Wednesday, July 18, 2012

Kisah 1: Bukti Allah Kasihkan HambaNya


Hari ini saya terfikir mahu meneruskan penulisan blog dengan kisah-kisah menusia disekeliling kita. Iktibar dan pengajaran itu bukan hanya kepada si pelaku, keluarga si pelaku tetapi juga pengajaran kepada kita. Setiap apa yang berlaku kita wajib melihat hikmah disebaliknya dan iktibar kepada kita. Hari ini mungkin berlaku kepada orang lain, dan esok mungkin berlaku kepada kita atau saudara terdekat kita.

Ada sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat kepada saya. Kisahnya amat mengejutkan tetapi saya yakin ia mempunyai maksud, iktibar dan pengajaran yang padat. Saya melihat kisah ini dari kacamata saya dan bukan mahu menunding jari bahawa si pelaku lah yang paling teruk akhlaknya.

Ini adalah bukti betapa kasihnya Allah kepada kita dan hikmah mengapa Allah memerintahkan memakan makanan yang bersih dan halal.

Seorang sahabat menghadiri sebuah kenduri di sebuah kampung. Orang kampung datang menolong bermula dari petang hingga ke pagi, betapa sikap gotong royong masih sebati untuk menjayakan kerja kenduri kahwin. Hal ini dapat meringankan beban tuan rumah tentunya.

Kenduri kali ini dijangka akan menumbangkan seekor lembu untuk jamuan orang kampung, sahabat handai dan rakan taulan. Sewaktu kerja-kerja dilakukan, si pembekal daging lembu datang menghantar daging kerbau, bagi orang kampung , daging kerbau memang lebih enak dari daging lembu dan harganya tentu sahaja mahal. Ketua melapah daging tidak banyak soal. Dia mengarahkan anak-anak buahnya memotong daging kerbau dan melapahnya. Selesai melapah, daging-daging diletakkan di dalam kawah besar sementara menunggu kerja-kerja memotong kepada bahagian-bahagian lebih kecil.

Ibu sahabat yang sibuk menolong kerja-kerja memasak ternampak salah seorang anggota keluarga tuan rumah mengambil daging kerbah yang siap dilapah dan dicelur ke dalam kawah yang berisi air panas. Tindakah itu menjadi satu keanehan kepada orang-orang yang menjalankan kerja kenduri kahwin. Tidak pernah selama ini daging itu dicelur dulu sebelum dipotong kecil-kecil. tetapi di diamkan sahaja. mungkin betul alasan di pelaku yang mencelurkan daging untuk melembutkan daging terlebih dahulu.

Kerja-kerja memotong mula dijalankan. Semua anak-anak buah Ketua melapah bersungguh-sungguh memotong daging-daging kerbau. Tiba-tiba satu keanehan berlaku. ada bau busuk yang datangnya dari daging tersebut. mula-mula seorang yang merungut. kemudian dua orang dan akhirnya mereka yang melakukan kerja-kerja memotong mula berbincang sesama sendiri.

Ketua melapah daging tidak berpuas hati, ada perkara yang tidak kena dengan daging kerbau ini. Dia mula meminta bantuan orang lain, dari bisik ke bisik sehingga cakap ke cakap. akhirnya seorang anggota kerja mula terfikir mahu menelefon saudaranya yang tinggal di kawasan yang dikatakan asalnya daging kerbau itu datang.

Berita yang amat mengejutkan anggota kerja apabila mengetahui bahawa kerbau tersebut adalah kerbau liar yang mati ditembak, terbungkang di tengah jalan. Masya Allah, Semua anggota kerja kenduri terkejut besar. ada yang mula mengamuk mencari dan meminta penjelasan dari si pembekal daging kerbau.

akhirnya si pembekal malu alah, langsung dia terus mencari daging lembu sebagai gantian. barulah kerja-kerja dijalankan seperti biasa.

inilah kisah yang cuba dikongsi tetapi betapa maha kasihnya Allah kepada hambanya. Allah begitu sayang akan hambanya yang dhaif dan naif , tidak berdosa langsung termakan daging yang tidak bersih dan haram. maka Allah menadatangkan bau busuk dari daging tersebut sebagai petunjuk agar ada yang akan bertindak.

Dan ini juga bukti paling nyata apakah perbezaan memakan haiwan yang disembelih dengan haiwan yang tidak disembelih. menurut kajian sains haiwan yang disembelih maka apabila putusnya urat' mereh'nya maka terpancutlah semua darah-darah keluar dari pembuluh dan saluran darah haiwan tersebut. Hal ini berbeza dengan haiwan yang mati ditembak, dipukul atau dilanggar kereta. Darah haiwan itu masih berada di dalam saluran darah dan tidak keluar. ini juga adalah punca mengapa dagingnya tidak tahan lama dan akan berbau busuk.

Oleh itu, hati-hatilah agar kita sentiasa memakan makanan dan halal dan bersih.
ini adalah pengajaran kepada kita.

No comments:

Post a Comment