Wednesday, September 12, 2012

Kisah emak

Hari ini ibu dimasukkan ke hospital akibat kekurangan oksigen. Bulan lepas saya menghantar emak ke Hospital KPJ Damansara bagi menerima rawatan dan mengambil ubat. Kali ini rupanya oksigen emak semakin berkurangan. Menurut doktor ini adalah kesan paru-paru emak yang menggalami kesan parut akibat batuk yang terlalu lama ketika kami masih kecil.

Selama emak hidup, tidak pernah emak di masukkan ke hospital kecuai sewaktu melahirkan adik yang bongsu 19 tahun yang lalu. Emak memang seorang yang kuat semangat dan sehingga usia ini tiada penyakit kronik yang di alami oleh emak.

Emak orang kampung yang kerjanya di kebun, langsung tidak mengalami penyakit orang bandar. Hal ini kerana emak menjaga pemakanannya. Emak bukan seperti orang sekarang yang makan apa sahaja. ais batu tidak pernah diminum oleh emak.

Zaman dahulu, rawatan hospital dan klinik amat terhad. Begitulah adat rawatan di klinik kerajaan. Sakit kepala di beri panadol, sakit perut diberi ubat gastrik, batuk diberi ubat batuk. Tanpa rawatan susulan dan rawatan dari pakar maka itulah menjadi label utama bagi menggambarkan hospital dan klinik kerajaan yang nampaknya tidak berfungsi menyediakan rawatan yang berkualiti kepada pesakit.

Zaman dahulu, emak tidak mampu menerima rawatan di hospital pakar sebegini, maklumlah semuanya adik beradik lapan orang masih belajar dan baru mahu memulakan hidup. Apabila lima dua puluh tahun telah berlalu barulah emak dan abah mempunyai simpanan sendiri dan kami adik beradik sudah berkerjaya dan membantu sedaya mungkin.

Petang tadi saya sempat memasakkan emak bubur nasi, selepas itu mengisi di dalam bekal untuk dibawa ke hospital. emak di masukkan ke wad single room maka sudah pasti kami adik beradik berlapan akan membuat giliran untuk menjaga emak.

Bertuahnya emak mempunyai ramai anak. Semoga emak akan beransur pulih.

Tuesday, September 4, 2012

Aduhai Ibu dan bapa...

Hari ini saya mencuba berkongsi analisa tentang pendidikan anak-anak. Kadang-kadang saya melihat ibu dan bapa membuat 'expectation' yang tinggi terhadap anak-anak mereka. Mereka menghantar ke sekolah dengan harapan yang tinggi agar anak-anak mereka 'lebih pandai' daripada anak-anak orang lain.

Saya melihat ini sudah menjadi 'trend' dan budaya dikalangan ibu-ibu tidak kira dibandar atau dikampung. Budaya suka memuji anak-anak ini sebenarnya satu perkara yang perlu diperbetulkan. Saya pernah mendengar Prof Dr Muhaya menyebut, adalah tidak perlu memuji anak-anak kita dihadapan orang lain untuk menunjukkan anak-anak kita lebih pandai dan terbaik. Teguran dari Prof Dr Muhaya ini adalah satu teguran yang amat positif. Saya melihat banyak kebaikan dan kesan positif dari pelbagai sudut jika ibubapa lebih 'mengendurkan' harapan mereka agar anak-anak mereka berjaya dalam diam. Maksud berjaya dalam diam, biarlah anak-anak berjaya tanpa diheboh-hebohkan.

Saya sebagai pendidik dan pengusaha sebuah Pusat Tahfiz turut melihat perkara ini. Terdapat ibubapa yang mengharapkan anak mereka 'masuk sekolah terus sahaja pandai'. Apakah ibubapa mengharapkan keajaiban kepada anak mereka dengan mneyalahkan guru-guru jika anak mereka tidak pandai?.

Saya membuat beberapa kesimpulan.
1. sikap 'harapan tinggi' ibubapa itu menyebabkan anak-anak menjadi stress. Guru juga menjadi stress. Oleh itu sesi pembelajaran dan pengukuhan guru terhadap pelajar juga mengalami stress yang tidak baik. Guru akan mengatakan bahawa 'anak mereka tidaklah pandai sangat'
2.Anak-anak akan menjadi lebih stress jika guru mula menggunakan kekerasan untuk mencapai' harapan tinggi' dari sikap ibubapa mereka sendiri.
3. berilah peluang untuk anak-anak kita mengunakan usia kanak-kanak mereka untuk lebih banyak bermain. Otak kanak-kanak yang sukakan dunia aktif, dunia ceria, dunia penuh warna-warni itu harus diisikan dengan pelbagai aktif merangsang otak mereka untuk kekal aktif dan bermaya
4.Ibubapa harus memantau perkembangan anak-anak dari sudut emosi bukan sahaja dari sudut apa yang mereka belajar disekolah.

Saya ingin berkongsi pengalaman bersama ibubapa bagaimana saya memberikan pendidikan kepada anak saya. Ini yang saya lakukan ketika anak saya berusia 3 tahun.
1. Saya tekankan tentang pengenalan huruf-huruf al quran dan perlakuan solat.
2.Saya langsung tidak memberi tekanan kepada anak saya untuk dia mengenali huruf-huruf roman.
3. Saya sengaja membiarkan anak saya memilih apa yang dia suka lakukan.
4. Saya bercakap dan melayan aktviti percakapannya seperti saya melayan orang dewasa. Setiap soalan akan dijawab dengan segera.
5. Saya akan menerangkan setiap proses yang berlaku dengan jelas. Contoh jika ditanya tentang bagaimana nasi dimasak.

Ketika berusia empat tahun saya mula mengajarnya iqra. Namun pada waktu itu saya mengajar secara bermain. Saya langsung tidak menekankan agar anak saya terus menguasai sepenuhnya.

Masuk ke usia lima tahun, saya melihat minatnya datang sendiri. Maka saya mula mengajar dengan bersungguh-sungguh Saya tidak mnegharapkan anak saya mendapat pengajaran di sekolah sahaja. Saya jadikan proses timbal balik. Belajar di rumah, pengukuhan di sekolah, belajar di sekolah, pengukuhan di rumah. Kenali sifat-sifat dan kelebihan-kelebihan anak kita dan tarik potensi mereka ke arah apa yang mereka suka.

Ketika berusia enam tahun, otaknya cepat berkembang jadi waktu ini saya mengambil peluang untuk mengajarnya banyak perkara. Saya menggunakan pelbagai cara ganjaran seperti hadiah dan pujian untuk melihat dia terus fokus kepada apa yang anak saya perlu capai. contohnya apabila dia sudah boleh membaca al quran dengan baik, menghafaz surah-surah pendek al quran, boleh membaca bahasa melayu dan inggeris.

Setiap anak mempunyai potensi dan kelebihan tersendiri. Jangan cuba bandingkan mereka dengan anak orang lain atau adik beradik yang lain. Cetus motivasi mereka dengan cara beri peluang untuk melihat dunia dengan pandangan mereka sendiri. Cari peluang untuk kita berkongsi kegembiraan dengan anak-anak kita. Jangan dera emosi mereka dengan membiarkan mereka meluahkan perasaan mereka sendirian atau dengan orang lain.



POLIGAMI ANTARA MADU DAN HEMPEDU(I)PENGALAMAN AL-SYAIKH AL-MUJAHID SAID HAWWA


Alhamdulillah antara usaha positif  yang dijalankan untuk memberi kefahaman tentang poligami menurut Islam ialah usaha yang dijalankan di negeri Kelantan iaitu forum berjudul ” Poligami antara madu dan  hempedu.”
Sebagaimana yang dimaklumi hukum asal berpoligami adalah harus, maka sesuatu yang harus boleh menjadi madu sekiranya tujuan, hasrat dan caranya betul sebaliknya menjadi hempedu sekiranya niat dan caranya tidak betul…Insha Allah dikesempatan lain saya akan bincangkan isu ini secara terperinci…fokus perbincangan saya kali ini ialah berkaitan pengalaman Said Hawwa seorang tokoh gerakan Islam terkenal dalam isu poligami berdasarkan pertemuan saya dengan beberapa individu yang terlibat secara langsung dengan beliau…
PANDANGAN SAID HAWWA TENTANG POLIGAMI SEBELUM BERKAHWIN
Said Hawwa antara individu yang banyak  bercerita dengan teman-teman seperjuangan berhubung isu poligami sehinggakan seorang rakannya di universiti ; Syaikh Amir Zakiyyah berkata:
Said Hawwa pernah melamar saudara kandung perempuan saya, oleh kerana beliau terlalu banyak membincangkan topik poligami(seolah-olah beliau akan berpoligami), maka saya tidak menerima lamarannya.”
SAID HAWWA SUAMI YANG SETIA.
Setelah berkahwin dengan Ummu Muhammad pada usia yang agak lewat iaitu 30 tahun , Said Hawwa bersama keluarganya berpindah ke Arab Saudi dan bertugas di bebarapa tempat seperti al-Ihsa’ dan al-Madinah al-Munawwarah…al-Syaikh Amir Zakiyyah yang berjumpa dengan beliau selepas beliau berkahwin dan bertanya:
"Said Hawwa sebelum berkahwin anta banyak membicarakan tentang poligami tetapi sekarang anta langsung tidak bincang fasal poligami."
Said Hawwa menjawab:
"Setelah aku berkahwin aku dapati Ummu Muhammad seorang yang sangat baik. Maka kerana setia kepadanya aku berjanji tidak akan berkahwin dengan orang lain selagi mana beliau masih hidup."
 Ternyata Said Hawwa seorang yang setia dengan janjinya, Said Hawwa kembali kerahmatullah ketika berusia 54 tahun pada tahun 1989 dengan meninggalkan seorang balu Ummu Muhammad dan empat orang anak tiga lelaki iaitu Muhammad, Ahmad dan Muaz dan seorang perempuan Fatimah…sehingga ke saat penulisan ini(sepengetahuan penulis) Ummu Muhammad masih hidup dan tinggal dengan anak sulungnya Dr.Muhammad di Abdoon Jordan…maksudnya usia Ummu Muhammad 54+21=75 tahun…
Menurut anak bongsu Said Hawwa, al-Syaikh al-Murabbi Muaz bin Said Hawwa ibunya seorang yang solehah kerana neneknya adalah seorang hafizah al-Quran.
Bagi penulis pula Ummu Muhammad seorang yang berjaya mendidik anaknya…beliau menjaga anaknya sepanjang Said Hawwa berada di penjara selama lima tahun, sanggup melayan tetamu al-Marhum yang sangat ramai…ALHAMDULILLAH  anak2nya kini semuanya bertitle Doktor Falsafah dalam bidang pengajian Islam…

Monday, September 3, 2012

Petua Untuk Menjadi Manusia Berfikiran Terbuka



1. Apabila berinterkasi dengan ibubapa kita, letakkanlah diri kita di tempat mereka. Nescaya kita menghendaki agar anak-anak kita berinteraksi dengan cara yang terbaik kepada kita. Maka dengan itu juga, apabila berinteraksi dengan ibubapa kita, pilihlah cara yang terbaik.

2. Apabila melihat orang lain melakukan sesuatu kesalahan, letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita akan menghargai apabila ada orang yang sudi memaafkan kita serta memberi nasihat dan teguran. Ini kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka dengan itu maafkanlah kesalahan orang lain dan berusahalah mencari ruang menasihati dan menegurnya.



3. Apabila ingin membetulkan kesalahan orang lain, letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita mengingini agar orang yang membetulkan kita melakukannya dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Maka dengan itu juga, betulkanlah kesalahan orang lain, sama ada yang melakukan maksiat atau bid‘ah, secara tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Jangan menghebohkannya, bersikap keras dan kaku.

4. Apabila saudara kita memiliki sesuatu kelebihan seperti ilmu, kedudukan, kemasyhuran atau harta, maka letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita bergembira dan bersyukur atas kelebihan-kelebihan tersebut. Maka dengan itu juga, hendaklah kita turut bergembira dan bersyukur apabila di kalangan saudara kita ada yang diberi atau memiliki sesuatu kelebihan.

5. Apabila seorang Muslim yang lainnya mencaci dan menghina kita dengan perkataan yang kurang menyenangkan, beredarlah dari situ dan tinggalkan majlis atau perbincangan tersebut. Jangan pula kita juga mengherdik sama. Maka samalah kita dengan dia. Tiada bezanya. Kalau boleh kita beri sedikit nasihat. Dengar ataupun tidak terpulang padanya. Lambat laun pasti dia akan berubah. Memang sukar untuk melakukan demikian tetapi sekiranya kita ingin mengikuti akhlak Rasulullah, itu sahaja jalannya.





Sumber: AbGaji Aji FB