar isteri yang tidak menghormati suami dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
4.Watak seorang Islam Melayu tidak bercakap menggunakan bahasa Melayu tinggi (BMT)
5.Watak-watak yang remeh-temeh mempersendakan budaya Melayu dan Islam.
6.Watak Islam-Melayu yang percaya kepada tahyul dan bomoh.

Enam pekara di atas adalah sebahagian daripada banyak contoh yang terdapat di dalam drama Melayu di TV. Terlalu banyak lagi contoh budaya yang tidak sihat, malah dipromosikan secara besar-besaran. Dalam isu ini kita tidak dapat menerima semua watak yang dilakonkan untuk dijadikan sebagai pengajaran dan iktibar iaitu semua aktiviti yang dilakonkan adalah berbentuk demontrasi tingkah laku dan akan menyerap di dalam minda bawah sedar para penonton.

Lakonan dalam bentuk ini amat berbahaya sekali dan merupakan input lantas menjadikan perkara tersebut diterima sebagai ‘alah biasa tegal biasa’ dalam kehidupan masyarakat, kemudian menjadi contoh dan ikutan yang tidak sihat.

Di sini kita mahu masyarakat berhenti seketika untuk berfikir dengan lebih terang, menyeru para pembikin drama dan filem, para pengkritik, ahli akademik, tokoh-tokoh negara agar dapat menghentikan mempromosi budaya yang tidak sihat ini. Kita semua mahukan hiburan, namun hiburan yang kita inginkan adalah hiburan yang bermanfaat.

Kita mahu terus berjuang untuk mempromosikan budaya yang sihat, budaya yang akan menjadi contoh ikutan, budaya yang akan mencerminkan inilah watak Islam Melayu yang kita idamkan selama ini.

Kita tidak pernah menyokong bahawa watak-watak di dalam filem dan drama yang dipertontonkan kepada kita adalah watak dan budaya Islam Melayu . Segala kisah benar yang mahu dijadikan iktibar itu hanyalah kisah terpencil yang tidak mahu kita jadikan sebagai tontonan umum. Kita mahu menjaga aib dan maruah bangsa Islam-Melayu kepada bangsa-bangsa lain yang akan melihat Islam –Melayu sebagai contoh. Kita sudah lama dimalukan di hadapan umum dengan penyiaran watak-watak dan budaya yang tidak bermoral itu.

Oleh itu, kita mengharapkan perkongsian ini dapat memberi pencerahan kepada para pengamal media agar berhenti daripada terus menyogok budaya yang tidak sihat. Begitu banyak budaya yang harus dan wajib ditonjolkan di dalam drama dan filem. Antaranya:
1.Watak seorang isteri yang sentiasa memberi dorongan kepada suaminya agar terus berusaha mencari rezeki dan memperbaiki kehidupan
2.Watak semua orang menggunakan bahasa Melayu tinggi (BMT) sebagai lambang kemurnian akhlak mereka
3.Watak seorang guru mendorong pelajar corot
4.Watak seorang ketua memberi motivasi kepada para pekerjanya
5.Watak suami menggunakan bahasa-bahasa cinta kepada isterinya
6.Watak seorang anak yang berada di dalam lingkungan persekitaran yang sihat.
7.Watak seorang Islam-Melayu dan mematuhi syariah (syariah compliant) di dalam kehidupan seharian.
Dalam silibus drama dan filem, mungkin perlu ada watak jahat (antagonis) dan watak baik (protagonist), namun watak apakah yang lebih wajar dipromosikan secara berlebihan? Tentu sahaja sebagai warga yang mendokong nilai-nilai murni. Maka kita sentiasa mahu melihat kehidupan masyarakat yang mempunyai ciri-ciri dan nilai yang jitu dan unggul.

YM Puan Tengku Nurhusni bt Tengku Ab Razak ialah Presiden Pertubuhan WRC Malaysia (Women Research Centre).




Isu Gelandangan: Solusi Dengan Agama

Saya tertarik memetik tajuk ini sebagai bahan tulisan. Mengapa kerana saya pernah terserempak dengan suasana gelandangan yang pada mulanya memang mengejutkan saya. Terkejut kerana negara tercinta ini yang kaya dengan hasil mahsul tetapi masih ramai lagi yang hidup tanpa rumah, menumpang tidur di lorong-lorong dan dibawah jambatan. Tidak kurang juga yang tidur di dalam kereta, tidur di taman-taman dan sebagainya.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Kerisauan kita memang memuncak kerana angka golongan bergelandangan ini semakin bertambah. Sekitar Ibu Kota Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sudah menjangkau 700-800 orang gelandangan. 90-95% tidak mempunyai kad pengenalan sama ada dicuri atau disamun ketika tidur. Mereka juga terdiri daripada beberapa kumpulan muda, tua, remaja dan wanita. Ada juga dikalangan mereka wanita hamil dan Orang Kelainan Upaya.

80% mereka ini merupakan kumpulan pengguna dadah, pembawa HIV, warga emas terpinggir, remaja lari dari rumah, wanita hamil dan OKU dibuang keluarga, pesalah juvana dan banduan. Kebanyakan mereka ini terdiri dari keluarga bermasalah.

Golongan geladangan ini sesetengahnya berdepan dengan masalah datang dari Kampung dan ditipu majikan dan  kawan. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur meneruskan mencari rezeki dari menanggung malu untuk kembali ke kampung.

Apa pun masalah yang mereka hadapi dan cara mereka mendepani masalah tersebut, hakikatnya golongan ini semakin bertambah. Pihak-pihak berkenaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dan badan-badan bukan kerajaan, orang perseorang dan kita perlu mencari satu solusi bagi menyelesaikan masalah ini.

Apabila kita mahu berbicara perihal solusi, tidak boleh terus-menerus kita menyiasat mengapa masalah ini terjadi dan apakah puncanya. Kita juga tidak harus mengambil sikap menyalahkan sesiapa. Apa yang jelas, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab ini. Hal ini jika disiasat akan membawa isu yang lebih parah atau tidak boleh diselesaikan sampai bila-bila.

Isu yang sedang hangat diperkatakan adalah tentang Program Pembersihan Golongan ini yang dikatakan mencemar Keindahan Ibu Kota Kuala Lumpur. Golongan ini dikatakan pengemis, pengotor dan pemalas. Namun begitu, lemparan kata-kata ini tidak sepatutnya diluahkan kerana kita sendiri tidak pernah berdepan dengan situasi yang mereka hadapi. Mungkin ini bukan pilihan mereka. Kehidupan kita ini menjadi ujian kepada hidup orang lain dan begitu juga kehidupan orang lain menjadi ujian kepada kehidupan kita. Asasnya Islam menekankan setiap ujian pasti ada hikmah disebaliknya. Mereka yang memberi lebih mulia dari mereka yang menerima. Malah si pemberi pula akan mendapat pahala yang berganda-ganda dan dapat menyuburkan harta. Di dalam hak yang kita ada, terdapat hak orang lain. Itu amat jelas seperti firman Allah:

" (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
(Surah Al- Baqarah ayat 263)

“Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya).”
(Surah Al Baqarah ayat 273 )

“Sedekah itu memadamkan (menghapuskan) kesalahan sebagaimana air memadamkan api”
(Dilaporkan oleh Ahmad)

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Golongan pengemis, miskin dan dibuang keluarga ini bukan bermula di zaman ini dan dinegara ini sahaja. Ia berlaku sejak zaman Nabi besar kita Muhammad SAW dan isu ini merupakan isu antarabangsa kerana semua negara berdepan dengan masalah ini.

Apa yang membezakan adalah solusinya, cara penyelesaiannya dan  cara penambahanbaikannya. Apakah kita sudah kekeringan idea apabila menghukum mereka sebagai golongan hina dan juga menghukum pula mereka yang mahu dan ikhlas membantu mereka, mahu mendapat pahala dan ingin memberikan ruang kasih sayang kepada golongan ini.

Ironinya, menghapuskan kemiskinan dan menghapuskan orang miskin adalah suatu perkara yang berbeza. Pihak bertanggungjawab diseru untuk mengembleng tenaga bagi menghapuskan kemiskinan dinegara ini. Usaha menghapuskan kemiskinan mesti dibuat dari akar umbi iaitu dengan memberi ruang golongan ini memperbaiki sistem ekonomi dan kehidupan mereka.

Apa yang menyedihkan, usaha menghapuskan orang miskin di Ibu Kota menjadi agenda pihak terbabit.  Ia adalah perkara yang bertentangan dengan usaha menghapuskan kemiskinan disemua peringkat lapisan masyarakat. Contohnya, akibat kenaikan harga hartanah di Ibu kota maka golongan gelandangan menjadi semakin bertambah. Penulis pernah menemuramah beberapa gelandangan ini yang tidur ditaman-taman bunga dan di dalam kereta dengan sebab tidak mampu menyewa rumah di Kuala Lumpur apatah lagi mahu membelinya. Bagi golongan ini dengan cara hidup seperti ini kos hidup dapat dijimatkan dan dapat disalurkan untuk pembelian makanan, sewa kereta dan lain-lain keperluan.

Penulis amat berhasrat bersikap adil di dalam tulisan ini. Namun tuduhan mengatakan golongan ini pemalas dan sebagainya agak sukar diterima. Bagi gelandangan rakyat asing pihak kerajaan perlu lakukan sesuatu seperti menghantar mereka pulang ke negara asal, memberi hukuman denda dan memaksa mereka berkerja disektor yang sepatutnya.

Di dalam kelompok ini, kebanyakannya adalah rakyat Malaysia sendiri yang tidak mempunyai tempat perlindungan seperti rumah dan mendapat bantuan dari pihak kerajaan. Oleh itu usaha bagi membantu rakyat negara sendiri mendapat hartanah yang sesuai sepatutnya menjadi fokus utama pihak kerajaan,
Jika dibandingkan taraf gaji bagi penduduk malaysia amat rendah berbanding negara lain, contoh yang terdekat adalah negara jiran kita iaitu Singapura. Gaji penyapu sampah bagi rakyat Singapura setaraf dengan gaji guru lepasan Ijazah di Malaysia.

Kesimpulannya. Sebelum membuat sesuatu akta, hukuman dan larangan kepada rakyat, pihak yang memegang pentadbiran hasil mahsul negara perlu membentang dan mencadangkan satu draf usaha membantu golongan gelandangan ini dari terus bertambah dan membanjiri Ibu Kota.

Jelas sekali, pendapatan negara dan badan-badan kerajaan seperti zakat dan baitulmal yang dicatatkan peratus keuntungan dan kutipan berbillion ringgit perlu merangka pelan pembangunan rakyat sebelum dikatakan rakyat termiskin ini menjadi punca utama mengotorkan ibu kota Kuala Lumpur.

Penulis juga mengaku agak tidak selesa dengan situasi gelandangan yang mencacatkan pemandangan, namun apa pilihan yang mereka ada? Pihak kerajaan dan badan zakat lebih mempunyai banyak pilihan untuk melakukan banyak perkara dan usaha.

Tepuk Dada, fikirlah lebih panjang.

Apapun penyelesaian yang kita cari, ia mestilah berbalik kepada agama itu sendiri. Pada pendapat penulis, siri menderma makanan bukan terhenti disitu sahaja. Agak tidak berbaloi jika penderma hanya menderma makanan. Menderma dan memberi sedekah mestilah dapat kepada kedua-dua belah pihak bukan sahaja fizikal makanan tersebut. Ia mestilah disusuli dengan makanan rohani yang diberi oleh para penderma budiman.

Siri menderma makanan adalah siri menunjukan rasa kasih sayang. Maka selepas itu mestilah ada pula siri membawa dan membimbing mereka golongan gelandangan ini kepada kehidupan yang lebih benar dan betul. Penulis bukanlah mahu mengikut cara agama lain contohnya mubaligh kristian yang menyediakan makanan percuma kepada golongan gelandangan ini , tetapi mereka mempunyai agenda mereka agar golongan gelandangan ini terpikat dengan agama mereka dan menjadi pendokong agama mereka.

Sayang seribu kali sayang jika kita yang mewar-warkan kutipan zakat kita beratus juta namun, tiada apa nilai yang kita boleh dapati daripada kutipan jutaan itu. Satu formula utama dan unggul yang dapat membersihkan ibu kota dari golongan ini adalah dengan membawa mereka kepada agama yang suci lagi murni.

Hanya dengan membawa mereka mengenal Allah sahaja maka mereka akan membersihkan diri, membersihkan jiwa, membersihkan tempat mereka akan tidur dan melihat masa depan mereka yang penuh cerah.

Sekian, Kota Damansara.

No comments:

Post a Comment