Wednesday, July 18, 2012

Mengajar anak-anak semudah 1,2 dan 3….


Pendidikan merupakan satu analogi yang perlu difahami oleh ibubapa. Apabila lahirnya seorang manusia maka manusia tersebut akan bermula dari 0 hari ke angka-angka seterusnya yang akan berubah hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.



Kebiasaannya orang dewasa akan mendidik anak-anak mereka seperti apa yang mereka selalu fikirkan dan apa yang pernah mereka lalui. Kita seharusnya memahami bahawa kehidupan kita dan seorang anak bezanya lebih kurang 15 -20 tahun dan ada yang lebih. Secara jelas, betapa besarnya jumlah perbezaan zaman yang harus kita imbang sewaktu kita mendidik seorang anak. Apakah kita masih mahu mendidik mereka dengan cara pendidikan kita oleh nenek moyang kita.

Sudah tentu jawapannya tidak. Tiada siapa akan berjaya membuat perbandingan dengan zaman telefon bimbit dengan kecanggihan telefon pintar. Saya sebagai ibu juga tertampar dengan keadaan demikian. Seorang ibu yang baru membelek-belek komputer pintar di sebuah kedai pameran komputer pintar masih malu-malu alah menyentuh skrin komputer pintar tersebut sedangkan anak yang berusia 6 tahun sudah laju menyentuh tanpa rasa takut.  Tidak tahu dan jauh sekali tidak pasti dimana anak seusia itu belajar menekan butang komputer dan menyentuh skrin. Sudah tentu dia tidak belajar dirumah sendiri.

Maka saya mula memikirkan betapa otak mereka semakin berlari laju sepadan dengan perubahan teknologi yang menyebabkan semua orang akan kagum dengan ciptaan dan inovasi sains dan teknologi. Sukar untuk digambarkan betapa 20 tahun akan datang apa pula yang akan tercipta.

Saya pada mulanya cuba mendidik anak mengikut pengalaman dan kefahaman dari pembacaan. Serba sedikit ia membantu saya dalam menggalas tanggungjawab seorang ibu muda.

Seingat saya sewaktu saya mula mahu mengajar anak saya melakukan sesuatu saya akan menerangkan menggunakan gaya bahasa saya. Nampaknya anak bingung. Saya pasti di dalam fikiran mereka “apalah yang ibu saya bebelkan hari ini”.

Akhirnya setelah menelaah beberapa buah artikel dan buku maka saya mendapat jawapan yang memberansangkan. Otak kanak-kanak berfungsi berpandukan nombor.  Oleh itu apabila kita mahu mengajar anak sesuatu perkara yang harus mereka buat maka anak-anak perlu diajar menggunakan langkah demi langkah.

Oleh itu, dari situlah otak mereka belajar sebenarnya.  Mengapa mereka boleh memahami menyentuh skrin komputer pintar dengan cepat kerana mereka mengetahui langkah demi langkah bagi menggerakkan sesuatu permainan atau arahan komputer.

Jadi saya simpulkan otak manusia juga seperti komputer atau komputer itu diambil dari otak manusia. Kedua-duanya adalah sama.

Mengapa anak-anak tidak boleh menyimpan memori dengan ayat-ayat yang berjela-jela ini adalah puncanya. Oleh itu, orang dewasa wajar berfikir semula jika mahu menasihati anak-anak dengan menggunakan perkataan dan ayat-ayat yang panjang dan bombastik. Oleh itu, saya mula mengajar anak menggunakan langkah demi langkah.  Maka mereka akan cepat mengingat dan melakukan apa yang kita minta.  Mereka juga lebih mudah untuk menerima nasihat atau mendengar arahan.

Saya amat suka kartun kapten oso dan saya menggalakkan anak saya melihat cerita tersebut. Kapten oso datang membantu kanak-kanak dengan menggunakan 3 langkah yang mudah. Saya pasti kanak-kanak akan teruja apabila mereka berjaya melakukan sesuatu.

Saya ada mendengar rungutan seorang ibu yang menceritakan anaknya yang berusia 7 tahun masih tidak tahu mengurus diri. Contoh sewaktu pulang dari sekolah.

Ini pendapat saya, kanak-kanak memerlukan bahasa yang mudah untuk memahami sesuatu arahan. Jika si ibu menyatakan mahu anak mengurus dirinya pastilah kanak-kanak kecil itu tidak tahu apa maksud mengurus diri.
Oleh itu, maksud mengurus diri harus diterjemahkan ke dalam bentuk teknik. Teknik bagi mengurus diri apabila pulang dari sekolah.
1.      Simpan stoking di dalam kasut
2.      Letakkan beg di rak
3.      Tanggalkan uniform sekolah, masukkan ke dalam bakul atau gantungkan
4.      pakai pakaian untuk bermain.

Satu lagi contoh adalah apabila kita mahu anak kita menjadi baik maka kita harus menterjemahkan maksud menjadi baik kepada anak kita. Perkataan baik memang suatu yang subjektif tetapi dengan meletakkan teknik-teknik dan tingkah laku menjadi seorang yang baik maka itulah kaedah menjadi baik.
Sekalipun kaedah ini tidak menjadi betul selamanya bagi anak-anak kita sekurang-kurang mereka tergolong di dalam orang yang menjadi baik.
Contohnya apabila kita berkata “ kamu mesti jadi baik”, apa yang perlu kita terjemahkan adalah apakah yang perlu dibuat untuk menjadi baik. Menjadi baik bagi anak berusia 6 tahun:
1.Mesti pandai dan rajin mengaji
2. bercakap dengan suara yang sopan
3.mendengar cakap ibu dan ayah
4.mesti menghormati tetamu
5. dan lain-lain lagi.

Saya berpendapat, ibubapa hari ini terlalu banyak menggunakan perkataan sehingga ayat yang diucapkan tidak difahami oleh anak-anak. Sejak saya menghadiri satu kursus mendorong pelajar corot saya mula mempraktikkan kaedah-kaedah Gaya Nabi Muhammad mendorong pelajar. Ia juga boleh digunapakai dalam mendidik anak-anak.



Pengalaman saya sendiri, sebenarnya apabila anak kita membuat nakal dan tidak mendengar kata, memang kita berasa marah dan kita rasa mahu menghukumnya. Kita mahu memberi pengajaran di atas kenakalannya.

Saya berfikir dan merenung kembali. Sebenarnya denda dan kemarahan itu adalah untuk kepentingan siapa?. Apakah denda, hukuman dan kemarahan itu untuk kepentingan anak-anak. Saya fikir ia silap. Ia langsung tidak memberi iktibar kepada anak-anak malah tubuh mereka merasa sakit dan hati mereka berasa marah dan terguris.

Bagi saya marah, mengenakan hukuman dan denda adalah untuk kepentingan ibubapa yang mahu meredakan kemarahannya. Apabila kita marah, nafas kita bergerak laju kerana kita memerlukan oksigen untuk menampung sistem pernafasan kita, pada masa yang sama hormon-hormon menjadi aktif. Apabila hormon menjadi aktif serta bertindakbalas dengan gas oksigen yang masuk ke dalam sistem pernafasan ia menghasilkan satu bendalir yang perlu disalurkan. Bendalir itu akan disalurkan secara berlebihan kepada anggota tubuh badan. Waktu itu apabila kita marah, kita mahu melepaskan bendalir tersebut dengan memukul dan menjerit. Hal ini berlaku kepada orang yang menghadapi tekanan. Dengan menjerit kuat, memukul maka kita menjadi tenang kembali.

Hal ini sepatutnya tidak patut berlaku. Kerana itu sebagai ibubapa dan guru kita seharusnya sentiasa sedar dan waras dalam menentukan tindakan kita. Cara terbaik dalam menghadapi situasi ini adalah dengan tenangkan diri, beristighfar dan menarik nafas. Kemudian kita berkomunikasi dengan anak-anak atau pelajar yang telah membuat salah. Kita boleh memberi hukuman tetapi menghukum apabila kita sudah tenang dan jelaskan mengapa hukuman ini diberikan.

Kedua, berikan pilihan hukuman kepada mereka serta menjelaskan apakah akibat jika perkara tersebut dilakukan. Jika kesalahan itu di dalam kategori tertentu berilah hukuman yang setimpal. Jika tidak boleh dicadangkan dengan memberi hukuman seperti membaca al quran, berzikir, duduk diam dan sebagainya.

Mendidik dan mengajar bukan perkara yang mudah. Sebab itu, ibubapa yang menghantar anak mereka ke Tadika atau pusat asuhan sepatutnya lebih banyak besabar dan berlapang dada. Tidak harus menyalahkan guru semata-mata. Saya yakin mereka tentunya cuba melakukan yang terbaik.

Anak saya pernah mengadu apabila pulang dari Tadika, ketika itu usianya 4 tahun, dia tidak diberi makan oleh gurunya. Itu adalah hari pertamanya. Sebagai ibu saya tidak terus melenting atau marah. Saya bertanya kepada anak saya, mengapa keadaan begitu berlaku. Anak saya memberitahu guru meminta dia mengambil makanannya sendiri di dapur. Saya faham mungkin kesibukan guru menyebabkan kadang-kadang ada yang terlepas pandang.

Namun, sebagai ibu kita harus mengajar anak kita sendiri. Saya berkata kepada anak saya “Esok kamu mesti ambil sendiri makanan, jangan tunggu cikgu ambilkan, kamu seorang yang boleh berdikari dan mampu untuk mengambil makanan.”
1.      Bangun dan pergi ke dapur
2.      Minta pada guru atau sesiapa
3.      Katakan apa yang kamu mahu “contoh makanan)
4.      Kamu makan dengan sehingga kenyang

 Hari kedua dan seterusnya, masalah itu selesai. Anak saya sudah mendapat ilmu baru.

Sesetengah orang tidak bersetuju juga dengan cara ini. Anak akan menjadi tidak kreatif dan terlalu mengikut prosedur. Pendapat saya di dalam sains kejayaan,seseorang itu mesti mempunyai disiplin ketika menjalani kehidupannya. Tiada kejayaan kepada orang yang membuat kerja acuh tidak acuh dan caca merba. Kreatif adalah topik lain. Membentuk kemahiran berfikir dan mencetus kreatif di dalam diri anak-anak adalah cara kita ‘membenarkan’ mereka berfikir apa sahaja, menjangkau pembelajaran di dalam kelas dan di dalam rumah.

Membentuk kreatif adalah cara kita tidak menyekat apa yang mereka mahu lakukan sesuai dengan usia mereka. Ada ibubapa yang terlalu sayangkan anak langsung tidak membenarkan anak mereka bermain pisau, gunting, memanjat, bermain dan sebagainya. Itu maksudnya menyekat kreativiti anak-anak.

Membentuk kreativiti mereka adalah dengan cara ‘melepaskan’ mereka dengan dunia imaginasi mereka. Pada masa yang sama kita membantu dan mengajar mereka cara menggunakan dengan betul.

Kesimpulannya, di dalam memberi pendidikan ini, jangan kita terhadkan kepada suatu kaedah dan cara pandang sahaja. Bawalah anak-anak kita kepada ‘back to nature’. Dimana mereka boleh belajar tentang dunia mereka dengan sepuasnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment