Saya ingin mencoret sesuatu di atas kanvas putih ini. Ingin dilukis saya tidak punya pensil warna. Ingin di sulam saya tidak ada benang. Saya hanya ada keyboard yang tersusun dengan huruf-huruf yang saya mahu jalinkan agar ia menjadi banyak-banyak perkataan dan saya sulam agar ia menjadi frasa dan akhirnya menjadi cerita.
Namun banyak warna yang berlegar-legar dalam minda saya. Saya ingin berkongsi agar ia menjadi cerita yang boleh diambil pengajaran. Kisah yang saya bawakan ini seorang perempuan. Seorang perempuan yang saya hormati. Perempuan ini cantik, memiliki kedua ibubapa yang baik dan beragama.Dia juga seorang yang mendapat pendidikan agama. Sejak kecil hidupnya terikat dengan tali agama.
akhirnya dia berkahwin dengan seorang lelaki yang hebat. seorang ahli perniagaan yang sibuk. Dia dikurniakan dengan lima orang anak. suaminya begitu bangga kepada dirinya.
Suatu hari, saya dijemput oleh ibu saudaranya untuk bertemu dengannya. terpempan saya mendengar kisahnya. Dia mahu berpisah dengan suaminya.saya tidak mahu bersangka-sangka lantas saya memenuhi jemputan ibu saudaranya untuk bertemu dengannya. mungkin sedikit sebanyak ada perkara yang boleh saya kongsi dengannya.
benar, dia rasa terbiar. kekurangan kasih sayang dari seorang suami. maka, hatinya beralih arah kepada seorang pemuda yang bersedia mengisi kekosongan hatinya. Saya mendengar setiap bait-bait bicaranya. Saya tahu dia ternampak pelangi yang indah dan dia mahu mencapai pelangi itu. maka saya berkata:
"Puan, ia hanya pelangi indah yang datang selepas hujan panas, dan dia akan hilang dalam sekelip mata. apakah pohon rendang yang sudah kita teduhi ingin kita memilih pohon kering yang tandus dan gersang"
"Cinta memang satu bayangan indah yang akan lenyap apabila kita tinggal sebumbung, melihat kekurangan dan kelemahan masing-masing, kerana itu Allah jadikan perkahwinan kepada orang beriman, agar ikatan itu akan terus kekal sekalipun bahtera kita dilambung ombak. Ombak memang ada sekali sekala, namun akhirnya ia akan tenang kembali sehingga rasanya begitu manis sekali.
Sang nakhoda di lautan ganas tidak pernah takut kepada deru ombak, masakan dia takut sedangkan dia masih setia dengan tujuan dan impiannya untuk meneroka bumi tanpa sempadan. Begitu tabah dan tiada gentar sang nakhoda itu merentas lautan yang bergelora.
Oleh itu, bukan cinta sebenarnya yang menjadi tunjang sebuah bahtera kukuh. Iman, cinta syurga, impian, menjadi hamba yang memberi dan membuat kebaikan. Cinta hanya mahukan keindahan dan kecantikan sahaja sedangkan bila melihat keburukan maka cinta akan tawar dan pudar.
"Bersyukurlah puan mempunyai seorang suami yang sebab kesibukannya mencari harta adalah untuk meraih kebahagian hidup bersama dengan puan, cuma mungkin....." sambung saya kemudian terhenti seketika.
"Cuma mungkin dia terleka sebentar dalam pencariannya...dia fikir segala hartanya dapat membeli cinta puan...maka sedarkanlah dia...kejutkan dia dari lamunannya yang panjang..hidangkan dia secawan kopi panas penyegar kasih sayang puan dan dia" ujar saya tulus.
Saya menyeka mata, memandang jauh kelibat anak-anaknya seramai 5 orang yang masih mentah mahu meratah dan memahami hakikat hidup....Saya tekenangkan sang suami yang berkerja keras untuk kebahagian saya dan anak saya...selalu saya ingatkan..."hidup kita amat sekejap...semoga kita dapat nikmatinya bersama dengan penuh kasih sayang"
Saya dan sang suami amat mengerti siapa diri kami ini. Sentiasa menerima kekurangan dan kelemahan masing-masing dan sentiasa mahu mencari jalan penyelesaian. Kaedah kami, kita berdua ibarat benang, jangan kedua-dua menariknya. seorang menarik, seorang kendurkan...agar benang tiada putus. Malah jalinkan benang dengan benang-benang lain berwarna-warni, agar ia menjadi kain yang kukuh....
"Saya akhirkan dengan menghadiahkan sebuah buku kepadanya..."
"Saya harap dapat mendengar khabar gembira selepas ini...bisik saya puas hati.
Sebulan berlalu, saya mendengar khabar dari perempuan itu, dia kembali kepada suaminya..ah syukur kepada Allah....Ya Allah jangan engkau putuskan hubungan suci mereka selagi mana mereka beriman kepadaMu."
No comments:
Post a Comment