Tuesday, May 14, 2013

Bahang PRU 13

Lama sungguh tidak menjenguk ruang kanvas putih bersih ini. Entahlah mungkin banyak perkara yang hendak difikirkan atau idea untuk menulis seperti terhenti. 

Bermula dari bahang Pilihanraya Umum ke 13 yang masih belum surut, rasa kekecewaan masih menebal dalam hati. Minyak mungkin akan naik harga, tol tidak dapat diturunkan dan macam-macam lagi. Terasa menjadi warga Malaysia di negara tercinta ini seperti menumpang di negara orang. 

Kemenangan BN bukan takdir yang wajar diterima, kekalahan Pakatan Rakyat juga tidak wajar diterima dengan hati yang redha. Hati tidak akan selama-lamanya redha dengan pemerintah yang menindas rakyatnya sendiri. Menjadikan harta negara diagihkan kepada anak bini masing-masing. Sama sekali saya tidak setuju dan jika mereka menang dengan cara berlaku 'penipuan' saya memang tidak akan terima selama-lamanya. Namun hati saya bulat menyerahkan kepada Allah swt. Mungkin kejayaan itu masih tertangguh untuk menambah iman dan sebenarnya ini juga adalah kemenangan.


Tuesday, February 19, 2013

Kisah 2: Ayah Mertua kecewa

Hari ini berjumpa seorang sahabat. Walaupun usianya sudah menjangkau 60 tahun tetapi saya menganggapnya seorang sahabat yang boleh berkongsi kisah suka dan duka. Saya memanggilnya dengan panggilan 'Encik' kerana itu sebagai tanda hormat saya.

Sahabat ini memang seorang yang rajin membantu masalah-masalah ummah, dari turun naik ke Pejabat Zakat hinggalah ke Pejabat Jabatan Agama Islam. Membantu menyelesaikan masalah ummah yang membelenggu masyarakat seperti kemiskinan, pendidikan, kahwin-cerai dan banyak lagi.

Kami bercerita soal negara, soal jika berlaku perubahan kepimpinan peringkat negara dan kisah-kisah masyarakat yang berlaku. Sejak saya mengenalinya tidak pernah saya melihat wajah-wajah kegusaran dimukanya dan beliau amat tenang dalam menghadapi kehidupannya.

Sebelum pulang beliau berkongsi cerita berkenaan anak perempuannya dan menantunya yang sedang menghadapi masalah rumah tangga. Dari ceritanya, menantunya mahu isterinya berhenti kerja agar menjaga anak kebetulan anak keduanya sakit akibat kelahiran pra-matang. 

Anak sahabat saya itu seorang guru kerajaan dan tentulah panjang fikirnya untuk dia meletakkan jawatan sedangkan ekonomi keluarga masih belum stabil. Sahabat saya sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga cucunya sekaligus membantu meringankan beban anak perempuannya itu.

Paling menyedihkan sikap menantunya yang langsung tidak menghargai malah menafikan hak sahabat saya dan isterinya untuk menjaga cucunya. Tidak tahu apa puncanya namun kelihatan sikap ego dan keras kepala. Selain itu faktor kurangnya pendidikan agama dan kehidupannya yang terlalu senang dan manja hasil didikan ibubapa menantunya.

Allah, saya termenung sejenak berfikir. Jika semua manusia berfikir dan menggunakan iman untuk membuat keputusan tentunya tiada masalah seperti ini. Amat menyakitkan banyak hati.

Wallahualam

Monday, January 21, 2013

Menjadi Pakar Motivasi di Dunia Kecil

Hari ini terdorong menulis sesuatu di kanvas putih yang sudah lama tidak dijenguk. Ahcumm..terbersin dek habuk dan sarang labah-labah yang mula membuat sarang. Maksudnya sudah lama saya tidak bertandang ke rumah ini. Sebelum memulakan tulisan, penyapu diambil bagi membersihkan habuk-habuk kemudian mengemas sebaik mungkin.




Sejak kebelakangan ini saya asyik berdepan dengan mukabuku, lantaran kerajinan Sifu Ainon Mohd menampal post-post menarik di dinding FB. Sejak itu juga saya baru belajar menghargai diri saya, menghargai syarikat kecil ini. Benar, walaupun RM10, RM 20 yang masuk ke dalam kantung syarikat, ia duit kita bukan duit orang lain. Angka-angka itulah yang akan terus mendorong kita agar lebih berusaha keras.

Saya mengambil buku 11 Teori  & Prinsip Motivasi di Tempat Kerja. Buku ini sudah dibaca dan di hadam. Semuanya konsep yang ditulis memang tepat dengan jiwa dan kehendak saya yang sukakan nilai-nilai dan falsafah yang betul untuk melakukan sesuatu.

Banyak yang digunakan untuk diri saya sendiri. Saya dulunya seorang yang rendah diri dan berdarah gemuruh kini menjadi seorang yang  berani dan belajar berfikir di luar kotak. Saya tidak mahu melihat diri saya yang sempit dan tidak berkeyakinan. Saya berusaha menjadikan diri saya seorang yang percaya saya mempunyai konsep percaya diri yang betul.

Di rumah, dipejabat, bersama rakan niaga dan kawan-kawan saya meletakkan saya "pakar motivasi". Di rumah saya menjadi "pakar motivasi" kepada suami, anak dan pembantu rumah saya. Di pejabat saya menjadi pakar motivasi kepada pekerja dan pelanggan saya. Bersama kawan-kawan saya menjadi pakar motivasi mereka. Saya bercakap, saya memberi pendapat, saya membuat lawak semuanya berdasarkan teori-teori yang saya baca dan saya praktikkan.

Perubahan-perubahan tingkah laku mereka yang berada disekitar saya, saya menyaksikan sendiri dan menikmati hasilnya. Jika saya boleh kongsikan disini tanpa berlebihan, usaha saya 7 tahun lalu sudah saya nikmati hari ini.

Tips 1: Agar mereka dengar apa yang kita cakap
1. Diam
2. Dengar
3. Kongsi
4. Kebahagian itu bermula dari kita....Solusi

Tips 2: Agar mereka sanggup datang dari jauh berjumpa kita
1. Pindah kepada dia- berikan dia kecantikan sosial
2. Setkan masa - celoteh tidak lebih dari setengah jam. Beri lebihan masa jika diminta
3. Datang ke rumah kita, perut mesti kenyang.

1. Mendorong Suami
Sewaktu saya berkahwin dengan suami saya, beliau seorang ustaz yang gajinya hanya RM 700 sebulan disebuah sekolah agama rakyat, baru menamatkan pengajian di Afrika, sebuah universiti yang tidak diiktiraf oleh kerajaan. Keyakinan saya amat tinggi suatu hari nanti, saya akan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang berjaya di dalam semua segi. Saya mengamalkan prinsip-prinsip motivasi, dorongan dan menghasilkan gol dalam merencana setiap langkahnya. Hari ini gajinya sudah 5kali ganda dan sedang membuat Phd.

2. Anak (7 tahun)
saya mengajar dia agar menjadi  seorang yang mempunyai konsep percaya diri yang betul. Saya mengajar dia menjadi seorang yang mempunyai nilai dan berdikari. Seorang yang menghargai, mematuhi peraturan -peraturan hidup dan pada masa yang sama, saya melepaskan untuk dia berfikir apa yang patut dia jadi dan mahu. Saya tidak menilai anak saya melalui pencapaian dan kebolehan. Hasilnya saya tidak perlu bercakap bahasa kanak-kanak, saya akan bercakap bahasa seorang yang matang.

3. Pembantu Rumah
Saya mendapat pembantu rumah Indonesia yang rajin mendirikan solat dan menutup aurat. Itu ciri-ciri yang saya mahu sewaktu membuat penilaian. Usianya 47 tahun. Saya tidak pernah menganggap dia "pekerja am" di rumah kami. Anak saya juga tidak pernah menggunakan bahasa memerintah dan kasar, itu yang kami ajar. Jika saya tidak puas hati dengan cara kerjanya, saya tidak marah, saya akan memberi contoh bagaimana kerja itu harus dibuat. Saya menerangkan dengan detail. Saya tidak membuat jadual kerja, tetapi saya melatih jadual kerjanya sehingga dia sendiri tahu apa yang patut dia buat. "Practice make Perfect". itu yang saya ajar kepadanya. Selain memberi gaji bulanan, saya memberinya ganjaran tambahan jika dia lakukan kerja-kerja tambahan seperti kenduri dan lain-lain.



4. Staff
Saya mempunyai staff tetap seramai 3 orang dan staff separuh masa seramai 4-7 orang. Sewaktu mula-mula saya memberi tugasan kerja, saya akan menerangkan dengan detail. Kemudian saya akan tunjukkan cara yang betul. Saya akan tulis langkah 1, 2,3... Pada mulanya saya akan lakukan sendiri dan minta mereka lihat dan buat seperti apa yang saya buat. Selepas itu saya akan memantau prestasi kerja mereka. Saya juga akan bertanya masalah dan keperluan mereka. Saya suka bercerita, berkongsi tips-tips dan hasil pembacaan buku-buku yang saya baca. Ada sahaja teori-teori baru yang saya akan jelaskan.
Saya menerangkan nilai-nilai dan prinsip yang saya pegang. Dari segi kebajikan, itu perkara utama, rasanya susah mahu berjumpa majikan sebaik saya ini..:-)..


Apa yang saya amalkan adalah rasa lega bila melakukan sesuatu yang baik dan betul. Saya seorang yang mementingkan masa. Jika ada staff yang lambat datang, saya tidak marah, pejamkan mata sahaja dan mulut diam. Saya tidak mengungkit-ungkit.Saya tunjukkan contoh sahaja.Bila kelas mula jam 8 pagi. Jam 8 pagi mesti dimulakan tanpa kompromi. Akhirnya mereka akan faham dan malu sendiri.

Dari segi ganjaran material, saya memang suka memberi ganjaran lebih dari gaji bulanan mereka walaupun tidak banyak. Dari segi ganjaran sosial saya memberi motivasi dan pujian.



5. Pelanggan, rakan niaga dan kawan-kawan.
Setiap pelanggan dan rakan niaga yang datang mesti mendapat perkongsian tips dari saya. Saya suka berkongsi apa sahaja mengikut keperluan mereka. Jika mereka bertanya perihal sekolah yang terbaik untuk anak mereka. Saya akan bercakap semua yang betul mengikut keperluan mereka. Saya akan mendengar masalah dan cadangkan keperluan untuk mereka.

Kawan-kawan yang rapat juga akan mengusik saya 'pakar motivasi'. Sejak dari sekolah, saya memang tidak suka bersembang kosong. Jika mereka mahu dengar saya bercakap mesti mereka akan dengar teori-teori motivasi saya. Jika tidak saya akan diam sahaja. Bila saya bercakap ia akan berpindah kepada keperluan meningkatkan estim mereka. Memuji, mendengar, berkongsi dan memberi solusi. Memindahkan kecantikan sosial kepada mereka. Saya amalkan semua teknik Puan Ainon, agar orang suka berbual-bual dengan kita.



Kesimpulan

Apa yang pelik jika kita menjadi majikan yang baik. Adakah bila digelar majikan, kita mesti berwatak garang, serius, celupar, pemarah, sombong dan ego. Saya fikir tiada guna hidup jika semua orang membenci dan tidak suka kepada kita.

Apa yang pelik jika jadi isteri yang taat dan sanggup melakukan perintah suami tanpa bantah. Sudah sedia ganjaran besar kepada kita.

Apa yang pelik jadi ibu yang baik dan positif kepada anak. Kerana apabila mereka berjaya, kita yang gembira.

Apa yang pelik menjadi sahabat yang baik. Jika kita dalam kesusahan mereka yang akan membantu

Tips 3:
1. Lakukan 1 kebaikan kepada mereka, mereka akan balas 10 kepada kita
2. Dengar apa yang mereka cakap, mereka akan dengar apa yang kita luahkan
3. Berkongsi apa yang kita tahu, mereka akan gunakan tips-tips itu untuk bekerja, berkomunikasi dengan kita.
4. Bangunkan estim positif mereka, Hidup kita akan bahagia selama-lamanya, kerana muka mereka yang akan kita jumpa.

Tips 4:
1. Saya adalah jarum dan benang yang menjahit koyak yang kecil. Tanpa saya, koyak yang kecil itu akan memberi malu kepada sipemakainya
2 Sekalipun saya bukan sesiapa, saya bukan orang terkenal, tetapi saya membina dunia saya sendiri dengan sedikit kebahagian. Sayalah 'pakar motivasi' di dunia kecil saya.



Saya percaya, jika kita mahukan bahagia, semuanya bermula dari kita....
Sekian dulu perkongsian saya. Semoga ia tidak keterlaluan dan dapat memberi manfaat.

Thursday, December 13, 2012

Tip Mencari Jodoh





Dalam ruangan ini dapat berkongsi dengan para pembaca yang budiman tentang membina sebuah perkahwinan. Perkahwinan itu merupakan satu pilihan yang dibuat sendiri oleh si pembuat pilihan. Tiada Istilah yang membenarkan  'kahwin paksa' atau "terkahwin". Sebagai manusia yang normal, kita sendiri yang menentukan apa pilihan yang wajar kita buat untuk kebaikan diri kita.
Allah swt sendiri tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk berkahwin dengan sesiapa yang tidak kita suka. Di dalam islam sendiri mengambil berat tentang perasaan orang yang ingin berkahwin sama ada mahu berkahwin atau tidak. Pilihan yang boleh dibuat boleh dibawa kepada sesi musyawarah atau perbincangan terlebih dahulu dengan ahli keluarga.
Beberapa perkara penting yang harus difikirkan sewaktu kita mahu membuat pilihan sebelum berkahwin.
1.      Calon pasangan
2.      Calon mertua
3.      Status calon pasangan dan calon mertua.
4.      Taraf kedudukan calon pasangan atau calon mertua
5.      Memilih karakter bukan “chemistry”


Dalam mengupas kriteria ini maka kita mestilah meneliti calon pasangan yang bakal kita kahwini. Nabi Muhammad pernah bersabda.
"kahwinilah seorang perempuan itu dengan empat perkara. Kahwini dia kerana kecantikannya, kahwini dia kerana hartanya, kahwini dia kerana keturunannnya. Berbahagialah orang mengahwini seorang perempuan kerana agamanya"
Hadis ini diterangkan bukan kepada perempuan sahaja, ia juga turut melibatkan calon lelaki. Apabila kita mahu memilih pasangan wajiblah kita melihat kriteria tersebut bagi jaminan kebahagian rumah tangga dunia dan akhirat. Apabila seorang itu memilih kerana agama maka sewajibnya mereka mengetahui kepentingan dan kebajikan dalam rumah tangga. Menjaga dan mengurus rumah tangga dengan sempurna adalah juga sebahagian tanggungjawab dalam agama. Hal ini kerana melahirkan generasi para duah merupakan tanggungjawab sebuah keluarga muslim.
Orang yang beragama dan mukmin sebenar adalah orang yang menerapkan nilai-nilai agama yang tinggi, bukan sekadar agama seperti hanya pada pakaian atau luaran sahaja. Nilaian agama adalah kesempurnaan mereka dalam menyelesaikan tanggungjawab wajib seperti yang termaktub dalam rukun iman dan islam. Kedua adalah berdasarkan hubungannya dengan Allah swt dan hubungannya dengan manusia iaitu masyarakat disekitarnya. Ketiga adalah kesempurnaannya dalam jihad menegakkan agamanya, maruahnya, tanah airnya dan akal generasinya.
Pada kali ini kita akan membincangkan satu tip mencari jodoh iaitu memilih pasangan berdasarkan karakter atau sikap peribadinya. Bukan berdasarkan ‘chemistry’ atau perkataan yang lebih jelas memilih berdasarkan ‘keserasian’. Rata-rata yang berlaku ada orang jatuh cinta kerana lahir dibulan yang sama, meminati perkara yang sama dan banyak lagi. Ada juga yang mempopularkan dengan ‘cinta pandang pertama’. Semua perkara itu tidak kekal dan boleh berubah.  Terdapat pepatah mengatakan, “Kimia menyalakan api, tetapi karakter memadamkan api tersebut”. Idea jatuh cinta tidak harus menjadi sebab utama mengapa kita berkahwin dengan seseorang.  Ia amat mudah untuk mengelirukan keghairahan dan menghilangkan cinta tersebut.

Karakter adalah ciri-ciri peribadi yang ada dalam diri seseorang pasangan. Kebiasaannya kita telah bersedia untuk menerima siapa diri pasangan kita walaupun kita mengetahui dia seorang panas baran. Karakter itu jelas, jika perkahwinan kita tidak bahagia sekalipun kita sendiri yang membuat pilihan bahawa pasangan kita memang seorang panas baran. Itu contohnya. Banyak lagi contoh lain. Pilihan dan keputusan yang kita buat sebelum perkahwinan adalah keputusan yang kita sendiri tahu dan bersedia untuk menerimanya berbanding jika kita memilihnya kerana 'chemistry". Hal ini kerana apa yang kita fikirkan berkaitan dengan 'chemistry" itu tidak terduga oleh akal kita. Boleh jadi ia hanya satu wayang yang kita tidak mampu untuk menelah.
Mencari jodoh atau memilih pasangan melalui karakternya adalah dengan melihat sifat-sifat yang ada di dalam diri seseorang itu. Contohnya merendah diri, baik hati dan bertanggungjawab.  Seseorang yang merendah diri tidak pernah membuat permintaan yang keterlaluan malah mereka sendiri bersedia untuk membantu orang lain. Mereka meletakkan nilai dan prinsip melebihi daripada kesenangan dan keselesaan diri sendiri. Mereka bersikap penyabar, bersederhana dan tidak memandang secara materialistik.
Disamping itu antara cirri-ciri penting lagi adalah baik hati. Kita boleh melihat sikapnya terhadap ibubapa dan saudara-saudara mereka. Bagaimana dia melayan dan berkomunikasi dengan ahli keluarga mereka. Bagaiaman pula dia melayan rakan-rakan sekerja dan pekerja bawahan mereka. Daripada sikap yang mereka tunjukkan itu jelas menunjukkan siapa diri mereka. Karakter tidak boleh dibuat secara berpura-pura kerana akhlak atau budi pekerti merupakan sesuatu tindakan yang spontan.  Ciri –ciri yang wajar diambil kira adalah sikap bertanggungjawab. Sikap bertanggungjawab ini menghasilkan natijah yang amat besar.  Mereka adalah orang yang menghargai masa, menghargai orang lain, menghargai wang serta menghargai kehidupan.

Kesimpulannya, perkongsian dalam siri ini mengajar kita membuat pilihan. Jangan lupa pada siri akan datang. Bagaimana penulis memilih calon pasangan berdasarkan lokasi negeri. Penulis sendiri menetapkan pasangannya mesti orang yang berasal dari lokasi yang mudah untuk urusan balik kampung dan sebagainya. Hal ini berkaitan pula dengan kos kehidupan. Kos kehidupan juga amat penting dalam merancang kebahagian sebuah keluarga. Akhirnya penulis amat percaya, kebahagiaan bermula dari diri sendiri. Jika kita mahu bahagia, kita yang harus memulakannya.

Sunday, December 9, 2012

Program Tahfiz Intensif 2012

7 Disember 2012. Telah berakhir hari ini. 20 hari berjuang. Berjumpa dengan sahabat-sahabat yang memiliki pelbagai kelebihan. Gabungan dan kerjasama akhirnya membuahkan hasil yang penuh bermakna. Tanpa mereka siapalah saya. Tanpa mereka mungkin tidak berjaya. 

Bersyukur kepada Allah atas nikmat yang terlalu banyak dikurniakan. Menjadikan semuanya begitu sempurna. Rebah dahi saya memuji kebesaran Allah. Ampunkan atas kelalaian hambamu ini dalam tunduk kepadaMu.

Banyak pengalaman diambil, bersama para peserta yang begitu mencuit hati. Ada sahaja celoteh dan aduan membuat saya tersenyum. Wajah-wajah itu akan kekal dalam minda saya. Tahun depan siapa pula?.

Mikail Muhammad nama pelajar yang akan saya ingat ketika pagi. Saya akan berbual-bual dengannya terlebih dahulu sebelum beliau mahu menyertai kelas hafazan. Beliau harus dipuji-puji dahulu, di dorong-dorong dahulu. Di tanya-tanya dahulu soalan-soalan yang membuatkan dia akan teruja. Apabila terukir senyuman di bibirnya, barulah dia bersetuju mengikut saya menyertai kelas. 

Thaqif pula geraknya pantas, aktif. Harus saya memberi banyak tugasan hafalan kepadanya untuk memberi peluang kepada dia agar duduk diam. Suka dia memperdengarkan bacaannya jika saya memujinya. Selalu keluar dari mulutnya, dia tidak pandai. Saya tahu, saya wajib membetulkan persepsinya kepada dirinya. Menepuk-nepuk bahunya mengatakan cepat betul dia dapat mengingat ayat hafazan.

Harith , Haziq dan Sulhi pula asyik mahu bertanya, adakah bacaannya sudah betul dan baik. Di puji bacaannya betul dan baik. Bertambah rajinlah dia mengulang bacaan. Wow...hebat betul mereka bertiga ini.




Saturday, November 3, 2012

Seminar POWER

Hari ini menghadiri seminar POWER anjuran Fine Academy. Syukur dapat mengikuti dengan jayanya.
Bermula dari pagi hingga ke petang bersama panelis-panelis hebat.

8.30 pagi -Tuan Fauzul Naim Ishak

Arah

9.30 pagi -Tuan Zamri Mohammd

Idea Kreatif

Petua 1-P
Petua 2-
Petua 3
Petua 4
Petua 5
Petua 6
Petua 7

10.30 pagi -Puan Mary Anni

Tahu tentang:
Natural
Romantik
Klasik
Dinamik




11.30 tengahhari- Tuan Fauzul Naim Ishak

Komunikasi

Jenis Manusia
Visual
Auditory
Kinestetik


2.00 petang- Ustazah Zawiah Hassan

Wanita yang di sayangi Allah

3.00 petang- Prof Dr Harlina Siraj

Wanita Profesional
4.30 petang- Forum- Ustazah Zawiah Hassan, Prof Dr Harlina Siraj dan Yatt Hamzah
6.30 petang- Bersurai

Jammed di Kepong, Jam 7.40 malam sampai ke rumah. 9.30 malam menjadi penceramah untuk Encik Haszrul Azrie mengulang balik apa yang dipelajari di Seminar POWER. Kesimpulan, selepas ini anjurkan pula Seminar POWER untuk lelaki.

Kembara Aidil Adha

Selalunya tidak sempat menulis mengikut tarikh, selalu tertangguh sehingga benar-benar mempunyai waktu dan idea yang sesuai untuk menulis. Menjengah juga saya ke kanvas putih ini. Menulis bait-bait kehidupan yang dilalui.

Selalunya Aidil Adha memang menjadi kembara panjang perjalanan. Jika giliran jatuh ke kampung saya di Pahang, maka selepas itu akan ke kampung suami di Negeri Sembilan. Syukur, menghampiri 7 tahun usia perkahwinan ini, tidak pernah kami ber'perang' untuk balik raya. Giliran dan jadual sudah ditetapkan. Masing-masing akur dan patuh dengan jadual yang termateri 3 hari selepas kahwin.

Setiap kali tibanya hari raya, foto diambil sebagai bukti. Bimbang tertukar giliran. Adakalanya ketawa bersama-sama melihat setiap foto yang bertarikh beraya di rumah siapa. Anak bujang juga sudah mengerti. Jika Hari raya aidil fitri, hari raya kedua atau ketiga akan kembali juga ke rumah saya atau suami. Cukup harmoni saya kira. Tenang rasa hati.

Kali ini kembaranya lebih panjang. Menempuh desa, bandar, hutan, highway dan jalan kampung. Bersungguh-sungguh sang suami mencari jalan alternatif bagi mengelak dari tersepit di dalam perjalanan sesak. Jangkaan kami, jika kami mengikut jalan biasa alamat 5-6jam belum tentu sampai ke destinasinya.

Bermula pulang ke kampung suami dari Kota Damansara ke Palong 15, Gemas, Negeri Sembilan, kemudian ke Pahang pada hari raya kedua. Hari Ahad pulang ke Kota Damansara. Bagi mengelak kesesakan jalanraya kami mencari jalan alternatif. Syukur tidak 'Jammed'. Tahun depan boleh cuba lagi

Felda Jenderak Utara-Temerloh-Bera-Bandar Baru Serting-Jelebu-Kuala Klawang-Seremban-Lukut-KLIA-Kota Damansara

Fuh..5 jam perjalanan tidak termasuk berhenti makan dan solat. Terjumpa dengan 1 kemalangan kereta dan kereta di Jelebu. Alhamdulillah, perjalanan lancar tanpa kesesakan lalulintas. Syukur selamat sampai pada jam 1.30 pagi.