Sunday, October 6, 2013

Life is Sharing...Mulakan hari ini

Banyak perkara yang dilalui dalam hidup ini, namun tidak sempat untuk saya tulis dan tidak mahu juga dikongsi kepada semua orang. Saya memang sukakan hidup yang penuh privasi tanpa publisiti. Itu lebih menenangkan. Ya, saya amat yakin dengan itu.

Tidak perlu menghebah-hebahkan kepada semua orang apa yang kita lalui dalam hidup ini, apa yang yang mahu dilakukan dan apa yang telah terjadi setiap hari. Namun barangkali pengalaman itu boleh dikongsi kepada sahabat-sahabat tentang hidup yang penuh bererti.

Ya. Akhirnya saya terima kenyataan ini. Saya tidak boleh lagi menyembunyikan diri dalam dunia saya sahaja. Merasakan kehidupan saya tidak perlu dikongsi sedangkan masih ramai lagi yang perlukan bantuan dari sudut motivasi dan iktibar memperbaiki kehidupan.

Malah, saya sudah ada tanggungjawab yang besar untuk digalas dan saya harus bersedia untuk berkongsi diri saya dengan masyarakat saya.

Barangkali apa yang kita tulis menjadi pengajaran dan ilmu kepada semua orang. Sedar tidak sedar, banyaknya pengalaman saya sehingga apabila orang lain yang kebetulan mendengar tidak sangka, seusia saya sudah mempunyai pengalaman sedemikian.

Saya memang suka mencuba sesuatu dan selalu mencabar diri. Dan hari ini, saya mengutip pengalaman yang banyak dan matang dalam membentuk personaliti dan hidup saya sendiri. Keyakinan saya berupaya memotivasikan diri saya sendiri dan tenang menghadapi kehidupan yang mencabar ini tanpa saya merungut, menyalahkan orang lain dan meluahkan luahan yang tidak masuk akal.




No comments:

Post a Comment