Tuesday, July 1, 2014

Menulis Kehidupan

Untuk apakah menulis kehidupan?
Menulis untuk catatan buat anak-anak masa hadapan atau menulis untuk ingatan apabila umur sudah bersisa senja.

Panjangnya hidup maka panjanglah ceritanya menanti terhentinya jejari menekan punat keyboard atau pen menulis noktah. Sekadar untuk berkongsi bagi anak-anakku tentang catatan hidup yang aku bekalkan untukmu.

Ya. Ibumu seorang penulis dan mahu menulis hidupnya pada sehelai kertas putih ini.
Ceritanya tentang rumah.

Setiap hari melihat orang membeli rumah, menghias rumah, membesarkan rumah, memusnahkan rumah juga tidak ketinggalan. Ada orang rumahnya sudah cantik namun masih rasa tidak cantik dimatanya maka dek kerana duitnya berkepuk di dalam bank mungkin, maka diruntuhnya rumah asal dibina rumah yang lebih gah.

Terfikir...
untuk apakah semua itu. Apakah kehidupan yang mahu kamu kejar atau tulis tentang kehidupan mana yang kamu akan tulis. 

Ya. ternyata malaikat juga sedang menulis kehidupan kita ini.
Ibu dan ayah baru sedang berusaha membeli rumah. Syukur tidak terhingga mendapat tawaran dari kerajaan membeli rumah bersubsidi. Dapatlah harga murah dari harga pasaran. 

Cita-cita ibu dan ayah hanya mahukan sebuah rumah sederhana, tempat berteduh kita sekeluarga. Tidak banyak yang kami cita-citakan hanya dapat membeli masa dan bahagia untuk membesarkan kamu semua.

Ibu mahu menjadi penulis. Jadi ibu suka berdiam di rumah. Begitu juga ayah.Tidak perlulah kita mempunyai rumah besar bagaikan istana kerana semua itu hanya sementara. Dunia ini bakal kita tinggalkan jua. Tidak satupun yang akan dibawa kecuali apa yang kami sedekahkan sebagai jariah, atau anak yang kami didik menjadi anak yang soleh. Atau juga mungkin Ilmu yang berkat ibu dan ayah sebarkan kepada kamu dan orang-orang sekeliling kami.

Nah..itu tekad ibu. Mahu kejar tiga perkara ini. mahu tenang di hari tua. Untuk kamu kami sudah bekalkan ilmu dan didikan yang baik. Maka bertebarlah kamu ke muka bumi mengikut jejak langkah kami atau lebih dari kami.
Akhirnya kami hanya mahu ketenangan menjalani ibadah dihari tua dan berbahagia bersama.



No comments:

Post a Comment