Wednesday, July 18, 2012

Sebuah Pondok Kecil

Rutin harian saya adalah di sebuah Pondok Kecil yang di meriahkan oleh anak-anak didik yang sentiasa bersemangat untuk datang menimba ilmu.

Rumah saya sebenarnya sebuah pondok kecil yang dibangunkan sedikit demi sedikit. Saya bersyukur kerana inilah jalan yang diberi untuk saya bagi meneruskan kehidupan. Kehidupan yang saya rasakan dipenuhi dengan bintang-bintang berkerdipan.


Ada juga orang bertanya, dan tidak kurang juga yang hairan kerana saya menjadikan rumah saya sebagai pondok kecil. Mengapa saya namakan ia sebuah pondok kecil kerana saya menjadikan rumah saya tempat mendidik anak-anak yang cintakan Al Quran. Lebih kurang 12 orang pelajar yang hadir pada sesi pagi menjalani pengajian Al Quran dari Iqra hingga menghafaz Al Quran. Disamping mendidik mereka dengan fardhu Ain, Asas Hadis dan Ibadah Solat.

Di pondok kecil ini saya menangguk kebahagian, separuh masa saya adalah dengan menguruskan anak-anak didik serta mendidik mereka untuk menjadi anak yang soleh. Ia bukanlah begitu mudah, perlukan kesabaran, ilmu dan pergantungan kepada Allah. Mendidik anak menjadi manusia yang tahu adab dan akhlak memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, emosi dan juga persepsi.

Amanah dan tanggungjawab yang dipikul bukan untuk dibanggakan malah ia menjadi azimat untuk mahu memotivasikan diri dan menginspirasikan diri dalam membina diri menjadi manusia utuh.

Mungkin juga kenangan lalu menggamit rasa dan jiwa, dulu pernah saya bertamu menimba ilmu, cuba memperbaiki diri di sebuah pondok mahsyur di Kelantan. Pondok Pasir Tumboh yang telah melahirkan ribuan para ilmuan dan ulama berilmu dan bermakna. Maka tempoh singkat yang ada mengisi ruang diri saya agar saya terus teruja dengan persekitaran ilmu. Jadi ini natijah yang harus saya bina kembali. Mahukan ketenangan dirumah sendiri dan mahukan rumah menjadi sebuah tempat berkembangnya ilmu Tuhan.

Benar, kesannya amat baik kepada saya, suami dan anak yang membesar dengan disiplin sebuah sekolah. Maka setiap hari yang dilalui adalah mengutip permata-permata di sepanjang jalan kehidupan. Insya Allah saya akan kongsikan bagaimana mencipta kebahagian bermula dari diri kita. Itu yang saya percaya...

No comments:

Post a Comment