Friday, July 4, 2014

Budaya di media bukan budaya Islam-Melayu


Peranan media dilihat sebagai suatu kuasa baru dunia hari ini. Media bagaikan satu magik alaf baru yang berjaya menyihir penonton dengan mudah dan cepat. Buktinya, iklan dan drama di kaca televisyen menjadi begitu popular dan diterima oleh seluruh ahli masyarakat.

Dalam konteks ini, kita mahu memberi fokus kepada budaya yang cuba diterapkan oleh media TV. Paling jelas adalah drama TV berbahasa Melayu yang disasarkan kepada penonton Melayu. Sebagai bangsa Melayu yang mendokong aspirasi yang tinggi dan bermaruah, kita tidak mahu media menjadi alat mempromosi budaya yang tidak sihat serta menjadikannya suatu alat provokasi.

Begitu jelas sekali banyak slot drama TV yang memaparkan budaya yang tidak sihat dan menjadikan warga Islam-Melayu begitu gelisah dengan senario ini.

Antara ciri-ciri yang paling ketara mempromosikan budaya tidak sihat itu adalah:
1.Watak seorang Islam-Melayu yang tidak menunaikan solat Subuh
2.Watak seorang wanita Melayu Islam tidak menutup aurat dengan sempurna
3.Watak seorang wanita Melayu Islam bergelar isteri yang tidak menghormati suami dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
4.Watak seorang Islam Melayu tidak bercakap menggunakan bahasa Melayu tinggi (BMT)
5.Watak-watak yang remeh-temeh mempersendakan budaya Melayu dan Islam.
6.Watak Islam-Melayu yang percaya kepada tahyul dan bomoh.

Enam pekara di atas adalah sebahagian daripada banyak contoh yang terdapat di dalam drama Melayu di TV. Terlalu banyak lagi contoh budaya yang tidak sihat, malah dipromosikan secara besar-besaran. Dalam isu ini kita tidak dapat menerima semua watak yang dilakonkan untuk dijadikan sebagai pengajaran dan iktibar iaitu semua aktiviti yang dilakonkan adalah berbentuk demontrasi tingkah laku dan akan menyerap di dalam minda bawah sedar para penonton.

Lakonan dalam bentuk ini amat berbahaya sekali dan merupakan input lantas menjadikan perkara tersebut diterima sebagai ‘alah biasa tegal biasa’ dalam kehidupan masyarakat, kemudian menjadi contoh dan ikutan yang tidak sihat.

Di sini kita mahu masyarakat berhenti seketika untuk berfikir dengan lebih terang, menyeru para pembikin drama dan filem, para pengkritik, ahli akademik, tokoh-tokoh negara agar dapat menghentikan mempromosi budaya yang tidak sihat ini. Kita semua mahukan hiburan, namun hiburan yang kita inginkan adalah hiburan yang bermanfaat.

Kita mahu terus berjuang untuk mempromosikan budaya yang sihat, budaya yang akan menjadi contoh ikutan, budaya yang akan mencerminkan inilah watak Islam Melayu yang kita idamkan selama ini.

Kita tidak pernah menyokong bahawa watak-watak di dalam filem dan drama yang dipertontonkan kepada kita adalah watak dan budaya Islam Melayu . Segala kisah benar yang mahu dijadikan iktibar itu hanyalah kisah terpencil yang tidak mahu kita jadikan sebagai tontonan umum. Kita mahu menjaga aib dan maruah bangsa Islam-Melayu kepada bangsa-bangsa lain yang akan melihat Islam –Melayu sebagai contoh. Kita sudah lama dimalukan di hadapan umum dengan penyiaran watak-watak dan budaya yang tidak bermoral itu.

Oleh itu, kita mengharapkan perkongsian ini dapat memberi pencerahan kepada para pengamal media agar berhenti daripada terus menyogok budaya yang tidak sihat. Begitu banyak budaya yang harus dan wajib ditonjolkan di dalam drama dan filem. Antaranya:
1.Watak seorang isteri yang sentiasa memberi dorongan kepada suaminya agar terus berusaha mencari rezeki dan memperbaiki kehidupan
2.Watak semua orang menggunakan bahasa Melayu tinggi (BMT) sebagai lambang kemurnian akhlak mereka
3.Watak seorang guru mendorong pelajar corot
4.Watak seorang ketua memberi motivasi kepada para pekerjanya
5.Watak suami menggunakan bahasa-bahasa cinta kepada isterinya
6.Watak seorang anak yang berada di dalam lingkungan persekitaran yang sihat.
7.Watak seorang Islam-Melayu dan mematuhi syariah (syariah compliant) di dalam kehidupan seharian.
Dalam silibus drama dan filem, mungkin perlu ada watak jahat (antagonis) dan watak baik (protagonist), namun watak apakah yang lebih wajar dipromosikan secara berlebihan? Tentu sahaja sebagai warga yang mendokong nilai-nilai murni. Maka kita sentiasa mahu melihat kehidupan masyarakat yang mempunyai ciri-ciri dan nilai yang jitu dan unggul.

YM Puan Tengku Nurhusni bt Tengku Ab Razak ialah Presiden Pertubuhan WRC Malaysia (Women Research Centre).

No comments:

Post a Comment